Memo Memali: Perjuangan PAS yang belum selesai

- Advertisement -
MASIH tersimpan kemas dalam rekod saya salinan satu memorandum yang telah PAS kemukakan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri mengenai Peristiwa Memali, satu tragedi hitam yang mengorbankan 18 nyawa rakyat yang tidak berdosa di Kampung Memali, Baling, pada 19 November 1985.
 
Di dalam memorandum yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Agung PAS, Haji Yusof Rawa, pada 19 Februari 1986 ini, PAS telah menuntut tiga perkara, iaitu supaya:
(1) Kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja yang berkecuali dan berwibawa dengan seberapa segera untuk menyerlah kebenaran di sebalik Peristiwa Memali.
(2) YAB Datuk Musa Hitam yang bertanggungjawab hingga tercetusnya peristiwa berdarah di Memali itu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
(3) Mereka yang ditahan di bawah ISA akibat Peristiwa Memali itu dibebaskan tanpa syarat dengan segera atau dibawa secepat mungkin ke mahkamah pengadilan.
 
Dengan kehendak Allah, tuntutan kedua PAS di dalam memorandum ini terjadi dengan sendiri hanya sebulan selepas memorandum ini dikemukakan bila Tun Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada 16 Mac 1986 akibat perbezaan pendapat yang berlaku antara beliau dan Tun Dr Mahathir.
 
Walaupun begitu, di dalam sepucuk surat Tun Musa kepada Tun Dr Mahathir bertarikh 31 Julai 1984 yang Tun Dr Mahathir dedahkan pada 24 Oktober 2016 Tun Musa sendiri sebenarnya telah “dengan perasaan begitu keberatan dan dukacitanya” memberikan notis untuk berbuat demikian dalam tempoh setahun, iaitu “bermula daripada 1 Ogos 1985”.
 
Begitu juga dengan tuntutan ketiga PAS di dalam memorandum ini, iaitu supaya mereka yang ditahan di bawah ISA akibat Peristiwa Memali itu dibebaskan tanpa syarat dengan segera atau dibawa secepat mungkin ke mahkamah pengadilan, yang telah terjadi walaupun memakan masa bila mereka yang ditahan di bawah ISA itu akhirnya dibebaskan.
 
Oleh itu, setelah 32 tahun Peristiwa Memali berlaku, sesatunya tuntutan PAS di dalam memorandum ini yang masih belum terlaksana ialah tuntutan pertamanya, iaitu supaya kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja yang berkecuali dan berwibawa dengan seberapa segera untuk menyerlah kebenaran di sebalik Peristiwa Memali.
 
Menjadi harapan saya dan semua pencinta kebenaran di negara ini, bukan sahaja dari PAS tetapi dari semua golongan, supaya suruhanjaya siasatan diraja ke atas Peristiwa Memali ini dapat ditubuhkan segera bagi mendedahkan tangan-tangan hitam yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan terkorbannya 18 nyawa rakyat yang tidak berdosa.
 
Paling kami mahu tahu ialah apakah kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika Peristiwa Memali berlaku, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, bahawa, seperti didedahkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, dalam sidang Dewan Rakyat pada 25 Mac 2002, arahan untuk operasi serangan itu dibuat secara terus oleh Tun Dr Mahathir, adalah benar.
 
Masanya sudah tiba untuk keadilan ditegakkan. – HARAKAHDAILY 2/1/2018
- Advertisement -