Panahan syaitan

- Advertisement -

MEJAR (B) Johan Mulia terbayang-bayang busur panah idamannya. Busur berwarna hitam berjenama Black Hunter  itu pasti akan menjadi miliknya nanti. Hendak membeli secara tunai, pastinya diluar fikirannya yang sihat. Mustahil! Pencennya hanya cukup untuk belanja bulanan dia dan keluarganya. Namun dia akan berdikit-dikit menjimatkan belanja dan busur itu akan dibelinya juga dengan bayaran ansuran.

- Advertisement -

Sepanjang masa, dia memaksa diri mengikat perut. Sarapan paginya hanya air kosong dan roti canai kosong sekeping cuma. Makan tengah harinya hanya beberapa keping biskut lemak atau beberapa keping roti Gardenia. Petang dan malam, dia makan apa yang disediakan oleh isterinya atau apa yang ada di dapur.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Mula-mula dia bayar RM100 kepada Ustaz Asiek Ulong, empunya kedai menjual alatan memanah. Di minggu berikutnya, dia tambah RM50 pula. Minggu berikutnya, dia tambah RM200 lagi. Kemudian ditambah bayaran sebanyak RM50 dua kali, menjadikan bayaran terkumpul sebanyak RM450 semuanya.

Hatinya tiada tertahan lagi untuk memiliki busur digunakan oleh ramai pemanah handalan di seluruh negara. Selepas Isya’, dia ke kedai Ustaz Asiek Ulong untuk mengisi masa terluangnya. Sejak pencen dari tentera, masanya agak banyak terluang. Dia sering ke kelab ping-pong untuk berlatih. Semenjak berkecimpung dengan aktiviti memanah ini, ping-pong semakin terpinggir dan hampir dilupakannya. Minatnya sudah beralih arah!

Jika dia tidak ke kelab ping-pong, dia pasti ke kedai Ustaz Asiek Ulong untuk bersembang santai sambil menimba ilmu memanah dari pemanah handalan itu. Ustaz Asiek Ulong juga menggunakan busur berjenama sama. Black Hunter!

Baru dia hendak bersembang santai dengan Ustaz Asiek Ulong, Sarjan Jalak misai melintang muncul di depan pintu. Sarjan polis itu juga seorang pemanah dan berkecimpung dengan riadah itu lebih setahun lalu. Sedangkan dia hanya beberapa bulan sahaja.

“Ustaz, saya hendak ambil busur Black Hunter tradisional one piece.” Sarjan Jalak bersuara tegas.

“Kejap!” Balas Ustaz Asiek Ulong sambil bergegas ke belakang kedai.

“Woi… garangnya!” Mencelah Mejer (B) Johan Mulia sambil tersengih.

“Bukan garanglah mejer… tapi teruja ni. Sangat teruja!”

“Teruja untuk memiliki busur tradisional Black Hunter yea.”

“Yelah… Busur berjenama kegemaran pemanah handalan.” Bangga nada suara Sarjan Jalak.

Ustaz Asiek Ulong keluar dari belakang kedai membawa dua kotak panjang. Lalu dipisahkan kedua kotak dan sebuah diserahkan kepada Sarjan Jalak misai melintang.

Tanpa tertangguh, Sarjan Jalak menyambar kotak itu. Lalu dia mengoyak pembukanya dan mengeluarkan busur berbalut plastik putih bergelembung udara. Dikeluarkannya busur tersebut dari plastik dan terus dipasang talinya dengan wajah gembira cukup ceria. Busur panah berwarna hitam dengan tali juga berwarna hitam nampak cukup gah. Pasti megah memilikinya. Senyumnya manis sekali seperti senyuman dara terpandang teruna idaman sedang menjelingnya manja!

Terdapat lapang sasar disediakan di kedai Ustaz Asiek Ulong tetapi cuma berjarak 15 meter antara pemanah dengan sasaran. Sarjan Jalak menguji busur Black Hunter dengan memanah bertalu-talu. Hampir semua anak panah tepat mengenai sasaran.

“Hampir semuanya bull!” Mejer (B) Johan memuji. Sarjan Jalak hanya menjawab dengan senyuman. Senyumannya semakin manis dan wajahnya kemerah-merahan bangga.

“Sebuah lagi Black Hunter untuk siapa?” Tanya Sarjan Jalak kepada Ustaz Asiek Ulong sambil menunjuk kotak sebuah lagi. Soalannya selambanya kedengaran ikhlas, tetapi mungkin juga untuk melarikan diri dari menjawab pujian Mejer (B) Johan sebentar tadi.

“Yang ini belum bertuan tetapi sudah ramai yang bertanya.”

“Macam best jer busur Black Hunter ini.” Mejer (B) Johan menyampuk seperti ada hajat seni terselit kemas.

“Mejer guna busur apa sekarang ini?” tanya ustaz Asiek Ulong.

“Tiga bulan lalu, saya guna busur pvc. Pakai sebulan lebih, patah dua. Lepas itu, saya guna busur buatan sendiri dari batang fiberglass.”

“Macam mana tak patah ustaz! Dia berlatih memanah hampir setiap pagi. Kadang-kadang sambung di belah petang pula. Mungkin 300 kali dia memanah sehari!” Sarjan Jalak mencelah.
Mejer (B) Johan hanya tersengih malu.

“Pengerusi surau beritahu ramai mengadu dan tidak puas hati kawasan lapang di sebelah bangunan substesyen TNB dijadikan lapang sasar memanah. Di mana kita hendak memanah?” Mejer (B) Johan meluahkan keluhan hatinya.

“Siapa yang mengadu dan kenapa mengadu kepada pengerusi surau pula?” bertanya Sarjan Jalak.

“Entahlah. Dengarnya ramai yang memekak dalam wassap grup surau. Ada yang duduk di fasa lain pun berapi-api komennya. Bergaduh-gaduh sesama jemaah pasal memanah di tanah lapang sebelah substesyen TNB.”

“Apa yang mereka tidak puashatinya?”

“Mereka mengadu lapang sasar itu tidak selamat. Dekat dengan rumah mereka. Anak-anak mereka juga selalu bermain bola sepak di situ. Mereka takut anak-anak mereka terkena anak panah!”

“Depan lapang sasar ada bangunan sunstesyen TNB. Selepas bangunan itu, hanya kawasan kosong. Lapang sasar di bawah, rumah mereka di atas cerunan bukit di sebelah kanan. Jauh rumah mereka, lebih dari 20 meter. Sebelah kiri jalan raya. Rasanya cukup selamat dah…

“Padang permainan bukannya jauh, padang bola di taman ini juga ada dua buah. Kenapa tempat lapang sekangkang kera itu pula menjadi tempat bermain anak-anak mereka pula?”

“Entahlah sarjan. Aku pun tidak faham. Bahaya konon, sedangkan remaja merempit hampir setiap malam. Berapa kali kemalangan terjadi. Ada yang patah kaki dan tulang rusuk. Merempit itu lagi berbahaya dari memanah. Kenapa itu tidak diheboh kecohkan?”

“Sebelum ini, kita memanah di padang utama. Orang tidak puas hati. Mengadu di sana-sini. Takut terkena panah sedangkan padang itu luas. Kita cuma menumpang sedikit tanah di tepinya saja, jauh dari tempat orang berjogging dan bermain bola.

“Kita pindah di tanah sebelah surau, belakang padang permainan kanak-kanak. Ada bukit di depan tetapi jarak pemanah dengan sasaran dekat sangat. Tidak lebih 20 meter. Semak di kiri kanan. Nyamuk pula banyak. Selepas itu, semak-samun dibersihkan dan dibuat kebun oleh seorang penduduk taman, sampai menghalau pergi anak-anak hendak berlatih memanah.

“Sekarang tempat itu sudah dipagarnya seperti tanah bergeran miliknya. Kalau diadu ke majlis perbandaran, tanaman di kebun haram itu pasti diratakan serata tanah dan pagar itu akan diroboh diangkut lori.”

“Sarjan jumpalah orang itu. Bincang baik-baik. Kawasan itu bukan untuk bercucuk tanam. Tanah itu tapak permainan anak-anak!”

“Tak berguna berbincang dengan orang seperti itu, mejer! Kepalanya keras sekeras kepala anak panah. Boleh bergaduh jadinya. AJK surau mengadu, orang yang sama memetik buah di tanah perkarangan surau tanpa segan silu seperti pohon-pohon itu milik mutlaknya. Tidak pernah diminta dari mana-mana AJK surau. Sedangkan orang lain yang menanam, menjaga dan membajanya. Orang yang menanam itu pun, apabila hendak memetik buah dari pohon yang ditanamnya, dia minta izin dari AJK surau.”

“Sarjan, ada tanah luas di tepi kolam takungan. Mungkin sesuai untuk dijadikan lapang sasar alternatif. Jika tempat itu terlalu kontroversi, kita pindah ke situ.”

“Tanah itu penuh dengan semak-samun, mejer! Kena sewa jentolak untuk bersihkan semak dan meratakan tanah. Banyak belanja diperlukan. Kalau hujan, tanahnya pasti becak bertakung air. Sekelilingnya pula banyak tanah diteroka penduduk dijadikan kebun. Bukan itu sahaja, ular sering kelihatan di situ. Kadang-kadang babi hutan pun berkeliaran, mungkin mencari ubi kayu di kebun-kebun penduduk. Sangat bahaya terutama anak-anak memanah tanpa penyeliaan orang dewasa.”

“Itu bukan masalah tempat tetapi masalah orang. Benda-benda baik ini sering dibenci orang berhati gersang. Gersang dari iman. Apatah lagi, jika benda-benda baik itu berkaitan dengan sunnah nabi Muhamad SAW. Pasti ramai yang menentangnya tak bersebab.” Mencelah Ustaz Asiek Ulong, sedari tadi, dia hanya mendengar sahaja.

Sarjan Jalak dan Mejer (B) Johan hanya mendiamkan diri. Mungkin tergamam kerana celahan Ustaz Asiek Ulong tiba-tiba.

“Ada yang hendak buat laporan polis.”

“Aik… Bukankah polis yang merintis aktiviti memanah di situ?” Ustaz Asiek Ulong memandang Sarjan Jalak sambil tersenyum sinis.

“Entahlah ustaz… Banyak kegiatan penduduk taman yang lebih berbahaya dan tiada bermoral terjadi di depan mata tetapi didiamkan. Merempit, berkhalwat, minum air ketum, bermain karom dan dam sehingga ke pagi. Aktiviti memanah pula menjadi perbualan reja mereka seharian. Mereka anggap macam sampah! Sedangkan ini kegiataan sunnah dan riadah yang baik.”
 
“Sebenarnya mereka mengumpat keji bukan kerana takut anak mereka terkena anak panah… tetapi hati mereka sudah terkena salah satu panahan syaitan! Menjadikan hati mereka luka dan sakit. Sakit apabila melihat manusia berbondong-bondong hendak kembali kepada ajaran Islam dan cuba mengamalkan amalan sunnah yang mulia termasuk aktiviti memanah ini…” Sambung Ustaz Asiek Ulong lagi terselit ingatan menyusuk hati.

“Betul itu ustaz! Apa yang Nabi saw kasihi, pasti syaitan iri hati. Apa yang nabi saw benci, pasti syaitan bergembira menggemari…!” Mejer (B) Johan menambah tazkirah Ustaz  Asiek Ulong.

“Saya balik dulu ustaz. Esok bertugas pagi.” Sarjan Jalak meninggalkan kedai Ustaz Asiek Ulong setelah memberi salam dan Ustaz Asiek Ulong dan Mejer (B) Johan menjawab salam dan seterusnya memerhatikan gerak langkah Sarjan Jalak meninggalkan kedai.

“Hai mejer… dari tadi asyik memerhatikan Black Hunter jer… Kalau mejer mahu, tambah RM100 sahaja lagi.”

“Saya belum ada duitnya lagi ustaz. Kalau ustaz izinkan, saya ambil dulu… Bayar bakinya kemudian tetapi tidak pasti bila.”

“Bolehlah…” jawab Ustaz Asiek Ulong agak sedikit keberatan. Dia menghulurkan kotak kedua kepada Mejer Johan sambil tersenyum akhirnya.

Tanpa berlengah, Mejer (B) Johan mengeluarkan busur dari kotak dan memasang talinya. Lalu dia pula mencuba memanah berkali-kali seperti tiada hari esok lagi.

“Lembutnya busur panah ini tapi panahannya selaju halilintar!”

Ustaz Asiek Ulong hanya tersenyum. Masih ada sisa-sisa insan amat berminat dengan aktiviti sunnah memanah ini. Sisa-sisa ini semakin berkembang!

NOTA :
“Nabi SAW telah berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Panahlah, wahai bani Ismail kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah”.
(Hadis riwayat al-Bukhari){/mprestriction}

- Advertisement -