Jangan lupakan tangisan Syria

- Advertisement -

PETA luka umat Islam seperti tiada pancingan pesona buat warga dunia, darah yang tumpah seperti darah kerbau yang tiada nilainya. Bertempiklah sehingga bergegar dunia, bagi yang tak peduli mereka tetap tak kisah. Gaza yang merintih, Al-Quds yang dijajah, Rohingya yang disembelih, Bosnia yang rawan atau Kashmir yang disergap kesakitan. Peta luka umat Islam memerlukan kepedulian ummat, tidak cukup kita mengeluh dan berpeluk tubuh di hadapan kaca TV.

- Advertisement -

Kemuncak musim sejuk dengan suhu di bawah paras minus sangat mendera para pengungsi yang tidak pasti bilakah kubangan darah di tanah air mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah-olah berada di Kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian.

Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian. Rejim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah-olah campur tangan dalam soal pengungsi dari Syria.

Penulis berpeluang belasan kali mengikuti misi bantuan Muslim Care ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria. Kali ini rombongan Muslim Care membawa bantuan musim sejuk seperti makanan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa peperangan yang menghuni dalam khemah dan juga bantuan untuk sekolah Muslim Care.

Rombongan misi bantuan musim sejuk pelarian Syria kali ini agak menarik kerana penglibatan kumpulan nasyid nombor wahid tanah air, UNIC. Tiga anak muda berhati emas yang bukan sekadar popular di media sosial, kaca TV dan corong radio. Mereka telah mengutip dana sumbangan untuk diberikan kepada pelarian Syria yang mengungsi di sempadan Syria Turki iaitu di Rayhanli. UNIC dan Presiden Muslim Care, Haji Zulkifli Wahijan telah singgah di Jordan untuk mengadakan persembahan khas untuk dana bantuan musim sejuk. Konsert khas yang diselang seli dengan tazkirah di Irbid Jordan telah memancing kehadiran ramai anak-anak Malaysia yang bermukim ilmu di tanah Urdun. Pelajar-pelajar daripada pelbagai latar belakang bidang pengajian bukan sahaja merespons dengan baik persembahan UNIC tetapi turut menyumbangkan derma untuk mangsa peperangan yang telah masuk tahun keenam itu.

Misi Muslim Care terus bergegas ke Istanbul, usai berprogram di Jordan, rombongan bersama anak-anak seni ini menggalas harapan besar. Impian Fakhrul, Bazli, Najdi ialah ingin menghadirkan senyuman kepada anak-anak pelarian yang menjadi mangsa kepada peperangan. Kami tiba di Hatay, disambut hangat oleh teman-teman NGO tempatan yang diketuai oleh Muhamad Khatib. Beliau bertanggungjawab menguruskan lapan buah sekolah tajaan Muslim Care untuk anak-anak Syria. Tiga di sempadan Syria Turki manakala lima buah di dalam negara Syria yang sedang diselimuti api peperangan.

UNIC mengadakan persembahan khas untuk anak-anak pelarian Syria di dua buah sekolah Muslim Care dengan sambutan luar biasa. Menurut Muhammad Khatib, inilah satu rekod baru yang dicapai kerana semua warga sekolah bergembira. Ada kalangan tenaga pengajar muslimah ialah kalangan isteri syuhada, begitu juga ramai kalangan pelajar ialah anak-anak yatim. Fakhrul UNIC menggunakan kepakarannya dalam bidang tajwid dan taranum mengajar dalam keadaan santai, anak-anak ini tidak segan untuk sama-sama bernasyid dan berkomunikasi dua hala dengan penasyid yang boleh berbahasa Arab ini.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada pihak sekolah dan anak-anak pelarian, maka UNIC bercadang untuk bertandang lagi pada penghujung bulan Januari 2018. Seorang hartawan di Rayhanli begitu teruja dengan cadangan mengadakan persembahan khas yang menggabungkan banyak lagi sekolah dan masyarakat awam di Rayhanli. Rombongan Muslim Care juga melawat dan memberikan bantuan di khemah pelarian sempadan Syria, di mana keadaan mereka sangat melarat dengan musim sejuk di bawah suhu 8 darjah celcius. Rayhanli sahaja diduduki oleh lebih 200,000 pelarian, kehadiran mereka kini telah melebihi penduduk tempatan. Kerajaan Turki telah membuka banyak peluang kehidupan kepada pelarian Syria sama ada peluang kerja atau pendidikan. Penulis juga menjadi saksi mata dalam tempoh enam tahun ini bagaimana bangunan-bangunan kediaman baru muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Pihak keselamatan Turki juga mengawal ketat pintu sempadan Turki-Syria ekoran ianya menjadi laluan pihak IS, kami diperiksa dengan teliti semenjak ketibaan di Lapangan Terbang Hatay. Pihak keselamatan berpuas hati apabila diberitahu oleh Saudara Hamzah (pengiring kami) bahawa anggota Muslim Care melawat sekolah mereka di Rayhanli. Sekolah Muslim Care mendapat pengiktirafan UNICEF dan juga Kerajaan Turki sendiri.

Muslim Care yang kini mempunyai lapan buah sekolah pelarian Syria akan terus memberikan komitmen berterusan untuk membantu saudara akidah terutama di musim sejuk yang sangat menggigit tulang. Bantuan rakyat Malaysia sangat besar maknanya kepada mereka, luka dan sakit mereka adalah nestapa kita yang pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil. Jom, kita membantu!

Bantu saudara kita di Syria yang menderita “survival aid”.

Sumbanglah melalui akaun MUSLIM CARE MALAYSIA:

Maybank: 564490413882
Bank Islam: 14014010147470
Bank Muamalat: 14010007654717 – HARAKAHDAILY 15/12/2017

sy2

sy5

sy3

sy6

 

- Advertisement -