Rakyat diseru manfaatkan segala inisitif diberi kerajaan

- Advertisement -
AMPANG: Rakyat negeri ini diseru memanfaatkan segala inisiatif diberikan Kerajaan Negeri Selangor yang disediakan demi kesejahteraan hidup mereka.
 
Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkata, rakyat Selangor masih belum mengambil sepenuhnya manfaat yang disediakan menerusi pelbagai kempen kepedulian kerajaan negeri terhadap rakyat.
 
“Manfaat yang disediakan untuk rakyat Selangor masih belum diambil sepenuhnya oleh rakyat,” ujarnya yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Ampang pada Majlis Penyampaian Kad Peduli Sihat dan Taklimat Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di Dewan Orang Ramai Kampung Tasek Tambahan, kelmarin.
 
Menurut beliau, sebagai contoh program ‘Rumah Selangorku’ yang membawa tagline Satu Rumah Satu Kediaman Yang Sempurna menyediakan kediaman mampu milik untuk rakyat negeri itu.
 
Terangnya, para pemohon boleh melakukan semakan terus di Pejabat Jawatankuasa Tetap Perumahan Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar selepas melakukan permohonan mereka.
 
Pada majlis itu, beliau menyerahkan kad kepada 51 pemohon pelbagai bangsa dan latar belakang selain edaran borang Skim Mesra Usia Emas dan  KISS.
 
Skim tersebut bakal memberi insentif kepada kaum ibu yang berpendapatan isi rumah bawah RM2,000 dan mempunyai tanggungan anak yang berumur 21 tahun ke bawah.
 
Turut serta pada majlis itu ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Cawangan Tasek Tambahan, Jalil Abd Halim. – HARAKAHDAILY 18/12/2017
- Advertisement -