2018 dan masa depan umat Islam (Bah.1)

- Advertisement -
RUMUSAN 2017
 
Sebelum berbicara mengenai 2018, ada baiknya untuk kita muhasabah dahulu keadaan ummah sepanjang tahun ini. Pasti ada kaitan antara satu sama lain. 2017 meninggalkan kita dengan berbagai episod mengejutkan. Berikut adalah ringkasan babak-babak penting geo-politik mengikut kronologi.
 
Trump
 
Didahului dengan pertabalan Donald Trump sebagai Presiden Amerika yang sah pada 20 Januari. Beliau mengorak langkah yang agak pelik berbanding Presiden-presiden lain. Amalan biasa Presiden Amerika adalah melawat negara-negara sekutu terdekat mereka dalam masa sebulan selepas mereka menaiki takhta. Antara negara yang biasa dilawati adalah jirannya Canada, Mexico, dan negara-negara Eropah.
 
Berbeza dengan Trump, beliau menangguhkan lawatan pertama ke luar negara kira-kira empat bulan lamanya. Kelewatan itu dipercayai disebabkan proses ‘grooming‘ yang dilalui Trump untuk bergerak selari dengan agenda Zionis.
 
Beliau merupakan calon bukan Zionis yang berjaya menjadi Presiden menewaskan calon pilihan Hilary Clinton. Selepas beberapa bulan, banyak sikap Trump berubah terutama berkait politik luar Amerika yang pada masa kempennya bersifat isolationist dan protectionist.
 
Ismael Haniyeh
 
6 Mei 2017, bekas Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniyeh dipilih sebagai Ketua Biro Politik Hamas yang baharu menggantikan Khaled Mesyaal. Pertukaran jawatan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan dasar Hamas terhadap Iran. Hubungan antara Hamas dan Iran kembali utuh selepas beberapa bulan terjejas ekoran Hamas yang terpengaruh dengan politik Arab mengecam Iran.
 
Ketika hubungan antara Hamas dan Qatar yang semakin lemah waktu itu, Haniyeh mengambil tindakan berani memperbaiki semula hubungan dengan Iran menerusi kunjungan rasmi dan mengeluarkan kenyataan penghargaan terhadap bantuan negara tersebut sehingga kini.
 
Riyadh Summit
 
Pada 20 Mei 2017, Trump memilih Arab Saudi sebagai destinasi pertama lawatan antarabangsanya sebelum ke Israel dua hari selepas itu. Di Riyadh, Trump telah mengumpulkan semua pemimpin negara umat Islam dari seluruh dunia dalam sebuah persidangan. Daripada 57 negara OIC, sebanyak 55 wakil negara Islam terlibat dalam persidangan ini termasuk Saudi. Hanya Iran dan Syria yang tidak diundang.
 
Dalam persidangan tersebut, Trump menekankan soal pengganas dan menganggap Iran sebagai pengganas utama dunia yang perlu dihapuskan. Walaupun beliau menyatakan keganasan tidak ada kena mengena dengan mazhab atau fahaman, tetapi beliau menuduh Iran dan Hezbollah sebagai punca utama konflik di Asia Barat. Ironinya, ia tidak ditujukan sama sekali kepada ISIS.
 
Persidangan telah mencapai satu resolusi penting iaitu berikrar untuk memerangi keganasan. Ini bukan suatu yang pelik kerana sejak zaman George W.Bush lagi telah mengisytiharkan War On Terror. Cuma bezanya, kali ini Amerika telah berjaya mengumpulkan pemimpin Islam bagi melakukan pengisytiharan yang sama.
 
Nato Arab
 
Persidangan itu telah berjaya menggerakkan pakatan tentera bersekutu Arab yang dikenali sebagai Nato Arab atas alasan memerangi keganasan. Dipimpin oleh Saudi atau lebih spesifiknya Menteri Pertahanannya, Muhammad bin Salman, objektif pertamanya adalah untuk menyokong misi ketenteraan pakatan tentera Saudi ke atas Yemen yang dilancarkan sejak 2015.
 
Dengan penglibatan Nato Arab, serangan ke atas Yemen menjadi semakin dahsyat. Fokus utama mereka adalah untuk menyekat kemaraan pengaruh Iran yang kini berjaya melobi kabilah Houthi. Houthi adalah satu kabilah yang sebelum ini didanai oleh Saudi bagi mencetuskan huru-hara sejak perang saudara sekitar 60-an.
 
Yemen
 
Yemen menjadi lokasi kritikal buat kuasa Barat kerana ia terletak di Selat Bab el-Mandab, Selatan Laut Merah. Selat itu menjadi laluan laut utama Barat ke Timur melalui Terusan Suez di sebelah Utara. Penguasaan Iran ke atas Yemen melalui Houthi mengancam kepentingan ekonomi Amerika dan juga Zionis. Teknologi ketenteraan yang dimiliki Iran mampu menghantar misil ke seluruh permukaan Selat Bab el-Mandab.
 
Kerana itulah pada 2015, Nentanyahu pergi ke Kongres Amerika mengutuk tindakan Obama membiarkan Yemen dikuasai Houthi. Di Washington, Saudi mengisytiharkan perang terhadap Syiah bagi menghalalkan tindakan terhadap kabilah Houthi.
 
Qatar
 
Tanggal 5 Jun, dua minggu selepas Persidangan Riyadh, beberapa negara Arab termasuk Saudi, Bahrain, Mesir dan UAE memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. Difahamkan kerana Qatar tidak mengambil pendekatan selari dengan kemahuan Saudi kerana masih menjalin hubungan baik dengan Iran dan Hamas. Bahkan melindungi beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin.
 
Pendirian Qatar adalah dipengaruhi faktor geo-ekonomi dan geo-politik. Ini kerana negara tersebut berkongsi sempadan dengan Iran di Teluk Arab. Di sana terdapat medan gas terbesar di dunia. Mengambil sikap bermusuh bukan sahaja merugikan ekonomi, bahkan negara kecil itu akan menjadi korban pertama seandainya berlaku perang antara Arab dan Iran.
 
Krisis DiRaja Saudi
 
Pada 21 Jun, anak saudara Raja Salman Muhammad bin Nayef (MBN) dipecat dari takhta Putera Mahkota dan jawatan Menteri Dalam Negeri. Takhta tersebut digantikan oleh Muhamad bin Salman (MBS), anak Raja Salman yang juga merupakan Menteri Pertahanan Saudi. Perkara tersebut mencetuskan konflik diraja Saudi sehingga menyebabkan dua sepupu MBS iaitu Mansour bin Muqrin dan Abdul Aziz bin Fahd terbunuh pada 5 dan 6 November dalam insiden berprofil tinggi.
 
Seramai 11 kerabat yang lain turut ditahan selepas itu termasuk sepupunya yang terkenal sebagai bilionaire, al-Waleed bin Talal. Namun krisis tersebut sehingga kini masih tidak terhenti. MBS berikrar akan menghapuskan semua pesaingnya manakala al-Waleed pula berikrar tidak akan berdiam diri.
 
Masjidil Aqsa
 
Pada 14 Julai 2017, Israel telah mengambil tindakan menutup Masjidil Aqsa setelah dua tenteranya mati ditembak di kawasan masjid, walaupun penembak itu telah juga terbunuh. Tindakan Israel mengundang kemarahan seluruh umat Islam dan protes berlaku di seluruh dunia.
 
Namun dua hari selepas itu, Israel membuka kembali tetapi memasang peranti pengesan senjata di pintu masuk masjid. Umat Islam memprotes tindakan tersebut. Israel khuatir intifadhah bakal meletus.
 
Kurdistan
 
Berlaku tanggal 14 September, satu referendum diadakan bagi membentuk negara Kurdistan merdeka di Utara Iraq. Majoriti bangsa Kurdi di Iraq bersetuju menubuhkan negara baru itu. Tetapi sehingga kini, ia masih belum ditubuhkan secara rasmi.
 
Bangsa Kurdi sudah lama bercita-cita mahu menubuhkan negara bangsa tersendiri. Selain Iraq, mereka turut menuntut hak ke atas utara Syria dan tenggara Turki. Mereka didokong penuh oleh Zionis Yahudi dan menduduki kawasan hulu Sungat Furat.
 
Hariri dan Liga Arab
 
Pada 4 November, Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri meletak jawatan atas alasan berlaku campur tangan Iran ke atas negara tersebut melalui Hezbollah. Rentetan itu pada 19 November 2017, diadakan Persidangan Liga Arab di Kaherah, Mesir. Saudi dan Bahrain mengkritik Iran sebagai dalang kekacauan di Timur Tengah dan menggesa semua negara Arab bersatu menentang Iran.
 
Fatwa Hamas Teroris
 
Tarikh 13 November, Menteri Komunikasi Israel Ayoub Kara mengucapkan terima kasih kepada Mufti Saudi, Abdul Aziz Al Syaikh atas fatwanya mengharamkan serangan ke atas Israel, dan menyatakan Hamas sebagai pengganas. Beliau turut dijemput ke Tel Aviv sebagai tetamu kehormat. Kenyataan ini dpercayai ekoran kebimbangan Israel terhadap Intifadhah selepas peristiwa Masjidil Aqsa pada Julai sebelum itu.
 
Tiada sebarang kenyataan rasmi dari mufti tersebut sama ada mengiyakan atau menafikan perkara tersebut. Tetapi serangan agamawan pro-Saudi terhadap Hamas menjadi viral sekelip mata di media sosial dan sebagainya. Antara peluru ditabur adalah kerana Hamas bekerjasama dengan Iran yang dianggap sebagai pengganas.
 
Syria-Rusia
 
Detik 20 November, Presiden Vladimir Putin mengumumkan bakal mengakhiri operasi ketenteraan mereka di Syria. Media melaporkan mereka telah menang dalam pertempuran di negara tersebut. Namun begitu, US menyangkal kenyataan Rusia dengan berkata bahawa ISIS masih belum kalah.
 
Secara umumnya Syria kembali didominasi oleh rejim Bashar. ISIS hanya membuat kacau di sempadan Turki dan Iraq sahaja. Iran pula sedang membina pangkalan tentera mereka berhampiran Damsyik, ibu negara Syria. Perkara ini mendapat kecaman hebat dari Tel Aviv malah pihak media melaporkan cubaan serangan daripada Israel terhadap pangkalan yang berjiran dengan kem ketenteraan Syria.
 
Senarai pengganas
 
Tanggal 21 November, satu kenyataan bersama dibuat antara Saudi, UAE dan Bahrain dengan menyenaraikan beberapa individu dan agensi yang berkait pengganas. Antara yang disebut adalah Dr Yusof al-Qardawi, bekas pemimpin Ikhwanul Muslimin dan beberapa pemimpin Gerakan Islam lain, selain agensi media dan organisasi Syiah di Bahrain. Selepas itu ditambah beberapa nama lagi termasuk Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang berpusat di Qatar.
 
Masjid Mesir diserang
 
Pada 24 November, Masjid Rawda di Semenanjung Sinai, Mesir telah diserang mengakibatkan kira-kira 150 orang terkorban. Mesir sebelum itu telah menarik balik sokongan ketenteraan kepada Nato Arab bagi memerangi Iran walaupun masih menyokong tindakan Saudi dan negara terbabit dari segi politik. 
 
Pengeboman di Sinai dipercayai berkait dengan perkembangan tersebut, selain desakan agar menerima perjanjian penyelesaian Israel-Palestin yang disebut sebagai Deal of The Century. Ia melibatkan Mesir dengan Israel, Amerika dan Jordan.
 
Baitulmaqdis
 
Seluruh dunia bertumpu tarikh 6 Disember, Trump mengisytiharkan Jerusalem (Baitulmaqdis) sebagai ibunegara Israel dan akan memindahkan kedutaan mereka daripada Tel Aviv ke sana. Sekali lagi umat Islam seluruh dunia memprotes, tetapi pemimpin politik Islam menunjukkan reaksi yang berbagai ragam.
 
Kerajaan Mesir menghalang sebarang himpunan bantahan diadakan di negara terbabit. Saudi pula mencadangkan agar dilepaskan sahaja Baitulmaqdis kepada Zionis, dan mencadangkan Abu Dis sebagai ibunegara ganti Palestin. Turki pula sebelum itu menyatakan akan memutuskan hubungan dengan Amerika jika mengisytiharkannya, tetapi sehingga kini tiada kenyataan susulan selain mengkritik di persidangan OIC di Istanbul pada 13 Disember.
 
Ali Saleh
 
Kejutan berlaku pada 10 Disember, bekas Pesiden Yaman Ali Abdullah Saleh mati dibunuh. Beliau setelah jatuh dari takhta, telah berpakat dengan Houthi bagi menimbulkan kekacauan di Sanaa bagi menggugat kepimpinan Presiden Robuh Mansour Hadi. Namun beliau disyaki belot apabila menyalurkan maklumat kepada Saudi tentang kedudukan Houthi, menyebabkan dirinya terbunuh.
 
Beliau merupakan Presiden pertama Republik Yaman sejak penggabungan antara Utara dan Selatan tahun 1990. Terkenal dengan ayat ‘menari di atas kepala ular’ kerana kebijaksanaannya ‘menyatukan’ pelbagai kabilah berpengaruh di sana dengan berbagai taktik yang pragmatik. Tetapi akhirnya segala tembelangnya pecah.
 
Itulah beberapa perkara yang melatari ambang 2018. Semua perkara ini perlu diambil kira dalam membaca unjuran politik dan masa depan umat Islam pada 2018. Insya-Allah saya akan sambung tulisan ini, khusus mengenai ramalan perkara-perkara penting yang bakal berlaku pada bahagian kedua nanti.
 
12 Rabiul Akhir 1439
30 Disember 2017
 
ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 31/12/2017
- Advertisement -