Mesti bijak seimbangkan masa antara kerjaya dan PAS

- Advertisement -

MUNGKIN bagi sesetengah orang kesibukan di dalam kerjaya merupakan halangan untuk bergiat aktif di dalam jemaah kerana kesukaran untuk membahagikan masa antara dua komitmen tersebut.

- Advertisement -

Namun bagi anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini, kerjayanya  sebagai Pengurus Jabatan Pengeluaran di sebuah sektor perkilangan, yang berkait rapat dengan operasi pengeluaran bukanlah alasan baginya untuk tidak turut serta di dalam kerja-kerja jemaah.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Tugasnya itu memerlukan beliau terlibat dengan pelbagai projek pembangunan produk dan pengembangan operasi syarikat dan juga berpeluang mendapat latihan di luar negara iaitu ke negara Jepun, United Kingdom, Jerman, Poland dan Brazil

“Kerjaya saya  memerlukan komitmen dan displin yang tinggi kerana operasi pengeluaran yang berterusan 24 jam sehari tanpa henti. Begitu juga dengan kerja-kerja jemaah dan parti yang memerlukan komitmen yang sama.

“Konsep menyeimbangkan kerjaya dan jemaah agak ideal dan kadangkala sukar untuk direalisasikan oleh individu. Yang penting ialah tahu menguruskan keutamaan dalam situasi-situasi yang berbeza,”ujar Ahmad Al Johari Mohd Yusof dalam mukaddimah perbualannya bersama Harakah.

Tambah anak kepada pasangan Allahyarham  Mohd Yusof Ishak dan Khadijah  Ismail ini, bukan sahaja pembahagian masa antara kerjaya dan jemaah perlu seimbang, urusan  keluarga juga perlu diselesaikan sebaik mungkin.

Dalam hal ini, beliau amat beruntung kerana mempunyai suri hati yang begitu memahami kesibukannya. Tambahan pula, isterinya turut aktif bersama Muslimat PAS dan kedua-duanya sering membawa anak-anak  ke setiap program sedari mereka kecil.

Dengan cara itu juga tiga orang permata hatinya bukan sahaja memahami kesibukan kedua ibu bapa mereka tetapi juga mengenal apa itu perjuangan Islam.

Mula menjadi ahli PAS pada 1992 semasa menuntut di University of Liver pool, United Kingdom, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Johor ini dipertanggungjawabkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Johor Bahru selepas kembali ke tanah air.

Seterusnya beliau dilantik sebagai Setiausaha PAS Kawasan Johor Bahru dari 1998 sehingga 2011. Beliau juga  memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Yang di-Pertua PAS Kawasan Johor Bahru pada  2011 sehingga 2017  dan juga Penolong Setiauaha I Badan Perhubungan PAS Negeri Johor pada 2014 sehinga 2017.

Selain memegang amanah sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, beliau juga merupakanTimbalan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional – Mobilisasi & Hubungan NGO PAS Johor dan wakil negeri Johor dalam Persatuan Profesional Islam Anak Johor (Gaphor).

Semasa menuntut di United Kingdom, bekas pelajar Sekolah Menengah Majidi Baru dan Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru ini berpeluang bertemu dengan pimpimpinan utama PAS, termasuklah tamrin penjelasan fikrah yang pertama bersama Allahyarham Ustaz Dato’ Fadzil Nor.

Ketika itu jugalah beliau melalui pengalaman yang cukup manis apabila dapat bermesra dengan pimpinan PAS tanpa merasai jurang  perbezaan pangkat antara mereka.

Selain itu, pengalaman menguruskan Muktamar PAS Pusat ke 60 pada  2014 di Batu Pahat, Johor dengan dipertanggungjawabkan sebagai  Setiausaha Panatia Muktamar di bawah Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyudin juga satu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

Berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam perjuangan Islam, beliau sering meletakkan dirinya   berjuang bukan untuk mengejar apa-apa kepentingan dalam jemaah dan terus istiqamah.

Beliau juga mengambil pendekatan mendengar pelbagai alasan dan hujah daripada sahabat-sahabat lama yang meninggalkan jemaah.

“Saya menghormati pendapat dan pendirian mereka  kerana manusia mempunyai akal untuk membuat pilihan. Tetapi akal mestilah dipandu oleh dalil-dalil berasakan Al-Quran dan Sunnah.

“PAS mungkin bukan sesuatu yang seratus peratus sempurna tetapi asasnya cukup untuk saya kekal bersama jemaah,”tegasnya sebelum mengakhiri perbualannya dengan Harakah.{/mprestriction}

- Advertisement -