Hentikan berita fitnah

- Advertisement -

MUTAKHIR ini pelbagai fitnah dan serangan kepada ADUN-ADUN PAS di Selangor sehingga menimbulkan persepsi mereka ini tiada prinsip perjuangan dan akan keluar dari PAS.

- Advertisement -

Saya telah menemui mereka yang difitnah ini, sama ada berceramah sepentas dengan mereka atau mengadakan perbincangan dengan mereka. Ingin saya tegaskan bahawa berita itu hanya fitnah jahat golongan terdesak untuk menyambung nyawa-nyawa ikan sebelum PRU14.

Saya telah saksikan sendiri bagaimana ADUN-ADUN PAS tetap beristiqamah dengan parti di dalam pelbagai isu yang melanda Kerajaan Selangor. Mereka sangat tabah, sabar dan tetap patuh kepada keputusan parti.

Akibat kesabaran dan ketabahan mereka inilah wujud pihak yang dengki, iri hari dan berusaha mencetuskan api fitnah agar wujud rasa curiga antara satu sama lain, dan dalam kalangan ahli PAS.

Di sini, saya ingin mengingatkan semua dengan amaran Rasulullah: “Fitnah adalah sesuatu yang sedang tidur, Allah melaknat siapa yang mengejutnya.”

Kepada semua ahli dan pimpinan PAS, kita perlu bersedia menghadapi gelombang fitnah yang dipercayai akan lebih dahsyat menjelang PRU14 nanti.

Marilah kita memberi fokus kepada persediaan PRU14 akan datang. Kerana inilah tugas utama kita sekarang. Jangan biar pihak-pihak yang sengaja mengganggu tumpuan kita dengan memainkan pelbagai isu fitnah.

Istiqamah sehingga kemenangan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
26 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 26/12/2017

- Advertisement -