PAN makin lunak dengan Umno, serang PAS

- Advertisement -

PADA peringkat awal selepas ditubuh Parti Amanah Negara (PAN) menguar-uarkan mahu menghadapi Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan misi pembangkang menjejaki Putrajaya.

- Advertisement -

Namun apa yang berlaku sekarang PAN seperti tersalah arah apabila sering menghala peluru terhadap PAS terutamanya di Kelantan. Sebaliknya mereka juga menyepi terhadap Umno.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim berkata, kenyataan pemimpin PAN mahu berdepan dengan Umno tidak kelihatan, sebaliknya mereka menjadikan PAS pula sebagai musuh.

Katanya, sehingga sekarang tidak nampak gerak kerja parti itu bagi menumbangkan Umno di Kelantan.

“Sejauh mana mereka menjalankan gerak kerja mendaftar pengundi baharu dalam usaha untuk memastikan Umno dan BN terus gagal dalam pilihan raya di Kelantan,” katanya pada ceramah di Kampung Lundang, Dun Bunut Payong malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, Adun Bunut Payong, Datuk Dr Ramli Mamat dan Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Shaari Mat Yaman.

PAN sebelum ini menjadikan kerajaan negeri sebagai sasaran dalam isu pembangunan Kampung Warisan di Kampung Laut, Tumpat; isu sekatan laluan lori balak di Gua Musang dan Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh. – HARAKAHDAILY 19/12/2017

- Advertisement -