Masa depan anak kesayangan

- Advertisement -

Bicara Santai Selain Politik (2)

- Advertisement -

BOLEH dikatakan hari ini, hampir semua sekolah telah tamatkan sessi temuduga pengambilan pelajar baru tingkatan 1 bagi tahun 2018. Sebahagiannya telah umumkan keputusan temuduga tersebut.

Umumnya, sekolah yang punya kelas tersendiri dalam ranking pendidikan meletakkan keputusan UPSR, UPSRI dan UPKK yang tinggi untuk diterima masuk selain daripada mengambil kira keputusan ujian semasa temuduga.

Saingan begitu sengit. Kebanyakan sekolah menyaksikan peserta yang mohon temuduga, cecah angka luar biasa terutama sekolah agama. Sebagai contoh satu realiti yang saya lihat, temuduga 300 orang, tetapi pengambilan terhad hanya kepada 80 orang sahaja.

Nisbah itu bukan pada satu sekolah. Hampir kebanyakkan sekolah berkualiti menepati nisbah yang sama. Nisbah ini menunjukkan sesuatu, antaranya:

a) ramai pelajar yang tidak terpilih
b) jumlah sekolah berkualiti tinggi tidak cukup
c) pasaran pengajian agama kian laris
d) pelajar cemerlang terlalu ramai

Tahniah kepada anak-anak yang terpilih. Namun usahlah kecewa pada yang tidak. Mereka hanya “missed” pada satu peringkat usia seawal 13 tahun. Perjalanan hidup dan pengajian mereka masih jauh.

Terlalu ramai yang boleh dibuat contoh bagaimana insan yang berjaya dan hebat hari ini, tetapi alami pengalaman perjalanan hidup yang gagal dan tidak terpilih semasa usia awal mereka.

Sebagai ibu bapa, kita mesti bijak mengatur perjalanan dan masa depan pengajian anak-anak sebelum mereka mampu berdikari dan memilih laluan hidup sendiri kelak.

Pilihan utama untuk melorong kejayaan dunia dan akhirat buat anak-anak ialah memastikan mereka terdidik dengan pendidikan agama. Jangan prejudis dengan pendidikan agama biarpun hanya sekolah agama rakyat.

Agama ni kan boleh luruskan peribadi (akhlak) dan murnikan kepercayaan (aqidah). Melahirkan watak yang soleh atau solehah sekali gus boleh mainkan peranan untuk bimbing ummah dan basmi kejahilan yang melata.

Benarlah kata Nabi SAW.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَتْ الْآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتْ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهُ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنْ الدُّنْيَا إِلَّا مَا قُدِّرَ لَهُ

Daripada Anas bin Malik Rha. berkata, Nabi saw bersabda: Barangsiapa yang kehidupan akhirat menjadi tumpuannya maka Allah akan memberi rasa cukup dalam hatinya, menyatukan urusannya yang berserakan dan dunia datang kepadanya tanpa dia cari, dan barangsiapa yang keinginannya hanya untuk kehidupan dunia maka Allah akan jadikan kemiskinan selalu membayangi di antara kedua matanya, mencerai beraikan urusannya dan dunia tidak akan datang kepadanya kecuali sekadar apa yang telah ditentukan baginya.” (Riwayat Imam Tirmizi)

Melestari Kehidupan Positif

Pendekar Sakti
28 Rabiul Awwal 1439 / 17 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 17/12/2017

- Advertisement -