Cuci darah dengan ulam raja?

- Advertisement -

KITA cukup skeptikal jika terdapat dakwaan sesuatu bahan yang baharu itu mengubati penyakit tertentu terutamanya penyakit kronik seperti darah tinggi, buah pinggang, kencing manis, jantung dan lain-lain. Tersebar video seorang jejaka yang mempromosi ulam raja sebagai herba yang mampu mencuci darah manusia. Walaupun ucapan dia masih ragu-ragu akan dakwaan tersebut, kepandaian beliau mempromosi itu menunjukkan bahawa ulam raja sudah terbukti secara sah mampu mencuci darah.

- Advertisement -

drsuhazeli2Amat menarik review yang dibuat oleh Dr Che Puteh Osman berkaitan ulam raja ini. Rajin pulak beliau mentelaah pelbagai jurnal kajian dalam tempoh sehari.[1] Kesimpulan yang boleh saya gali dari tulisan beliau beserta tambahan ulasan dari saya:

1) Ulam raja enak dimakan. Ianya sejenis ulam yang tinggi anti-oksida. Kandungan sebatian fenolik yang menjadikan ia sebagai anti-oksida mengklaskan ianya sebagai tumbuhan yang unik. Sesungguhnya banyak herba dalam negara kita kaya dengan kandungan anti-oksida. Anti-oksida ini penting bagi mengelakkan radikal bebas dalam tubuh manusia berkumpul seterusnya boleh berlaku radang kepada sel. Radikal bebas boleh menyebabkan kerosakan secara tidak langsung sel-sel tubuh sehinggalah penyakit menghinggapi. Pun begitu jangan salah faham, anti-oksida ini bukan anti kanser, bukan anti-diabetes, bukan anti-darah tinggi dan sebagainya.

2) Sudah terdapat beberapa pengkaji yang ingin membuktikan ulam raja ini ubat kencing manis, ubat darah tinggi, ubat pembunuh kuman, ubat tekanan oksidatif dan ubat meningkatkan tenaga batin. Semua kajian dilakukan ke atas tikus mengikut dos yang tertentu. Terdapat reaksi positif terhadap tikus-tikus tersebut. Tetapi sehingga kini kajian ke atas manusia tidak diteruskan kecuali satu kajian terbaharu untuk melihat kesan gula dalam darah pesakit kencing manis. Bacaan gula turun dalam tempoh 8 minggu dengan mengambil 15 gram ulam raja, 2 kali sehari. Walau bagaimanapun kawalan gula (paras HbA1c) tidak signifikan. Bermaksud, tidak boleh dikaitkan pengambilan ulam raja ini dengan kawalan kencing manis dalam tempoh 2 bulan. Lagi pun siapa sanggup makan ulam raja ini 2 pinggan sehari selama-lamanya? Jika ada pil yang direka, perlu dibuat kajian klinikal terlebih dahulu sebelum dipasarkan. Pandangan dari sudut ekonomi mungkin tidak berbaloi, kerana ubat kencing manis (ubat moden) yang sedia ada lebih menjanjikan penurunan gula yang signifikan.

3) Ulam raja tidak boleh dianggap sebagai ubat pencuci darah kerana kajian ke atas tikus-tikus itu tidak menunjukkan kesan ketara ke atas buah pinggang. Lebih merungsingkan terdapat satu kajian, pengambilan ulam raja yang berlebihan boleh memberi kesan toksid kepada hati. Isu kedua akan timbul jika diambil berlebihan, iaitu kandungan pottasium yang terdapat dalam ulam raja boleh membahayakan kepada pesakit terutamanya pesakit buah pinggang.

Sekian ulasan selanjar dari suhazeli.com
Jika tak tepat kabo deh
Fb.Com/drsuhazeli
30.12.2017
Kuala Berang

Link
[1] Review Che Puteh Osman berkaitan Ulam Raja. https://www.facebook.com/cheputeh.osman/posts/1965189473508515

- Advertisement -