Perlembagaan PAN sudah boleh dicampak ke laut

- Advertisement -

YANG Berikut adalah beberapa ulasan saya ke atas tulisan Pengerusi Biro Undang-Undang PAN merangkap Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, yang mengulas mengenai tulisan saya bertajuk “Parti Amanah Negara Yang Bercelaru: Hanipa Vs Mujahid”.

- Advertisement -

(1)  Walau apapun yang ditulis oleh beliau, saya masih boleh hormat kepada Hanipa kerana masih bertamadun dengan menjawab tulisan saya dengan tulisan juga tidak seperti Naib Presiden PAN, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, yang menjawab tulisan saya dengan mengemukakan saman RM5 juta dan membuat laporan polis terhadap saya.

(2) Pada masa yang sama, saya kesal dengan tindakan Hanipa memilih untuk memanggil saya dan PAS dengan gelaran yang buruk, iaitu “Dr yang hentam YB Hannah Yeoh sebelum ini” dan “parti suci”. Tindakan ini sangat bertentangan dengan tujuan utama penubuhan PAN yang diwarwarkan di dalam perlembagaannya, iaitu untuk “memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan”, kerana di dalam al-Qur’an sendiri tercatat jelas larangan memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk (Surah al-Hujurat: 11) dan kecelakaan besar bagi mereka yang suka mencaci dan mengeji (Surah al-Humazah: 1). Malah, ia juga sangat bercanggah dengan tulisan beliau sendiri yang tidak bersetuju dengan perbuatan label-melabel.

(3) Saya juga berterima kasih kepada Hanipa kerana secara terbuka mengakui perbezaan pandangan yang ada antara beliau dan Dr Mujahid dalam isu perlu atau tidak perlu Akta Diskriminasi Yang Tidak Adil diwujudkan. Seperti dimaklumi, Hanipa berpandangan bahawa Akta Diskriminasi Yang Tidak Adil ini adalah tidak perlu manakala Dr Mujahid pula berpandangan bahawa Akta Diskriminasi Yang Tidak Adil adalah perlu. Bagaimanapun, hujah yang digunakan oleh Hanipa untuk mempertahankan perbezaan pandangan antara beliau dan Dr Mujahid ini, iaitu bahawa PAN menganggap perbezaan pendapat sebagai satu rahmah dan sebagai simbol kekuatan serta bahawa “Penasihat Umum dan Presiden PAN senang dan seronok wujudnya perbezaan pendapat dalam keluarga PAN “, adalah jauh tersasar dari hakikat sebenarnya.

(4) Tidak dinafikan bahawa ada ketikanya perbezaan pendapat boleh menjadi satu rahmah dan simbol kekuatan, tetapi ada ketikanya pula perbezaan pendapat ini boleh menjadi satu mudharah dan simbol kelemahan. Perlembagaan mana-mana parti politik sekalipun membenarkan kewujudan perbezaan pendapat ini di dalam ruang lingkup tertentu yang dibenarkan oleh parti, terutamanya di dalam mesyuarat cawangan, kawasan, negeri atau jawatankuasa tertinggi parti dan di dalam muktamar/konvensyen tahunan/khas parti. Pada masa yang sama, perlembagaan parti-parti politik, termasuk Perlembagaan PAN sendiri, ini juga mempunyai peruntukan khusus untuk mengenakan tindakan disiplin kepada mana-mana ahlinya yang didapati membuat kenyataan atau tindakan yang bercanggah dengan dasar atau kepentingan parti.

(5) Mengikut Perlembagaan PAN, tertakluk kepada mana-mana peruntukan lain, kuasa tertinggi di dalam PAN adalah dipunyai oleh Konvensyen Tahunan/Khas PAN yang di antara tugasnya ialah untuk membahas dan meluluskan usul. Berpandukan kepada peruntukan ini, Konvensyen Nasional PAN Kali Ke-2 di Alor Setar, Kedah, pada 22 Oktober 2017 telah meluluskan satu usul yang dibawa oleh Dr Mujahid yang menyatakan mengenai keperluan mewujudkan Akta Diskriminasi Yang Tidak Adil ini. Sewaktu usul ini dibahaskan, memanglah perbezaan pendapat boleh menjadi satu rahmah dan simbol kekuatan, dan berdasarkan penelitian saya memang ada perwakilan yang mempertikaikannya, tetapi setelah ia diluluskan maka perbezaan pendapat adalah satu mudharah dan simbol kelemahan.

(6) Begitu juga dengan tindakan Dr Mujahid menulis kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2017 untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian membabitkan cadangan mewujudkan Akta Diskriminasi Yang Tidak Adil ini yang tidak begitu munasabah berani beliau lakukan tanpa mendapat lampu hijau daripada jawatankuasa tertinggi parti terlebih dahulu. Sukar dibayangkan bagaimana tindakan Hanipa menyanggah Rang Undang-Undang Persendirian ini secara terbuka seperti sekarang atau di dalam Dewan Rakyat, jika ditakdirkan Dr Mujahid dibenar untuk membentangkannya, boleh menjadi satu rahmah dan simbol kekuatan PAN.

(7) Sangat mengejutkan sekali bila Hanipa kelihatan tidak memahami atau tidak mahu mematuhi Perlembagaan PAN kerana, sama ada beliau sedari atau tidak, apa yang sedang beliau buat sekarang adalah “lawlessness”, iaitu satu keadaan kacau-bilau yang boleh berlaku disebabkan ketidakwujudan atau pengabaian undang-undang. Jika Pengerusi Biro Undang-Undang PAN sendiri tidak menghormati Perlembagaan PAN bagaimanakah ahli-ahlinya boleh diminta berbuat demikian? Boleh dibayangkan apa akan berlaku jika PAN menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri atau kerajaan pusat di mana pemimpin PAN, di atas pegangan bahawa perbezaan pendapat adalah satu rahmah dan simbol kekuatan, secara terbuka mempertikaikan keputusan mesyuarat EXCO atau mesyuarat Kabinet.    

(8) Kenyataan Hanipa ini juga sangat bercanggah dengan keputusan rasmi Pakatan Harapan, yang disertai oleh PAN sendiri, sewaktu melancarkan Perjanjian Pakatan Harapan pada 9 Januari 2016 di mana dimaklumkan ke seluruh dunia oleh pemimpin Pakatan Harapan pada waktu itu, termasuk oleh Setiausaha Organisasi PAN, Suhaizan Kaiat, bahawa prinsip ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’, yang pernah menjadi prinsip Pakatan Rakyat, tidak lagi menjadi prinsip Pakatan Harapan dan mana-mana parti yang melanggar konsensus akan dipecat. Bagaimanakah agaknya kenyataan Hanipa bahawa perbezaan pendapat adalah satu rahmah dan simbol kekuatan boleh diselarikan dengan keputusan Pakatan Harapan ini? Dan jika benar PAN sangat mengutamakan perbezaan pendapat mengapa PAN boleh bersetuju pula dengan ketiadaan prinsip ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ ini?

Sebagai kesimpulannya, pada pandangan saya, Perlembagaan PAN, mahupun Perjanjian Pakatan Harapan, sudah boleh dicampak ke laut susulan kenyataan Hanipa ini. – HARAKAHDAILY 14/12/2017

- Advertisement -