Pengisytiharan Trump: Selangkah ke arah kehancuran Israel

- Advertisement -
UMAT Islam masih dikejutkan dengan pengisytiharan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada hari Rabu lepas bahawa Baitulmaqdis adalah Ibu negara Israel. Akan tetapi bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan isu Palestin ianya tidak mengejutkan, bahkan menguatkan lagi teori penguasaan cengkaman Zionis-Freemason ke atas pentadbiran White House yang diperkatakan sejak sekian lama.
 
Sudah menjadi lumrah dalam politik negara kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (AS) dikuasai oleh Zionis-Freemason. Ia adalah rahsia terbuka yang sudah tidak menjadi rahsia. Mana-mana calon presiden yang mahu memenangi Pilihan Raya Presiden AS mestilah memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada negara haram Israel jika mahu menang. 
 
Tidak ada mana-mana negara dalam dunia apabila diadakan pilihan raya, maka setiap calon atau parti yang bertanding akan dikhususkan agenda kempennya menyokong negara luar dengan menyebut nama negara tersebut iaitu Israel, melainkan AS. Setiap sendi penting dalam pentadbiran AS, ekonomi dan media massa dikuasi oleh Zionis-Freemason.
 
Pengisytiharan Trump ini bukan sekadar menunaikan janjinya pada kempen Pilihan Raya Presiden AS yang dimenangi olehnya, bahkan ianya sudah digazetkan sejak sekian lama. Ini terbukti kerana setiap Presiden AS sejak daripada penubuhan negara haram Israel berjanji untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Cuma bezanya pengumuman Trump ini sangat signifikan dari segi masanya, kerana bertepatan ulang tahun ke-100 Pengisytiharan Balfour, bekas Menteri Luar Britain bahawa Palestin adalah milik bangsa Yahudi.
 
Kronologi Isu Palestin Era Trump
 
Donald Trump beberapa kali menyebut dalam ucapannya sama ada sebelum atau selepas menjadi Presiden AS, bahawa krisis Israel-Palestin akan diselesaikan dengan ‘road map‘ baru yang telah digariskan antaranya ialah Baitulmaqdis akan diserahkan kepada Israel.
 
Donald Trump menunaikan janjinya, akan tetapi pengisytiharan ini didahului dengan lawatannya ke Timur Tengah pada bulan Mei 2017, iaitu empat bulan selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden AS. Dalam lawatan itu telah dimeteraikan perjanjian pertahanan antara AS dan Arab Saudi, di mana Arab Saudi telah bersetuju untuk membeli senjata-senjata AS dalam tempoh 10 tahun dengan nilai tidak kurang dari USD350 Billion. Tujuannya ialah untuk menghadapi ancaman serantau khususnya Iran dan ISIS. 
 
Walaupun jumlahnya begitu besar, adakah ia menyamai kekuatan pertahanan Israel ? Tidak sama sekali! Israel anak emas AS sejak dari awal penubuhannya. Mana-mana Presiden AS tidak akan membiarkan keselamatan Israel terancam. Negara-negara yang pernah menggugat Israel di Timur Tengah, disembelih satu persatu dengan tidak dinafikan kezaliman pemimpin-pemimpin mereka. 
 
Iraq, Libya dan Syria sudah dihancurkan kekuatan persenjataannya. Dahulu, negara-negara ini mengancam keselamatan Israel, tetapi sekarang ini tidak lagi. Kemelut dalaman yang mengorbankan ribuan nyawa menjadikan Israel dalam keadaan aman. Matlamatnya ialah untuk memastikan Israel menjadi kuasa tunggal di Timur Tengah.
 
Adakah logik perjanjian pertahanan yang kosnya mencecah ratusan billion USD untuk menghadapi ISIS, tetapi tidak mempunyai walaupun sebuah jet pejuang, peluru berpandu dan roket jarak jauh. Tidak lain dan tidak bukan, tujuannya ialah untuk berdepan dengan kumpulan-kumpulan Islam yang menentang Israel. Ini seperti HAMAS, Jihad Islami mahupun Hizbullah yang bermazhab Syiah dan juga gerakan-gerakan Islam yang menyokong perjuangan mereka bagi membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis Yahudi.  
 
Abdul Bari Atwan, seorang penganalisa politik Timur Tengah terkenal yang berasal dari Palestin, mempersoalkan adakah jumlah yang begitu besar dibelanjakan oleh Arab Saudi boleh membebaskan Masjid Al-Aqsa dari tangan Zionis Yahudi? Tidak sama sekali, melainkan hanya tercapai ialah untuk memerangi negara-negara yang lemah seperti Yaman, Syria dan Iran. Akhirnya mereka hanya menjadi alat untuk kepentingan Zionis-Freemason.
 
Sejurus itu Trump berlepas ke Israel dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Beliau dibawa melawat ke Gereja Kiamat, tempat suci kepada penganut Kristian dan seterusnya ke Dinding Menangis tempat suci kepada Yahudi. Dalam kenyataannya sejurus selepas pertemuan dengan Netanyahu itu, Trump menyatakan dengan jelas proses damai akan dihidupkan semula dan akan diwujudkan gabungan negara-negara Arab bagi menghadapi ancaman Iran.
 
Fahmi Huwaidi, seorang wartawan Arab yang mempunyai fikrah Islam memberikan komennya yang pedas dengan menyatakan; lawatan ini hanyalah untuk menjamin keselamatan Israel. Beliau menyebut, di saat Trump bercakap soal keamanan antara Palestin dan Israel, tapi dalam masa yang sama membisu terhadap ribuan rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh Israel. Setiap Presiden AS yang datang silih berganti akan bercakap mengenai perjanjian damai antara Palestin dan Israel. 
 
Bagaimanakah perdamaian akan tercapai jika sekiranya saban tahun AS meluluskan berbillion USD untuk menyokong Israel dari sudut ketenteraan. Umpama pepatah yang menyebut; tangan kanan menggosok, tetapi tangan kiri menyembelih leher. Bagaimana keamanan akan tercapai selagimana Israel terus menjajah dan menakluk bumi Palestin?
 
Robert Fisk, seorang wartawan British yang terkenal memberikan komennya yang tajam dengan menyatakan lawatan Trump ini bertujuan untuk mewujudkan Pakatan NATO versi negara-negara Arab bagi menghadapi ancaman Iran dan Syiah. Ianya tidak mengejutkan, apabila Netanyahu menyatakan dengan penuh gembira; saya tidak sabar untuk mengambil penerbangan dari Tel Aviv ke Riyadh bagi memastikan perkara ini berlaku.  
 
Seterusnya perjanjian pertahanan ini disusuli pula dengan beberapa pertemuan antara Jared Kushner dan Jason Greenblat (utusan AS untuk isu Palestin) secara langsung atau melalui wakilnya dengan Mahmod Abbas dan beberapa pimpinan Arab lagi sebagaimana didedahkan oleh beberapa media antarabangsa. Ia bagi meyakinkan mereka untuk menerima ‘road map‘ yang telah digariskan termasuk pengisytiharan Baitulmaqdis adalah ibu negara Israel.
 
Tujuh bulan selepas langkah-langkah ini diambil maka dengan bangganya Trump mengumumkan Baitulmaqdis adalah ibu negara Israel.
 
Israel terkepung
 
Perang di Syria yang berlarutan hampir enam tahun akhirnya reda selepas campur tangan Iran dan Russia. ISIS yang kononnya menjadi sasaran utama akhirnya berjaya dikalahkan. Walhal ia adalah sebahagian daripada perancangan AS-Israel bagi mengkucar kacirkan Syria demi keselamatan Israel. Media-media Barat sendiri mendedahkan bagaimana penglibatan secara langsung CIA dan Mossad membantu ISIS untuk melemahkan regim Basyar Al-Asad khususnya dari sudut perisikan dan logistik di samping sokongan kewangan daripada beberapa buah negara Arab. 
 
Adapun yang tersirat disebaliknya ialah menghancur dan melemahkan pangkalan-pangkalan penentangan terhadap Israel iaitu HAMAS, Jihad Islami dan Hizbullah. Setelah kekalahan ISIS di Syria, maka Israel berada dalam kepungan dan terdedah kepada bahaya yang lebih besar berbanding sebelum ini. 
 
Dahulunya Israel hanya berdepan dengan Hizbullah di sebelah Utara dan HAMAS di sebelah Selatan iaitu Gaza. Dengan perkembangan baru ini Israel terpaksa berdepan dengan medan baru yang lebih luas iaitu sempadannya dengan Syria yang sudah dikuasai secara tidak langsung oleh Iran dan proksinya Hizbullah.  
 
Kehancuran Israel
 
Penentangan terhadap kewujudan Zionis Israel telah bermula semenjak kewujudannya pada tahun 1948 sehinggalah sekarang. Berlakunya beberapa peperangan pada 1960-an dan 1970-an antara negara-negara Arab dan Zionis Israel. Tetapi malangnya, ia gagal untuk mengembalikan bumi Palestin ke tangan umat Islam. Kerana negara-negara Arab berjuang di atas nama kebangsaan, adapun Zionis Israel berjuang di atas nama agama. 
 
Sebagai reaksi di atas kegagalan ini, pada 1980-an ditubuh kumpulan-kumpulan Islam untuk membebaskan bumi Palestin di atas nama jihad seperti Jihad Islami dan HAMAS di Palestin dan Hizbullah di Lubnan. Walaupun semua kumpulan ini kecil dan lemah dari sudut lahiriyyah berbanding dengan Zionis Israel yang merupakan tentera terkuat di Timur Tengah, akan tetapi mereka gagal untuk dikalahkan dalam beberapa peperangan di Gaza dan Selatan Lubnan.
 
Pengisytiharan Baitulmaqdis adalah ibu negara Israel membuka lembaran baru pertembungan antara Israel dan kumpulan-kumpulan Islam yang memperjuangkan pembebasan Palestin ini. Gendang perang sudah mula dipalukan, Ismail Haniyyah, Ketua Biro Politik HAMAS mengisytiharkan Intifadhah untuk membebaskan Baitulmaqdis. 
 
Bunga-bunga perang ini menunggu masa untuk meledak pada bila-bila masa. Roket-roket HAMAS sudah mula menghujani wilayah-wilayah yang hampir dengan Gaza dan ia menunggu masa untuk terus melebar. Jika sekiranya Israel memberikan tindak balas dengan agresif, maka akan berlaku perang besar yang merentasi semua medan-medan dari Utara sehingga Selatan.
 
Resolusi persidangan tergempar negara-negara Islam yang diadakan di Istanbul baru sahaja melabuhkan tirainya. Sangat dukacita kerana ia hanya mengulangi resolusi-resolusi yang pernah diputuskan sebelum ini. Hanya segelintir sahaja pemimpin-pemimpin negara Islam yang lantang dan berani seperti Presiden Turki, Rejab Tayyib Erdogan, Presiden Iran, Hassan Rohani dan Presiden Sudan, Umar Al-Basyeer.
 
Senario yang sedang rancak berlaku ini insya-Allah mendekatkan lagi jarak kehancuran Israel yang dibina di atas kezaliman, penindasan dan kemusnahan. Baitulmaqdis pasti akan kembali ke tangan umat Islam.
 
 
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia 
29 Rabiul-Awwal 1439 | 18 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 19/12/2017
- Advertisement -