Cari makan dengan fitnah

- Advertisement -

MANUSIA tak boleh hidup kalau tak makan. Maka pergerakan manusia seharian adalah untuk cari makan. Ke laut dalam, ke awan tinggi, ke hutan belantara, ke tengah kota, malah seluruh pelosok alam, manusia jelajah untuk mencari sesuap makanan.

- Advertisement -

Keperluan untuk makan memang mendesak. Ada yang tak peduli halal dan haram. Asal boleh makan dan kena dengan selera, maka mereka makan semahunya. Asal kenyang dan sendawa, maka puas hati mereka.

Makanan asasi negara kita ialah nasi. Ada negara makanan asasi mereka ialah roti. Zaman dulu-dulu, saya biasa dengar kisah orang makan orang di daerah pedalaman Amazon. Apakah masih wujud spesies kanibal itu di zaman moden ini, saya tidak pasti.

Tapi ternyata, himpitan ekonomi dan pergolakan politik serta krisis kemanusiaan di beberapa negara dan daerah dalam dunia ini mencetus situasi payah nak cari makan. Ramai yang mati kebulur seperti yang pernah berlaku di Sudan, Somalia dan kini Syria dan Yemen.

Krisis begini, rupanya mengembalikan semula spesies “kanibal” dalam dunia moden. Lahirnya golongan kawan makan kawan. Dunia jadi saksi, penghuninya makin kejam dan rakus. Asal boleh cari makan, mereka sanggup buat apa sahaja.

Saingan pekerjaan mungkin sukar. Era digital mutakhir ini menjadikan industri asas tani dan pembangunan tidak popular. Susah nak jana duit. Hasil tak lumayan. Ada yang beralih ke “Industri Fitnah” sebagai sektor baru yang dilihat mudah jana income.

Berbekalkan smartphone sahaja, mereka boleh jana ribu riban pendapatan bulanan melalui industri fitnah ini. Hanya “create and viral” atau “copy and paste”, industri fitnah ini menawarkan pendapatan lumayan kepada mereka.

Saya dapati industri fitnah kian pesat dan dinaik taraf dari masa ke semasa. Pengasas industri ini iaitu Syaithan bin Iblis memang usahawan terkenal yang cekap dan gigih bekerja. Banyak award diperolehi pada peringkat antarabangsa. Ia lebih berjaya dan kaya dari Mark Zuckerberg.

Sektor manufacturing mereka berjaya menghasil ribuan fitnah dalam jangka pendek dan mampu “membunuh” sasaran mereka dengan pantas. Facebook, twitter, instagram, whatsapp group dan youtube menjadi mekanisme marketing mereka.

Menyertai industri ini tidak perlu degree atau diploma. Faktor ini antara sebab ramai yang mencebur diri. Tak lulus UPSR pun boleh apply kerja. Kalau ada PHD (Penyakit Hasad Dengki), resumenya pantas ke meja pengarah. Lagi bodoh, lagi cerah potensi diterima sebagai penjawat di pelbagai sektor dalam industri fitnah ini.

Andai industri ini terus kukuh, ia bukan sahaja menjadi ancaman kepada industri lain, tetapi boleh jadi mereka akan gulung tikar dan tamadun masyarakat dan negara akan runtuh. Empayar Syaithan akan bermaharajalela menakluki setiap jengkal tanah warisan ini.

Melestari Hidup Positif

Pendekar Sakti
09 Rabiul Akhir 1439 / 28 Dis 2017 – HARAKAHDAILY 28/12/2017

- Advertisement -