Perkasa guru sebagai pendidik, bukan pengajar semata-mata

- Advertisement -

PERSATUAN Ulama’ Malaysia (PUM) meneliti perkembangan terbaru yang melibatkan guru dan merasa syukur apabila mahkamah melepaskan Cikgu Azizan daripada pertuduhan menyerang pelajar. Beliau terpaksa ke mahkamah apabila cuba mengambil tindakan ke atas pelajarnya yang dikatakan mempunyai masalah disipilin seperti menghidu gam dan sebagainya.

- Advertisement -

Melihat kepada senario ini, PUM merasakan bahawa sudah sampai masanya kerajaan memperkasakan kembali peranan guru di sekolah. Peranan guru tidak sepatutnya dihadkan kepada mengajar sahaja. Mereka mesti bertindak sebagai pendidik yang membentuk akhlak dan jatidiri pelajar untuk menjadi manusia yang berguna di masa hadapan.

Kementerian Pendidikan disaran supaya dapat merancang tindakan sebaiknya agar guru diperkasakan sebagai pendidik, _muaddib_ dan _murabbi_ di sekolah. Ia bukanlah bermaksud memberikan kebebasan sepenuhnya, tetapi wujudkan satu mekanisma terbaik dengan peraturan yang memberikan izin kepada para guru bertindak mendidik para pelajar dengan akhlak murni, adab serta nilai sejagat.

Dalam hal ini, para guru dapat bertindak sebagai pengajar kepada matapelajaran yang diajar dan dalam masa yang sama sebagai pendidik kepada generasi muda. Ini penting kerana nilai-nilai murni tidak dapat diterapkan jika guru tidak boleh bertindak sebagai pendidik.

Mendidik juga adakalanya memerlukan guru memberikan peringatan yang sewajarnya supaya para pelajar tidak terjebak dalam perkara-perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Konsep pendidikan di dalam Islam umpamanya, menuntut kepada pembinaan seluruh potensi yang ada pada manusia termasuk rohani, intelek, emosi dan jasmani dan yang berkaitan dengannya  berasaskan al-Qur’an dan al-Hadith bagi melahirkan manusia yang bertaqwa dan mengabdikan diri hanya kepada Allah swt.

Pendidikan dari perspektif Islam memberi keutamaan kepada pembinaan manusia secara menyeluruh, harmoni dan bersepadu ke arah merealiasikan peranan insan dalam kehidupan seharian.

Dengan pemerkasaan ini, pastinya proses pendidikan itu dapat menitiskan sesuatu ke dalam diri manusia sebagaimana kata Prof Al-Attas bahawa _“education is a process of instilling something into human being.”_

Maka penegasan harus diberikan bahawa peranan guru bukan sekadar mengajar dalam erti kata ta’alim, tetapi mereka sebenarnya boleh diperkasakan sebagai pendidik yang menitiskan proses ta’dib di dalam jiwa murid-muridnya.

DATO’ ABDUL HALIM ABDUL KADIR
Yang Dipertua
Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)
20 Disember 2017/ 2 Rabiulakhir 1439 – HARAKAHDAILY 20/12/2017

- Advertisement -