2018 dan masa depan umat Islam (Bah.2)

- Advertisement -
KE ARAH MALHAMAH
 
Berdasarkan fenomena yang berlaku pada 2017, kita melihat akan berlaku beberapa lagi peristiwa mengejutkan tahun ini. Ianya adalah kesinambungan daripada dasar luar dan perancangan yang telah lama diatur.
 
Perang Sunni-Syiah
 
Ketegangan antara dua kutub umat akan semakin meruncing. Satu pihak diketuai oleh Arab Saudi, dibantu negara-negara Arab lain seperti UAE dan Bahrain. Satu lagi diketuai oleh Iran, didokong oleh Syria dan Turki. Qatar, Jordan, Kuwait dan negara Arab di benua Afrika mungkin akan mengambil jalan berkecuali pada awalnya, tapi tidak pasti sampai bilakah mereka mampu bertahan dengan tekanan yang bakal diterima.
 
Blok Saudi akan didokong oleh Zionis Israel, Amerika dan Nato. Blok Iran pula akan dibantu oleh Rusia, Turki dan mungkin Korea Selatan. Setakat ini belum ada tanda-tanda untuk China terlibat secara langsung dengan politik Asia Barat, tetapi mereka juga sudah bersedia dengan kekuatan ketenteraannya terutama di Laut Merah. Tidak mustahil mereka akan turut berperanan jika keadaan mengancam kepentingan ekonomi mereka.
 
Perang antara Sunni dan Syiah menjadi taktik Barat yang dimaklumi. Selepas Francis Fukuyama menyatakan bahawa musuh utama kuasa besar kini adalah Islam, Rand Corporation melalui jurnal Unfolding Future of The Long War telah mencadangkan agar konflik Sunni-Syiah dipanjangkan bagi meneruskan cita-cita hegemoni Amerika.
 
Iran terkesan
 
Peperangan ini akan didorong atas sentimen memerangi Syiah. Iran sedikit sebanyak akan terkesan dengan serangan beberapa kumpulan ini. Wilayah Utara yang menjadi kediaman penduduk berbangsa Kurdi dijangka menjadi kawasan pertama tercetusnya konflik di negara tersebut.
 
Kini kerajaan Iran berhadapan tentangan rakyatnya yang bangkit menentang beberapa polisi dan undang-undang negara. Antaranya undang-undang berhijab yang ditentang golongan liberal. Ramai yang menggerakkan demonstrasi daripada bangsa Kurdi. Selain itu mereka turut menimbulkan isu kos sara hidup. Dijangka fenomena ini akan berlanjutan.
 
Donald Trump menyatakan sokongan penuh kepada penunjuk perasaan. Saudi pula dikatakan bersubahat dalam propaganda. Media antarabangsa menjadikan isu ini sebagai bahan utama, menampakkan ‘havoc‘ yang berlaku. Sama ada benar atau tidak mereka terlibat, pastinya kekacauan ini menguntungkan musuh Iran.
 
Kurdistan diperluas
 
Hasrat bangsa Kurdi untuk memiliki sebuah negara sendiri mungkin akan tercapai pada 2018. Referendum telah memihak kepada mereka, bakal menjadi hujah besar bagi menuntut pengiktirafan rasmi. Militia Kurdi mungkin akan terus melebarkan kuasa di Tenggara Turki, Utara Syria malah Utara Iran. Zionis dan blok Saudi akan mendokong segala hasrat Kurdistan.
 
Mengikut peta baru Asia Barat cadangan Amerika yang dibentangkan oleh Condoleeza Rice di Knisset Israel tahun 2016, negara Kurdistan yang ingin dibentuk adalah merangkumi empat buah negara iaitu Syria, Turki, Iraq dan Iran.
 
Iraq semakin berpecah
 
Akibat dari kebangkitan Kurdi dan pertembungan Sunni-Syiah yang semakin hebat, negara yang paling terkesan adalah Iraq. Kedudukan negara ini masih belum stabil walaupun sudah hampir 20 tahun dilanda peperangan. Negara ini bakal dipecahkan tiga; satu menjadi Kurdistan, satu menjadi wilayah Arab Sunni dan satu menjadi wilayah Arab Syiah sebagaimana peta baru yang dicadangkan Amerika-Zionis.
 
Iraq pada asalnya merupakan negara bermajoriti Sunni. Namun apabila Sunni sendiri berperang antara satu sama lain atas semangat kebangsaan Arab dan Kurdi, maka selepas Kurdistan diberikan wilayah autonomi, Sunni menjadi minoriti lalu hak memerintah diraih oleh Syiah.
 
Saudi gawat
 
Pertembungan Sunni-Syiah akan memberi kesan secara langsung kepada Saudi. Mereka berjiran dengan Yaman yang majoritinya adalah Syiah. Mereka juga dekat dengan Iran dan Lubnan. Di Saudi sendiri terdapat berbagai kabilah yang beraliran Syiah. Pembantaian Syiah oleh Kerajaan Saudi di negara tersebut bakal membangkitkan reaksi balas yang dikhuatiri akan membawa kepada ketidakstabilan kronik.
 
Ditambah pula dengan konflik DiRaja Bani Saud yang semakin hebat sekarang. Putera DiRaja Saudi masing-masing memiliki pengaruh sendiri. Putera Mahkotanya, Muhammad bin Salman merupakan Menteri Pertahanan kini menjadi pemimpin ‘de facto‘ Saudi. Sepupunya Muhammad bin Nayef, bekas Putera Mahkota dan Menteri Dalam Negeri yang telah dipecat memiliki pengaruh tidak boleh dinafikan berdasarkan kedudukan beliau dalam kerajaan sebelum ini. Juga al-Waleed bin Talal, bilionaire yang sering berulang alik ke Israel dan Amerika, berikrar tidak akan berdiam diri setelah ditahan, dipecat dan hartanya disita oleh kerajaan.
 
Raja Salman pula berada pada usia yang sangat tua. Beliau tidak mampu lagi mengawal Saudi mengikut kehendaknya. Anak beliau rakus mengubah beberapa polisi dan dasar Saudi yang diperkenalkan oleh Salman. Berkemungkinan selepas mangkatnya raja terakhir dari lapis anak pengasas Kerajaan Saudi ini, negara tersebut akan jadi huru hara. Perebutan takhta akan membawa kepada krisis perlembagaan, dan bakal mengheret penglibatan pihak keselamatan dan pertahanan.
 
Turki dibantai
 
Negara ini sering dijadikan sasaran dalam perbalahan kuasa besar. Peristiwa kudeta dan tembakan tentera Turki ke atas pesawat Rusia menunjukkan peranan tangan-tangan ghaib yang disebut ‘deep state‘ masih berlaku di sana. Walaupun secara zahirnya ia sedikit reda selepas cubaan kudeta 2016, tetapi kerajaan masih bergelut dalam mengekang pengaruh Gulen yang masih kuat di kalangan masyarakat dan penjawat awam. Mereka juga sedang bergelut dengan gerakan Kurdis yang semakin radikal. Kedua gerakan ini didokong oleh Amerika dan Zionis.
 
Turki merupakan negara yang paling hampir dengan kuasa Barat dari sudut geografi. Mereka menjadi ‘buffer state‘ antara kuasa Barat dan Timur. Kedudukannya yang berada di antara Laut Hitam dan Laut Mediteranian menjadi sasaran seterusnya Barat dalam mengekang pengaruh Rusia selepas berjaya menguasai Ukraine dan Greece.
 
Dengan kekacauan di Iraq, Syria dan Iran seputar isu penubuhan negara Kurdi, Turki akan menjadi lemah kerana terkepung di tengah antara kawasan konflik dan blok seteru. Tidak mustahil Barat akan jadikan negara tersebut sasaran utama serangan. Mustahil barat membiarkan sahaja negara yang pernah menjadi pusat khilafah Islam itu.
 
Baitul Maqdis ditawan
 
Segala kekacauan yang bakal berlaku ini hanya adalah satu jaminan keamanan untuk Zionis Yahudi meluaskan kekuasaan mereka di tanah jajahan Palestin. Masing-masing pemimpin politik Islam akan disibukkan dengan isu di negara sendiri. Menyebabkan kepentingan penduduk Palestin dan Baitul Maqdis serta perjuangan mempertahankan Masjidil Aqsa terabai.
 
Gerakan jihad akan menjadi lebih sukar sekiranya bantuan yang selama ini diperoleh daripada negara-negara luar terhenti. Paling terkesan adalah Hamas kerana mereka terlibat secara langsung dalam politik dan kebergantungan terhadap umat Islam sekitar.
 
Trump nampaknya tidak bercakap kosong. Dia penuh yakin akan dapat menghadiahkan Baitul Maqdis kepada Israel. Seawal Julai 2018, kita bakal melihat kedutaan pertama Amerika di sana walaupun ditentang hebat komuniti antarabangsa. Trump tampak tidak mempedulikan langsung PBB dan imej Amerika. Beliau bakal heret negara kuasa besar itu kepada masalah yang rumit.
 
Armageddon
 
Protokol Zionis yang diisytiharkan pada 1897 nampaknya masih berjalan dengan amat terancang. Walaupun lambat, tetapi semakin menunjukkan hasil. Yahudi bakal memiliki negara yang mereka idam-idamkan, di tengah kegawatan umat Islam berbantaian sesama sendiri.
 
Semua unjuran ini mungkin tidak akan berlaku sekali gus pada 2018. Tetapi proses ke arahnya sudah bermula sejak beberapa tahun dahulu, dan akan terus berjalan dan berjalan hingga mencapai matlamat.
 
Melalui apa yang dinyatakan ini, ia adalah gambaran mengenai isu  yang disebut oleh Nabi S.A.W sebagai alMalhamahah al-Kubra. Penganut Kristian mengenalinya sebagai Armageddon. Perang besar pasti akan berlaku kerana Nabi S.A.W tidak akan menipu. Cuma masanya sahaja kita tidak tahu.
 
Untuk bahagian ketiga nanti, suka untuk saya bawakan beberapa hadis yang menjadi panduan dalam melakar bacaan unjuran ini. Perkara yang dikatakan sebagai teori eskatologi. Kita akan melihat kebenaran sabda Rasulullah S.A.W dan bagaimana perkara tersebut boleh berlaku mengikut perkembangan semasa geo-politik yang telah dibentangkan.
 
15 Rabiul Akhir 1439
1 Januari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 2/1/2017
- Advertisement -