Kanser rahim yang boleh dirawat

- Advertisement -

SATU dalam 3 (1:3) wanita yang berumur 50 tahun ke atas akan berisiko mendapat penyakit barah. Justeru berubatlah sebelum terlambat. Kanser tahap 1 dan 2 masih ada peluang untuk dibedah dan majoriti dalam kalangan mereka sembuh tanpa komplikasi besar. Mereka hidup ceria. Jangan tunggu masuk tahap 3 dan 4, sukar dilakukan pembedahan kerana sudah merebak ke organ lain.

- Advertisement -

Sebagai contohnya barah rahim (endometrial cancer). Kanser yang ketiga biasanya terjadi ke atas wanita selepas dari kanser payudara dan pangkal rahim. Prof Imelda dari Universiti Malaya pernah menulis berkaitan dengan kanser rahim ini.

“Penyakit barah rahim ni pula ada keistimewaannya tersendiri. Ia selalunya menonjolkan diri pada peringkat awal pertumbuhan barah, iaitu tahap 1.
“Pesakit yang selalu datang bertemu pakar adalah golongan yang sudah putus haid. Bagi umur yang melebihi 50 tahun kategori putus haid diberi maksud tidak datang darah haid melebihi setahun. Jika mereka didatangi darah selepas dari tempoh itu, kemungkinan ianya darah penyakit atau istihadhah. Mereka perlu dapatkan pemeriksaan lanjut dari pakar.
“Semua wanita postmenopos tidak patut ada pendarahan langsung dari faraj, dan jika ianya berlaku, inilah amaran kepada wanita postmenopos supaya mendapatkan bantuan perubatan untuk menyiasat punca darah istihadah. Tidak macam penyakit barah yang lain, endometrial cancer ini boleh dikenal pasti di peringkat awal. Keistimewaannya ialah wanita postmenopos tidak perlukan rahim mereka lagi dan boleh hidup seperti biasa selepas pembedahan membuang rahim (hysterectomy). Bukan seperti barah paru-paru, barah kerongkong atau barah organ yang lain, wanita boleh berpisah dengan rahim. Dan yang paling best sekali ialah, 70 dalam 100 wanita yang datang dengan kanser rahim ini masih di peringkat awal (Stage 1) dan belum merebak ke organ lain. Selepas rahim dan ovari dibuang secara pembedahan pada peringkat awal, 90-95% wanita akan sembuh sepenuhnya dan tidak memerlukan apa-apa rawatan kimoterapi atau radioterapi.

Nasihat Prof Imelda lagi agar pesakit tidak mudah ambil ubat yang tidak diketahui keberkesanannya.

“Timbul masalah apabila lambat untuk membuat keputusan, ambil ubat yang merapik, tak tahu hujung pangkal kaedah rawatan, ajaiblah konon, akhirnya atas katil hospital mereka kami jumpai semula, sebab kanser dah merebak tahap 4.”

dr suhazeliMendapat dan mencari rawatan yang tepat dari ahli dalam bidang perubatan ini diberi nama health seeking behaviour. Di mana, health seeking behaviour yang baik inilah selalu Kami ingin terapkan dalam masyarakat. Penulisan dari kami menjurus kepada fahaman yang betul, tepat dan dibicarakan oleh individu berwibawa.

Semoga masyarakat terus dipandu dengan ilmu yang benar.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
16.12.2017
Kuala Berang – HARAKAHDAILY 16/12/2017

- Advertisement -