Pilihlah pemimpin berintegriti dalam PRU-14

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah penuh yakin bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) merupakan satu medan yang memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang paling berintegriti.

- Advertisement -

PAS Sabah berharap rakyat akan menggunakan kuasa memilih mereka sebaiknya pada PRU-14. Sudah sampai masanya tumpuan harus diberikan kepada pemimpin yang paling berintegriti.

Keadaan politik semasa menunjukkan bahawa ramai pemimpin politik sama ada yang berada dalam kerajaan sekarang, atau yang pernah memegang jawatan, terpalit dengan pelbagai isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Paradigma rakyat mesti berubah. Rakyat mesti menjadi pemilih kelas pertama. Pemikiran rakyat mesti umpama rakyat negara maju. Pemimpin yang tidak amanah dan tidak berintegriti jangan diberi tempat dalam pentadbiran politik.

Oleh sebab itulah PAS selalu menekankan soal berpolitik dengan agama. Saya kira ini juga selari dengan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

Rakyat mesti mengangkat martabat mereka sebagai pemilih yang berkesan. Walaupun pilihan raya diadakan setiap lima tahun, tetapi implikasi terhadap sesuatu keputusan akan memberi kesan jangka panjang.

Inilah juga yang disebutkan oleh PAS dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 51). Akibat daripada pelbagai masalah pentadbiran dan politik yang berlaku, maka PAS menyarankan supaya rakyat berani membuat keputusan dengan memilih wakil rakyat yang bersih, berintegriti dan beramanah.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
28 Disember 2017. – HARAKAHDAILY 28/12/2017

- Advertisement -