Siapa berperanan menubuhkan Israel dan menyelamatkannya?

- Advertisement -

RASULULLAH S.A.W pernah berwasiat:

- Advertisement -

لا ترجعوا بعدي كفارا يضرب بعضكم رقاب بعض

“Jangan kamu berpaling tadah (terhadap Islam) selepasku (wafat), nanti kamu memancung leher sesama kamu” (Hadis Sahih Al-Bukhari)

Berpaling tadah terhadap Islam bermakna sama ada kufur aqidah meninggalkan Islam atau kufur nikmat setelah menganut Islam dengan meninggalkan hukum dan akhlaknya atau menjadi lalai setelah mendapat kekayaan yang melimpah ruah.

Pada tanggal 11 Syaaban 1334 Hijriah bersamaan 10 Jun 1916 Masihi, Syarif Husin yang dianggap Raja Makkah dan Madinah memilih waktu subuh yang sangat berkat untuk menembak perisytiharan Revolusi Agung Bangsa Arab menentang Turki Uthmaniyyah. Ibnu Saud pula menjatuhkan Ibnu Rasyid demi menegakkan Mazhab Salafi Wahabinya.

Selepas kejatuhan Uthmaniyah dengan sebab kelemahannya, maka dilaksanakan Perjanjian Sykes-Picot yang membahagikan tanah air Islam dalam kalangan penjajah Barat dengan melantik semua yang menyokongnya memimpin negara yang dibentuk mengikut peta yang diciptakan dan acuan politik yang direka. Hasil bumi yang kaya-raya diambil sepuas-puasnya dan sekadar diberi harta kekayaan kepada negera-negara tersebut tanpa kemajuan sains dan teknologi, di samping meninggalkan syariat Islam sedikit demi sedikit.

Dalam masa yang sama dilaksanakan Perjanjian Balfour oleh British terhadap bumi Palestin yang bukan miliknya untuk diserahkan kepada kumpulan Yahudi Zionis yang tidak berhak menerimanya.

Kebangkitan rakyat di negeri Arab yang menentang penubuhan Israel 1948 dipadamkan oleh negara Arab sendiri dan semua pemimpin yang menentang Israel dihapuskan di negara masing-masing. Adapun negara-negara jiran Palestin berkiblatkan politik kepada kuasa besar yang menjadi tuan mereka, tidak lagi berkiblatkan ke arah Kaabah yang dipilih menjadi bermulanya Revolusi Arab yang diagungkan itu.

Kini berlaku kebangkitan semula Islam, Palestin telah melahirkan kumpulan Islam yang berjuang menggantikan kumpulan sekular yang bersemangat kebangsaan dengan sekadar mencukupi adanya negara Palestin yang meminta sedekah dan mengekalkan negara haram Israel itu. Adapun beberapa negara Islam lain telah mencapai kemajuan teknologi seperti Turki, Iran dan lain-lain.

Filem lama Revolusi Arab yang memilih Makkah diulang tayang dengan perubahan semasa. Presiden Donald Trump yang dipilih menjadi ketua negara Barat paling besar memilih Arab Saudi yang menjadi penjaga dua Tanah Haram Makkah dan Madinah sebagai tuan rumah untuk menubuhkan gagasan baru di atas nama menentang keganasan.

Menentang keganasan itu dengan maksud kumpulan Islam tanpa mengira Sunni dan Syiah seperti Hamas, Tanzim Jihad, Hizbullah adalah pengganas tanpa melihat sedikit pun kepada Israel yang telah melakukan pembunuhan terhadap rakyat Palestin dan melakukan peristiwa Shabra dan Shatila yang sengaja ditutup ingatannya oleh media yang dikuasai mereka.

Iran juga termasuk dalam senarai negara pengganas kerana berperanan membantu kewangan dan senjata kepada kumpulan Islam tersebut dan memajukan teknologinya sehingga dapat menandingi kuasa besar dunia. Mereka memberi tekanan kepada Iran sama ada secara langsung dengan menggunakan hukum haram memiliki sebarang kemajuan persenjataan, tetapi halal apa sahaja kepada negara yang bernama Israel dan negara-negara bukan Islam, atau secara tidak langsung dengan melakukan politik adu domba Mazhab Sunni dan Syiah di negara-negara yang menjadi pangkalan hadapan membantu perjuangan menentang Israel.

Manakala Turki diatur rampasan kuasa tentera yang ditunggu kejayaannya oleh beberapa negara Arab yang menjadi pangkalan hadapan menyelamatkan Israel. Apabila rampasan kuasa itu gagal menjadikan Turki berpindah sedikit demi sedikit menjauhkan diri daripada negara yang bersekongkol menyelamatkan Israel. Selain itu, Qatar turut dibuli kerana berpihak kepada Turki dan Iran.

Mereka juga menentang semua kumpulan yang paling damai yang tidak ada negara atau senjata seperti Persatuan Ulama Sedunia yang disenaraikan dalam kumpulan pengganas. Peliknya kumpulan yang dibekalkan senjata untuk mengacau mana-mana negara umat Islam dikira sebagai pejuang kebebasan, penentang kezaliman dan pendukung demokrasi, bahkan dalam masa yang sama mereka mendukung diktator yang berdamai dengan Israel.

Tindakan drastik Trump mengiktiraf Baitul Maqdis kerana keyakinannya terhadap sikap beberapa negara Arab yang mengikut agendanya, namun tiba-tiba ia menjadi laksana batu besar yang dihumbam ke dalam lubuk yang tenang yang disangka tidak ada buaya.

Langkah Turki memanggil sidang kemuncak tergempar negara-negara Islam mendedahkan buaya yang timbul walaupun resolusinya hanya sedikit anjakan dengan bahasa diplomatik yang tidak mengancam Israel sekeras-kerasnya yang patut, tetapi telah berjaya mendedahkan sikap beberapa negara terhadap Palestin, termasuk negara bukan Islam yang peka berkenaan peranan umat Islam yang tidak boleh dipandang kecil. Sepatutnya hal ini menginsafkan para pemimpin negara tertentu yang masih mabuk di bawah ketiak kuasa besar yang telah berbau sebusuk-busuknya dengan masih bersikap mengecewakan Bait Al-Maqdis.

Kepada sesiapa yang percaya kepada janjii Allah menatap hadis yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W.

لا تزال طائفة من أمتي على الدين ظاهرين لعدوهم قاهرين لايضرهم من خالفهم الا ما أصابهم من لاواء حتى ياتيهم أمر الله وهمكذلك قالوا يا رسول الله وأين هم قال ببيت المقدس وأكناف بيت المقدس (مسند أحمد بن حنبل)

“Masih ada kalangan umatku kumpulan yang tegak bersama Islam, berani menzahirkan diri terhadap musuh dengan gagah perkasa tidak boleh dikalahkan oleh sesiapa yang menentang atau mengecewakan mereka, mereka terus menerus sehingga datangnya keputusan Allah dalam keadaan mereka terus begitu. Lalu para sahabat bertanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Dimanakah mereka?”. Sabdanya: “Mereka berada di Bait Al-Maqdis dan dikeliling Bait Al-Maqdis” (Musnad Ahmad bin Hanbal)

Isu Bait Al-Maqdis boleh menyatukan umat Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab. Maka amat rugi kalangan yang masih berfikir fanatik mazhab dan kebangsaan. Di mana Allah telah menempa sejarah pembebasan Bait Al-Maqdis apabila ditakluk oleh musuh. Sultan Salahuddin Al-Ayyubi daripada bangsa Kurdis telah memimpin tentera Islam mengalahkan tentera Salib. Sultan Zahir Qutuz daripada Mamalik berketurunan Turki mengalahkan kaum Tatar di bumi Palestin. Justeru itu, ditegaskan bahawa Palestin dan Bait Al-Maqdis adalah milik Islam yang mampu adil terhadap semua dan inilah janji Allah kepada Nabi Ibrahim dan Musa A.S. yang menjadi kebanggaan kaum Yahudi juga.

Firman Allah:

۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّٰلِمِينَ ١٢٤ البقرة

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia”. Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”. Allah berfirman: “Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Baqarah: 124)

Firman Allah:

وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا مُوسَى ٱلۡكِتَٰبَ فَلَا تَكُن فِي مِرۡيَةٖ مِّن لِّقَآئِهِۦۖ وَجَعَلۡنَٰهُ هُدٗى لِّبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٢٣ وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤ سجدة

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil. (23) Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. (24)” (Surah As-Sajadah: 23-24)

Tegasnya bahawa kumpulan Zionis tidak layak di bumi Palestin kerana kezalimannya di luar daripada janji Allah kepada Nabi Ibrahim A.S dan mereka juga menentang kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa A.S serta perjuangan mereka bukannya menegakkan Kitab Allah tetapi menegakkan fanatik kebangsaan Yahudi.

Isu Bait Al-Maqdis telah menemukan umat Islam bermazhab Sunni dan Syiah berbagai bangsa dan menyedarkan yang tenggelam dalam berbagai ideologi politiknya. Ia telah mengembalikan golongan paling sekular kepada Islam dan memasukkan yang paling Salafi kerana berimamkan Donald Trump. Isu ini juga mengubah blok baru dunia kepada yang berpihak kepada Zionis atau Anti Zionis, iaitu blok Islam dan Kristian Ortodok yang Anti Zionis dan blok Zionis Yahudi dan Kristian. Benarlah Firman Allah:

۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ٨٢ المائدة

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani (Kristian). Yang demikian itu disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.” (Surah Al-Maidah: 82)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Rabiul Awal 1439 / 18 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 18/12/2017

- Advertisement -