Mangsa ribut Taman Fikri disantuni PAS Kemaman

KEMAMAN: Hujan lebat dan angin kencang telah menyebabkan 63 rumah mengalami kerosakan struktur bumbung akibat ditimpa ribut dalam kejadian di Taman Fikri, di sini hari ini.
 
Sehubungan itu kepimpinan PAS Kawasan Kemaman dan Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai telah turun meninjau keadaan dan menemui mangsa di perumahan tersebut.
 
Menurut Adun Chukai, Hanafiah Mat, kebanyakan rumah didapati tercabut atau jatuh kepingan atapnya di mana kejadian tersebut merupakan kali pertama sejak 30 tahun dahulu.
 
Beliau berharap semua mangsa tabah menghadapi ujian itu dan berdoa mereka mendapat ganjaran sebaiknya daripada Allah S.W.T.
 
Pihak PAS telah menghulurkan sedikit sumbangan wang tunai dan barangan makanan bagi meringankan beban mangsa serta sedang meneliti bantuan lanjut.
 
Hadir sama Yang DiPertua PAS Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid; Ketua Pemuda PAS Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmood dan Ketua Muslimat PAS Kemaman, Ustazah Fainah Mat. – HARAKAHDAILY 2/1/2017