Umat diseru serah mandat pada Islam

- Advertisement -

KUALA LIPIS: PAS Kawasan Lipis telah menganjurkan majlis ceramah bertema “Selamatkan Baitul Maqdis” yang dilangsungkan di Kampung Kuala Lanar, di sini semalam.
 
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya pada ceramah itu menegaskan seruan penting agar umat Islam mengangkat kepimpinan Islam agar tercapainya tujuan kehidupan.
 
Beliau mengemukakan renungan terhadap pembangunan yang dapat dilihat dalam Daerah Lipis di mana masih terpinggir dari arus pembangunan walaupun kaya dengan hasil mahsul seperti balak dan emas.
 
Perkara itu jelasnya, berbeza dari Kelantan yang sejak dimenangi PAS tahun 1990, rakyat negeri itu mendapat manfaat dari pentadbiran yang bersih dalam sudut ekonomi, siyasah dan keadilan sosial walaupun didiskriminasi Kerajaan Pusat menerusi sekatan royalti petroleum.
 
Menurutnya, dalam usaha menegakkan pemerintahan Islam, umat mestilah meneladani para Sahabat R.A khususnya dalam perkara mentaati pemimpin yang benar, selain thabat serta tidak meninggalkan perjuangan.
 
Beliau memetik iktibar Perjanjian Hudaibiyah yang ditanggapi para Sahabat R.A sebagai berat sebelah serta tidak menguntungkan Islam hingga mereka membantah Rasulullah S.A.W, namun tetap tidak meninggalkan perjuangan.
 
“Malangnya hari ini, ada orang yang tidak bersetuju dengan pimpinan, tetapi akhirnya meninggalkan perjuangan dan menubuhkan kelompok baru. Kononnya dikatakan berjuang untuk menegakkan Islam.
 
“Islam mengajar kita supaya menegur pemimpin jika dia melakukan kesilapan, sama seperti makmum kena tegur imam jika dia tersilap atau terlupa,” ujarnya mengemuka analogi.
 
Beliau turut menyeru untuk mencontohi anak-anak muda yang menyertai PAS di mana mereka itu terlibat aktif dengan aktiviti kebajikan dan menyelamat bencana walaupun tanpa bayaran, selaim menjaga akhlak.
 
Sementara itu dalam mengulas isu Baitul Maqdis, Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir menegaskan bahawa PAS tetap membantah cadangan ‘two state solution’ yang menjadikan tanah suci umat Islam itu milik bersama Palestin dan Israel.
 
Persamaan pendirian itulah jelasnya yang membolehkan PAS berada bersama Kerajaan Malaysia dalam himpunan bantahan di Kedutaan Amerika dan majlis solidariti di Putrajaya baru-baru ini.
 
Hadir sama dan menyampaikan ucapan pada majlis tersebut adalah Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang, Roslan Zainal. – HARAKAHDAILY 30/12/2017
- Advertisement -