Masih gelap di hujung terowong

- Advertisement -

TUN Mahathir terus mengekalkan rekod permusuhan dan mempertahankan fitnahnya terhadap PAS dan syuhada’ Memali. Kini beliau mengheret para mufti terhumban dalam kancah fitnah liar yang direkanya.

- Advertisement -

Ucapan penggulungan beliau di Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal Convention Center Shah Alam jelas mempamerkan beliau masih gagal menginsafi kesalahan besar yang telah beliau lakukan sejak menjawat kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun.

PAS JUAL AGAMA

nasrudinFitnah lapuk yang dikisar semula tanpa jemu ialah kononnya PAS menjual agama, memperalatkan agama demi kepentingan politik. Saya percaya, tidak akan ramai yang terpedaya dengan dakyah songsang Tun Dr Mahathir.

Dunia teknologi maklumat hari ini telah berjaya membekalkan maklumat jelas kepada masyarakat sekali gus menampakkan wajah sebenar perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Apakah perjuangan PAS untuk;

a) Memperkasakan Mahkamah Syariah
b) Mendaulatkan Syariat Islam
c) Mewujudkan nilai-nilai hidup Islam
d) Mempertahankan kesucian Islam
e) Pertahankan kemerdekaan negara
f) Menentang ISA, rasuah, judi, zina, riba
g) Menentang gaya hidup bebas, LGBT
h) Perjuangkan isu Rohingya, Palestine
i) Menentang pecah amanah, salah guna kuasa, penyelewengan
j) Perjuangkan hak rakyat mendepani isu kenaikan harga barang, kos sara hidup, percukaian GST, Royalti Petroleum dan sebagainya,

(Sekadar menyenaraikan sebahagian kecil apa yang telah diperjuangkan oleh PAS)

Ini disifatkan sebagai menjual agama?

Perlembagaan PAS jelas menyebut pada:

a) Fasalnya yang ke 3, bahawa Dasar PAS ialah ISLAM.

b) Fasalnya yang ke 5 (a), tujuan PAS ditubuh adalah: “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.”

c) Fasalnya yang ke 6 (b), di bawah tajuk Usaha-usaha PAS ialah : “Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari‟at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan”

Jika tindakan PAS bercanggah dengan perlembagaan atau undang-undang tubuhnya, maka sudah lama perjuangan PAS ini akan ditolak oleh rakyat dan diambil tindakan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau dibatalkan pendaftarannya seperti UMNO yang pernah diharamkan.

TIDAK SOKONG PAS KAFIR

Tuduhan jahat ini memerlukan bukti. PAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Malah tiada disebut pun dalam “Amanat Haji Hadi” bagai yang didakwa. Bahkan mereka yang mengamati “Amanat Haji Hadi” secara teliti dan saksama, nescaya memahami bahawa amanat itu tidak sekali-kali mendakwa siapa yang tidak sokong PAS sebagai kafir.

Fitnah ini telah saya dengar sejak tahun 80-an lagi. Filem hitam putih yang cuba ditayang semula oleh Tun Dr Mahathir di pawagam 3D.

KINI FITNAH MUFTI PULA

Tun Dr Mahathir cuba touch up fitnahnya dengan membabitkan mufti. Beliau cuba memperbodohkan mufti. Seperti mufti tiada ilmu dan keberanian sehingga konon tidak menangkis Amanat Haji Hadi. Beliau terlalu merendahkan keupayaan dan kedudukan para mufti.

IBRAHIM LIBYA ANJUR PEMBERONTAKAN BERSENJATA

Asy Syahid Ibrahim Libya dan rakan-rakannya syahid di pekarangan rumahnya. Asy Syahid diserang bukan menyerang. Bagaimana mereka dianggap melancarkan pemberontakan bersenjata? Mereka bukan menyerang Bukit Aman? Tun Dr Mahathir bangkitkan 4 anggota polis terbunuh? Bagaimana dengan penduduk kampung yang diserang dan 14 dari mereka terbunuh?

Jika mereka adalah pemberontak bersenjata, mengapa Al Marhum KDYM Sultan Abdul Halim Sultan Negeri Kedah berkenan menyiram air mawar di pusara para syuhada Memali dan menghadiahkan nisan untuk pusara mereka?

Buat Tun Dr Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
12 Rabiul Akhir 1439 / 31 December 2017 – HARAKAHDAILY 31/12/2017

- Advertisement -