SAM bantah kegiatan di Hutan Simpan Bukit Enggang

- Advertisement -

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) membantah kegiatan pembalakan secara tebang habis seluas 500 hektar untuk tujuan projek ladang hutan (atau dikenali sebagai penanaman secara monokultur dalam Hutan Simpanan Kekal) di sebahagian Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang [Kompartmen 12, 13, 14 dan 15]).

- Advertisement -

Kegiatan usahasil (pembalakan) secara tebang habis dirian pokok hutan asal yang tidak terkawal telah menyebabkan kebanyakan struktur alur air dan anak sungai di kawasan yang dilesen terhakis dan berlaku pemendapan sedimen.

Kesan daripada kemusnahan struktur alur air dan anak sungai telah menjejaskan ekosistem dan sumber air masyarakat khususnya di kawasan penempatan berhampiran.

SAM dimaklumkan bahawa penggerak projek/pelesen/kontraktor tidak mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

SAM berpendirian dan menegaskan bahawa tidak bersetuju dengan pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri kerana:

a.Apabila sesuatu guna-tanah hutan ditukar kepada lain-lain guna-tanah terutama ladang hutan ia menjejaskan fungsi kepelbagaian hayat hutan;

b.Kebanyakan projek ladang hutan didapati tidak mengikuti kriteria penubuhan ladang hutan iaitu bukan di kawasan hutan simpan yang ditakrif sebagai hutan miskin; dan

c.Kebanyakan kawasan projek ladang hutan di koridor hidupan liar, terutamanya habitat dan kawasan keliaran mamalia besar.

Justifikasi pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bahawa kawasan HS Bukit Enggang yang dicadangkan untuk projek ladang hutan adalah ditakrif sebagai hutan miskin adalah tidak boleh diterima kerana didapati sebahagian besar saiz kayu-kayuan yang dituai berukuran 55 sentimeter dan lebih.   

Malah faktor yang menyebabkan sesuatu kawasan HSK menjadi hutan miskin bukanlah disebabkan oleh faktor semula-jadi tetapi disebabkan oleh faktor manusia.

Akibat daripada kelemahan pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan menyebabkan sesuatu kawasan HSK boleh diceroboh dan diteroka secara haram.   

Perkara ini SAM telah kemukakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia semasa pertemuan bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan pada 26 Mei 2017.

SAM juga tidak bersetuju sekiranya Pihak Berkuasa Negeri meluluskan lain-lain kegiatan selain guna-tanah hutan di kawasan HSK (Kompartmen 18, HS Bukit Enggang).

Kelulusan kuari dalam kawasan HSK adalah tidak wajar serta bercanggah dan tidak mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-70 (MTN).

MTN telah menyarankan semua Pihak Berkuasa Negeri mengambil insiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dalam kawasan HSK.

Kewajaran MTN melaksana ketetapan tersebut adalah kerana kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.  

Oleh itu SAM menggesa Pihak Berkuasa Negeri mengambil tindakan wajar untuk menangani isu eksploitasi sebahagian HS Bukit Enggang yang tidak terkawal manakala JAS pula perlu menguatkuasa peruntukan undang-undang berkaitan sekiranya didapati penggerak projek/pelesen/ kontraktor tidak mengemukakan Laporan EIA. – HARAKAHDAILY 21/12/2017

- Advertisement -