Bersatu tangani pencabulan ke atas Islam – Dr Temel

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Pengisytiharan Baitul Maqdis sebagai Ibu Negara Israel merupakan sebahagian projek Israel Raya yang direncanakan Zionis sejak dari Perjanjian Balfour, demikian menurut Presiden Parti Sa’adat Turki, Dr Temel Karamollaoğlu.
 
Beliau menyatakan perkara itu kepada delegasi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan beberapa NGO Islam Malaysia lain dalam pertemuan di Ibu Pejabat Parti Sa’adat, Ankara, Turki, kelmarin.
 
Akuinya, beliau tidak terkejut dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu yang jelas menjadi satu provokasi kepada umat Islam serta menjadi sebahagian usaha mereka meluaskan gerakan Islamofobia di seluruh dunia.
 
Sehubungan itu gesa Dr Temel, seluruh umat dan negara Islam perlu bersatu menangani keadaan tersebut yang merupakan pencabulan berterusan terhadap hak rakyat Palestin dan umat Islam seluruhnya.
 
Menyentuh mengenai usaha antarabangsa dalam membantu konflik di negara-negara umat Islam termasuk Syria, beliau menegaskan pendirian pihaknya untuk sentiasa mendahulukan perdamaian dan penyelesaian secara aman tanpa pertumpahan darah.
 
Maklumnya, semasa di awal konflik lagi beliau menyarankan kepada semua pihak di Syria termasuk yang menentang kerajaan supaya tidak menggunakan kekerasan kerana akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat.
 
Namun kesalinya, perkara itu tidak diendahkan di mana akhirnya berlaku konflik yang kini berlarutan lebih 6 tahun dan mengorbankan lebih 200,000 nyawa rakyat, selain jutaan lagi menjadi pelarian di dalam dan luar Syria.
 
Pun begitu terangnya, situasi semasa menyaksikan dari inisiatif pelbagai perundingan diadakan antara Syria, Iran, Rusia dan Turki telah berjaya menghentikan serangan besar-besaran diadakan banyak pihak sebelum ini.
 
Beliau merakamkan penghargaan atas usaha kemanusiaan NGO Malaysia dalam membantu rakyat Syria selain turut mengakui peranan aktif dilaksanakan terhadap usaha aktif pembelaan terhadap Arakan dan umat Islam Rohingya.
 
Dr Temel pada pertemuan itu juga mengimbas nostalgia hubungan akrab istimewa antara Sa’adat bersama PAS sejak zaman Almarhum Dr Najmuddin Erbakan yang ditegaskannya perlu dikekal dan dilangsungkan.
 
Menurutnya, hubungan itu bukan sahaja antara dua parti tersebut, tetapi telah meluas melibatkan negara iaitu antara Turki dan Malaysia di mana semasa kepimpinan Najmuddin telah menggagaskan G8.
 
Beliau berharap perkara itu dapat direalisasikan lagi kelangsungannya dengan melibatkan negara umat Islam antaranya lain juga disertai Iran, Bangladesh, Nigeria, Indonesia, Brunei dan lain-lain.
 
Delegasi tersebut turut berkesempatan bertemu dengan Presiden Cansuyu, Mustafa Koylu iaitu NGO besar di Turki yang aktif dalam gerakannya serta bernaung di bawah Parti Sa’adat. – HARAKAHDAILY 14/12/2017
- Advertisement -