Gerakan Islam dalam pergelutan demokrasi

- Advertisement -

PADA hujung tahun 2017, selepas kematian Ali Abdullah Saleh yang menambahkan lagi ketidaktentuan di Yaman, gerakan Islah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu, pakatan yang memulakan perang di Yaman dan sedang berusaha mencari penyelesaian politik setelah kos kewangan dan politik terus meningkat, terutama kepada Arab Saudi.

- Advertisement -

Pertemuan ini menandakan Riyadh dan Abu Dhabi (atau dua putera mahkota Mohammed bin Salman dan Mohammed bin Zayed yang menjadi penggerak dasar luar kedua-dua negara) kini sedia untuk berpakat dengan Islah bagi mencapai matlamat di Yaman, gerakan yang juga diangap Ikhwanul Muslimin Yaman dan dimusuhi kuat oleh Saudi dan Emiriyah.

Berbanding Houthi yang minoriti, daripada kabilah kurang berpengaruh dan kurang pengalaman dalam politik, Islah lebih boleh dijadikan rakan dalam perang yang satu matlamatnya menyekat pengaruh Iran – dan meluaskan pengaruh Saudi dan Emiriyah – memandangkan kaitan Islah dengan kelompok dominan di Yaman, terutama di bahagian utara.

Islah sehingga kini menjadi pihak yang paling tidak bernasib baik di Yaman, ekoran diburu Emiriyah, Saudi dan proksi mereka di dalam negara. Islah tidak diterima di Sanaa dan ditolak juga di Aden, pusat pentadbiran sementara Yaman pada masa ini.

Malah, kemaraan Islah di Yaman menjadi salah satu punca Saudi dan Emiriyah bersedia membenarkan Houthi mara dan memasuki Sanaa, walaupun menyedari potensi penguasaan itu boleh dieksploit oleh Iran.

Yaman pada masa itu, pada 2014, ialah medan terbaharu dijadikan sasaran oleh Saudi dan Emiriyah untuk mengekang dan menghapuskan kemaraan Ikhwan dan kumpulan-kumpulan yang berkaitan, selepas mengukuhkan kedudukan proksi anti-Ikhwan di Libya dan menjatuhkan Mohamed Morsi di Mesir.

Tempoh itu, bermula 2013, ialah tempoh kebangkitan Emiriyah dan Saudi memerangi Ikhwan, proksi Qatar yang bangkit dan mula memperolehi kuasa politik melalui pendemokrasian ekoran kebangkitan “Arab spring” pada masa itu.

Islah di Yaman juga bangkit hasil kebangkitan massa pada masa itu, beralih daripada menjadi sekutu Ali Abdullah Saleh kepada seterunya, perkembangan yang juga menunjukkan perluasan pengaruh Qatar di Yaman.

Selepas melonjak sejurus menjatuhkan Ali Abdullah Saleh dengan kerjasama Qatar, Islah muncul sebagai kuasa baharu politik Yaman tetapi segera disekat, dalam satu gerakan yang kelihatan menyatukan kepentingan Saudi, Emiriyah dan juga Iran.

Perkembangan terkini, pertemuan dan rundingan dengan Saudi dan Emiriyah yang selama ini bermusuh dengannya, menampakkan pragmatisme Islah sekali lagi membantunya mencari kedudukan dalam politik Yaman.

Selepas tujuh tahun, kebangkitan rakyat di rantau Arab ini telah menyaksikan beberapa gerakan Islam menjadi korban percaturan geopolitik kuasa-kuasa global dan serantau, walaupun janji-janji awal kebangkitan memberi gambaran peluang yang lebih baik kepada gerakan Islam yang selama ini ditindas.

Ikhwanul Muslimin Mesir, Hamas di Gaza antaranya telah melihat peluang untuk melonjak pada awal kebangkitan, pada tahun 2011 hingga 2012. Ikhwan Mesir dan penaungnya Qatar pada masa itu sudah mula menguasai Kaherah, dan kemudian menjadi pemerintah apabila menang pilihan raya.

Hamas melihat perpindahan ke Doha akan membawa perubahan yang lebih baik, selepas meninggalkan Syria dan menjarakkan diri daripada Iran. Menjelang penghujung 2017, apa yang disaksikan jauh berbeza berbanding yang dijangka dan diharapkan pada 2011-2012.

Episod dramatik kebangkitan rakyat di Asia Barat dan Afrika Utara ini telah menunjukkan kompleksiti politik di rantau tersebut, lebih-lebih lagi apabila melibatkan sama kuasa-kuasa asing, pihak-pihak yang sedia menjadi proksi kuasa besar, dan faktor kebangkitan gerakan Islam yang dibimbangi banyak pihak.

Apa yang berlaku ini menyediakan pelajaran yang berguna kepada semua gerakan Islam dalam menyikapi dan menangani proses demokrasi dan menghadapi aktor-aktor yang terlibat dengan pelbagai kepentingan masing-masing. – HARAKAHDAILY 2/1/2017

- Advertisement -