Vaccine associated sarcoma (VAS)

- Advertisement -

HARI ini dunia maya Malaysia dihebohkan oleh satu tuduhan kumpulan antivaksin bahawa vaksin penyebab kanser sarcoma. Sekali lagi saya bertanya para pakar kanak-kanak dan pakar onkologi berkaitan dengan hubung kait kanser sarkoma dengan pemberian vaksin. Pakar-pakar semua terkejut. Antara mereka menyatakan jika benar berlaku VAS ini, akan menjadi sejarah dunia yang pertama dicatat VAS ke atas manusia.

- Advertisement -

Menurut carian jurnal, terdapat beberapa catatan dibuat setakat ini. VAS hanya berlaku ke atas haiwan terutamanya kucing, anjing dan serigala. Laporan kes dari Jurnal Persatuan Perubatan Veterinar Amerika mendapati setakat 61 kes VAS wujud ke atas sel kucing yang disyaki berpenyakit sarkoma. Dalam penemuan kes yang lain, VAS juga berlaku kepada anjing dan serigala peliharaan.[1] Sekali lagi ditegaskan di sini, sarkoma bukan kesan sampingan vaksin (AEFI) ke atas manusia tetapi ke atas binatang.

Untuk pengetahuan umum, sarkoma adalah sejenis kanser tisu badan, sama ada tisu kulit, bawah kulit, vena, saraf, tulang dan sebagainya. Ianya adalah satu kanser yang jarang berlaku. Dalam kalangan semua jenis kanser yang wujud atas manusia, kanser sarcoma sama ada kecil atau besar dicatatkan 1% berlaku ke atas orang dewasa dan 15% ke atas kanak-kanak.[2] Puncanya tidak diketahui. Beberapa punca yang kemungkinan boleh terjadi kepada individu tertentu antaranya: pesakit HIV, pesakit yang menjalani dos tinggi radiasi, individu yang berlaku perubahan genetik dan tukang kayu yang menggunakan bahan kimia bernama tachophenols.

dr suhazeliSaya bersimpati dengan penyakit kanser yang menyerang kanak-kanak seperti dalam gambar tersebut. Semoga beliau dan keluarganya tabah dalam menghadapi saat sukar ini. Dapatkanlah nasihat doktor yang berwibawa dalam menjalani rawatan. Jangan sesekali mengambil arah pandang yang bertentangan dengan norma kehidupan seorang muslim. Bersabarlah, sesungguhnya ada hikmah besar di sebalik sesuatu kejadian.

Namun saya cukup sangsi dengan tujuan memuat naik kisah beliau dan terus menuduh vaksin sebagai puncanya. Adakah AEFI tersebut sudah disahkan oleh doktor bertauliah atau hanya sekadar andaian? Teknik fear monggering golongan antivaksin ini sudah masak kita ketahui. Cuba menakutkan orang ramai melalui cerita-cerita yang tidak sahih atau salah maklumat sebenar. Sedangkan vaksin sudah berabad lamanya melindungi ummat dari ditimpa bencana penyakit berjangkit. Inilah usaha dan ikhtiar kita di atas jalan ilmu yang luhur, bukannya menipu.

Sekian pesanan ringkas dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli
20.12.2017
AMBS

Pautan
[1] Journal of the American Veterinary Medical Association. January 1, 2000, Vol. 216, No. 1, Pages 58-61
https://doi.org/10.2460/javma.2000.216.58
Online: https://avmajournals.avma.org/doi/abs/10.2460/javma.2000.216.58
[2] Soft Tissue Sarcoma. J Natl Compr Canc Netw 2010;8:630-674. Online http://www.jnccn.org/content/8/6/630.short

- Advertisement -