PAS Kota Belud bantu 25 kampung dilanda banjir

- Advertisement -

KOTA BELUD: Gelombang banjir kedua melanda daerah Kota Belud menyaksikan lebih banyak kawasan telah dinaiki air berbanding banjir besar yang telah melanda pada bulan Oktober sebelum ini.

- Advertisement -
Setakat ini, PAS Kawasan Kota Belud dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana PAS Negeri, Khidmat Malaysia Sabah telah menghulurkan bantuan kepada 25 kampung yang terjejas banjir.
 
Menerusi usaha tersebut, kira-kira 600 keluarga telah dibantu menerusi sumbangan bantuan bencana sejak 12 Disember yang lepas.
 
Di antara kampung tersebut ialah Kampung Sadok-Sadok, Kampung Donggoi, Kampung Kesapang Batu 5, Kampung Gunding dan beberapa kampung lain yang terjejas banjir.
 
Sumbangan bantuan berupa barang keperluan seperti air mineral, beras dan barangan dapur bagi menampung mereka yang keputusan bekalan akibat banjir.
 
Di antara pimpinan PAS yang telah turun menyampaikan sumbangan ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling; Timbalan Pesuruhjaya PAS, Ustaz Ag Laiman Ikin dan Ketua Dewan Ulamak PAS merangkap YDP PAS Kota Belud, Ustaz Mustaqim Aling.
 
Turut serta Ketua Dewan Pemuda PAS merangkap Pengerusi Khidmat Malaysia Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin; Ketua Dewan Muslimat PAS, Pn Norsah Bongsu dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Belud merangkap Pengarah Bilik Gerakan Misi Banjir Kota Belud, Adzmin Awang.
 
Kini, kerja-kerja pembersihan pasca banjir giat dilakukan oleh anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah di bawah Dewan Pemuda PAS Sabah terutama di premis awam sekitar Kota Belud seperti surau, masjid, rumah anak yatim dan beberapa lokasi lain yang memerlukan bantuan pembersihan. – HARAKAHDAILY 20/12/2017
- Advertisement -