‘Kubu’ PAS T’ganu siap sedia dipertahan

MARANG: Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Rhu Rendang sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang sekali gus mempertahankan kemenangan.
 
Pusuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, beliau yakin kekuatan PAS tidak dapat ditandingi Umno berdasarkan kedudukan semasa.
 
“Kita laluan ke Wisma Darul Iman nampak selesa, dengan kekuatan ‘aura’ Presiden PAS (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) yang bukan dianggap wakil rakyat Dun ini sahaja, tetapi seorang negarawan yang terkenal seluruh negara, malahan kekuatan jentera parti tidak dapat ditandingi lawan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan program Lawatan Kerja ke Dun Rhu Rendang, di sini semalam.
 
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Arifin Deraman yang juga Naib Yang DiPertua PAS Marang.
 
Pada masa sama, beliau juga berharap ahli dan penyokong PAS menyandarkan keyakinan kepada Allah, walaupun merasa ‘kuat pengaruh’ di kalangan masyarakat.
 
Sementara itu, Timbalan Pengarah MTD Ru Rendang, Suhairi Daud mengucapkan ribuan terima kasih dan akan berusaha keras untuk mempertahankan kemenangan ketika ini.
 
Katanya, semangat, gerak kerja dan kesatuan telah dapat dibuktikan sepanjang lawatan tersebut dan memberi keyakinan bahawa PAS Rhu Rendang sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. – HARAKAHDAILY 26/12/2017