PAS Mersing usaha bantu mangsa banjir

MERSING: Hujan tanpa henti selama tiga hari telah mengakibatkan banjir melanda sekitar Endau dan Mersing hingga memaksa 225 penduduk dari 62 keluarga berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dibuka.
 
Memahami kesulitan para mangsa, PAS Kawasan Mersing turun ke PPS mengedarkan sarapan dalam usaha menyelami perasaan mereka dan meringankan sedikit beban, pagi ini.
 
Rombongan diketuai Pengerusi Pusat Aduan Rakyat PAS Mersing, A. Rahman A. Hamid yang berziarah dari PPS ke PPS dan antara terawal tiba untuk menyantuni para mangsa.
 
Sehingga kini, antara lokasi dilanda banjir ialah Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan Semanyir Endau dan Kampung Air Tawar.
 
Antara PPS yang dibuka adalah Balai Raya Taman Nakhoda dengan jumlah empat keluarga dari 13 mangsa, manakala Sekolah Rendah Air Papan pula 31 keluarga dari 107 mangsa.
 
Di Sekolah Kebangsaan Tenglu terdapat 10 keluarga dari 46 mangsa, di mana Balai Raya Serbaguna Kampung Benaung pula enam keluarga dari 50 mangsa, selain PPS Endau terdiri 11 keluarga dari 39 mangsa. – HARAKAHDAILY 2/1/2018