Pendirian PAS tepat dan jelas

Foto hiasan.
- Advertisement -

FIRMAN Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 159:

- Advertisement -

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِي

“…Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya…”

Mungkin ada beberapa pihak sama ada di dalam PAS sendiri mahupun di luar PAS kurang mendapat penjelasan daripada pimpinan atau tidak sampai maklumat tentang pendirian PAS mutakhir terhadap beberapa isu terpenting berkait isu semasa dan politik tanah air.

Walaupun beberapa kali kenyataan terang dan tegas telah dinyatakan oleh pimpinan PAS sama ada dalam kenyataan akhbar, penulisan dan ucapan, namun adakalanya kita terlepas pandang.

Antara lain di sini ingin dinyatakan beberapa isu dan persoalan untuk tatapan bersama.

Tahaluf siyasi dengan PKR

PAS menerusi Majlis Syura Ulamak pada 11 Mei 2017 yang lalu telah membuat keputusan bahawa Tahaluf Siyasi dengan parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah terbatal disebabkan 3 perkara utama yang disyaratkan oleh syarak dalam keharusan bertahaluf.

Pengkhianatan PKR dengan syarat syarie tahaluf adalah sebab utama PAS tidak lagi bertahaluf sekali gus keharusannya itu bertukar menjadi tidak lagi syarie’.

Sehubungan dengan itu, PKR juga tidak lagi menjadi rakan strategik kepada PAS dan mereka telah bersekongkol dengan parti dan kumpulan yang menentang usaha PAS untuk memartabatkan Syariat Islam seperti RUU 355 dan juga bersekongkol dengan pihak yang berusaha menjatuhkan Kerajaaan PAS Kelantan. Mereka yang dimaksudkan adalah DAP dan PAN.

Keputusan pembatalan tahaluf ini juga bermakna tiada lagi kerjasama politik antara PAS dengan PKR mahupun diadakan apa sahaja rundingan politik secara rasmi kerana di peringkat pusat dan juga negeri tanpa pengecualian.

Syarat PAS amat jelas dan terang, PAS memang terbukan berunding dengan sesiapa sahaja selama pihak yang ingin berunding atau mengadakan rundingan hendaklah menghormati prinsip perjuangan PAS dan menerima Islam sebagai dasar PAS serta menguntungkan Islam.

Keputusan pembatalan tahaluf siyasi PAS dengan PKR adalah merupakan muhasabah PAS dalam tahaluf semenjak zaman kepimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan bukannya baru. PAS meneliti sikap dan tindak tanduk rakan tahaluf setiap masa dan mengkaji secara mendalam kesan dan impak tahaluf sama ada baik dan buruk kepada Islam dan perjuangan Islam. Maka, apabila keputusan diambil, ia adalah setelah diambil kira semua aspek dan sudut bagi memastikan bahawa keputusan adalah tepat.

Konsep Taawun Siyasi

Konsep ini merupakan ajaran dan pedoman daripada Allah swt kepada kita. Bahawa taawun ataupun kerjasama di dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan adalah anjuran syarak serta digalakkan.

Bersesuaian dengan itu, PAS menggunakan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bagi merealisasikan konsep taawun dalam konteks kebaikan bersama (commom interest) khasnya Islam.

PAS bersedia untuk memberikan sumbangan dan kerjasama di mana Islam diletakkan sebagai syarat utama dan asbabnya bukannya sekadar politiking sahaja.

Terdapat di sana kaedah “Mengambil Mudarat Yang Lebih Ringan” apabila terdapat 2 mudarat. Pada waktu itu PAS, memungkinkan PAS memilih untuk berdepan dengan mudarat politik dialami PAS daripada menanggung mudarat kepada Islam dan ajaran Islam.

Maka dalam situasi seumpama ini, PAS bersedia untuk berkerjasama semata-mata untuk mempastikan survival Islam dan kepentingan Islam menjadi keutamaan. Sebagai contoh, kerjasama PAS dalam isu ummat Islam sejagat seperti Rohingya dan Palestin bersama Kerajaan Persekutuan. Di sini, kepentingan Islam diletakkan di hadapan oleh PAS sekalipun PAS terpaksa berdepan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah politiking oleh musuh politiknya.

Tuan Guru Presiden pernah menceritakan kisah dilema raja-raja Islam di Sepanyol ketika Empayar Islam Sepanyol diancam serangan daripada tentera Salib. Maka, terdapat cadangan agar diminta bantuan daripada Kerajaan Islam di Maghribi. Namun kekhuatiran raja-raja Islam Sepanyol jikalau minta pertolongan Raja Maghribi nanti, kedudukan raja-raja Sepanyol kemungkinan akan bertukar menjadi pengembala kambing. (rendah kedudukan kerana tunduk kepada Kuasa Raja Maghribi)

Tetapi dijawab, bahawa lebih baik jadi pengembala kambing kepada Islam daripada menjadi pengembala babi kepada Tentera Salib. Akhirnya dengan bantuan Raja Maghribi, Empayar Islam Sepanyol mampu bertahan 400 tahun lagi ditambah 800 tahun sebelumnya.

Inilah pendirian PAS agar difahami semua agar kita faham dan memfokuskan hala tuju kita dengan keputusan yang diambil PAS bersama-sama mendepani PRU14. Dengan tidak lagi berkecamuk fikiran yang mampu mengganggu kerja-kerja kita memenangkan PAS dalam PRU akan datang.

Sesudahnya kita membuat keputusan dan usaha, kita menyerahkan sebulat hati kita kepada Allah swt bagi membantu dan menguruskan yang selebihnya kerana Allah menyayangi hamba yang bertawakkal kepadaNya. – HARAKAHDAILY 2/1/2018

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

- Advertisement -