Mengapa labelkan al-Qaradawi sebagai pengganas?

- Advertisement -

SEBELUM penulis lanjutnya perbincangan mengenai usaha pihak tertentu dalam kalangan negara-negara Arab yang tidak jemu-jemu melabelkan ulama’ tersohor seperti Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai pengganas, malah kesatuan ulama’ antarabangsa yang dipengerusikannya juga termasuk ahli-ahlinya juga pengganas adalah cukup keterlaluan, maka penulis ingin dedahkan pandangan Syeikh Jalal al-‘Alim mengenai perancangan musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam dari luar dan dalam.

- Advertisement -

Perancangan untuk hancurkan Islam

Sessungguhnya permusuhan terhadap Islam bukanlah perkara baru, malah ia merupakan kesinambungan usaha untuk merosakkan Islam semenjak di zaman Nabi-nabi hinggalah pada era Nabi Muhammad SAW.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Golongan musuh Islam yang dibongkar oleh al-Quran terdiri daripada Yahudi, Nasrani (Kristian), Musyrikin, Golongan sesat, Ahli Neraka, Golongan Pelampau dan banyak lagi.

Antara ayat al-Quran yang menunjukkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam – ayat 120 dan 217 surah al-Baqarah, al-Maidah ayat 82, mudah-mudahan dengan membongkar kegiatan jahat mereka, Allah SWT memberikan kekuatan kepada seluruh umat Islam, Amin.

Pandangan ini pernah disuarakan oleh al-Fadil Jalal al-‘Alim dalam risalahnya berjudul “Perancangan musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan Umat Islam”.

Pertama : Melenyapkan Hukum Islam

1-Menghapuskan pemerintahan/negara Islam iaitu dengan mengusir khalifah dari bumi Turki dan mengambil alih semua hartanya.

2-Turki mesti berjanji akan menumpaskan semua gerakan Islam yang bercita-cita untuk mengembalikan khalifah ke tempatnya.

3-Pemerintah Turki yang baru mesti mengguna-pakai undang-undangbarat/Sekular sebagai alternatif kepada undang-undang Islam.

4-Pemerintah baru Turki mesti memutuskan hubungan Islam secara menyeluruh.

Kedua : Usaha untuk menghancurkan al-Quran dan apa yang berkaitan dengannya.

Walaupun usaha itu dilihat mustahil, namun sekurang-kurangnya musuh Islam berusaha untuk mengalihkan pemikiran umat daripadanya.

Ketiga : Meleburkan akhlak orang-orang Islam, cara berfikir mereka, hubungan mereka dengan Allah SWT dan menjadikan hidup mereka bebas menurut hawa nafsu.

Inilah yang telah mereka lakukan dengan menyediakan rangkaian saluran televisyen bahan-bahan hiburan dan sukan keterlaluan bertujuan agar umat Islam khususnya golongan remaja musnah dari sudut nilai, harga diri, maruah, cara hidup dengan Islam.

Keempat :  Memecah-belahkan perpaduan dan kesatuan Umat Islam.

Kejayaan pihak musuh ialah dengan membahagikan Semenanjung Tanah Arab kepada beberapa buah negara kecil berkonsepkan sistem beraja hingga tidak mampu bersatu untuk menghalang penubuhan sebuah negara haram Israel.

Kelima : Meragukan Umat Islam terhadap kefahaman agama mereka sendiri.

Ia melahirkan jenis orang Islam, iaitu menjadi Islam pada nama dan tidak pada cara hidup, berpakaian, berfikir hingga sanggup menggadai prinsip agama dan akhirnya mengisytiharkan Islam liberal sebagai pegangan dan sebagainya.

Keenam : Berusaha menjadikan orang-orang Arab lemah dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Ia termasuk aspek politik, pendidikan, kemasyarakatan, perekonomian,  pergaulan dan sebagainya yang tidak dihubungkan dengan Islam sebagai penyelamat mereka, inilah yang sedang berlaku di beberapa buah negara umat Islam dan Arab, sama ada di rantau teluk atau di utara Afrika.

Ketujuh : Mewujudkan sistem “Politik Diktator” dalam negara-negara Umat Islam.

Faktor ini juga menjadi igauan di beberapa negara Islam yang menghadapi karenah para pemimpin negara mereka yang tunduk kepada arahan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan sekutunya.

Kelapan : Menafikan hak Umat Islam dari menguasai bidang perindustrian dan menjadikan mereka sebagai pengguna tetap bagi barangan barat.

Kesembilan :  Menyisihkan para aktivis Islam dari memegang sebarang tampuk pemerintahan di negara-negara Umat Islam dan menyekat sebarang ruang yang ada untuk bergerak dengan bantuan tali barut musuh Islam.

Kesepuluh : Merosak dan mengeksploitasi “Wanita Islam” dengan mewujudkan persekitaran dan pergaulan bebas.

Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan agamanya, tetapi pada masa yang sama tidak berusaha untuk mengenal perancangan musuh, lambat-laun akan terperangkap pada keadaan yang samar dan ragu mengenai agamanya sendiri, hingga terikut-ikut dengan rentak Yahudi atau Nasrani.

Terdapat hikmah kenapa umat Islam diwajibkan solat dengan membaca surah al-Fatihah, dengan meninggalkannya bererti solat seseorang itu tidak sah.

Ini kerana, surah al-Fatihah mendidik minda dan jiwa kita sebagai orang Islam, agar sentiasa memerhatikan perkara yang tersirat, iaitu kefahaman kita mengenai empat elemen yang terdapat di dalamnya, elemen akidah yang disimpulkan Allah melalui ayat 1-4, elemen syariat yang dijelmakan dalam bentuk ibadat khusus dalam ayat 5, elemen cara hidup sebagai orang Islam dengan menjadikan contoh-contoh positif sebagai ikutan dalam ayat 6 dan elemen permusuhan (Yahudi dan Nasrani) dalam ayat 7.

Kenapa elemen permusuhan yang dianggap negatif disama-ratakan oleh Allah untuk disebut dalam surah al-Fatihah yang dianggap sebagai sinopsis kesuluruhan isi kandungan al-Quran 30 juzuk?

Ini tidak lain, kerana kepentingan pengetahuan dan maklumat mengenainya yang mesti digarap oleh setiap mereka yang bernama muslim/muslimah, agar mereka tidak terikut pembawaan golongan Yahudi dan Nasrani dalam segenap aktiviti harian hidup mereka dan untuk mencapai maksud untuk menjadi golongan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Jasa Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi tidak terhitung banyaknya terhadap Islam dan ummah

Kalau dalam tanah air di Malaysia ini, ada pihak tertentu membangkitkan isu bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi sebagai pengganas, ia adalah satu tuduhan meleset, malah kita berterima kasih kepada Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan dakwaan liar pihak yang tidak bertanggungjawab, ini kerana beliau adalah Naib Pengerusi Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia.

Tugas membawa Islam adalah satu arahan, amanah, tanggungjawab yang penuh dengan pelbagai cabaran, malah dipenuhi dengan onak dan duri serta onar dan karenah yang datang  dari mereka yang benci terhadap Islam walaupun mereka solat, puasa, haji, umrah beberapa kali malah tidak tinggal membaca al-Quran. Melabelkan seseorang dengan gelaran negatif bukan perkara baharu, malah Nabi s.a.w. sendiri dilabel sebagai pemecah-belah kabilah, tukang sihir dan pelbagai gelaran lain.

Bila dilihat pandangan Syeikh Jalal ‘Alim di atas, jelas menunjukkan bahawa wujud pihak-pihak tertentu yang sengaja mengadu-domba perpaduan dalam kalangan umat Islam akibat terlalu fanatik terhadap musuh-musuh Islam seperti Amerika dan Israel serta sekutu-sekutunya yang gemar melihat umat Islam berpecah, mereka ini bagaikan tidak beriman dengan rukun-rukun iman yang enam.

Secara peribadi, ketika penulis dalam proses menyempurnakan tesis Ph. D yang baharu sahaja dikemukakan kepada pihak universiti, yang membabitkan aspek dakwah, jamaah, pembangunan insan serta Gerakan Islam, kebanyakan bahan-bahan rujukan diceduk, disaring, diambil dari pandangan Syeikh al-Qaradawi di samping para sarjana silam dan kontemporari, penulis amat-amati kesemua pandangan Syeikh al-Qaradawi bersifat ilmiah jauh dari sebarang unsur keganasan, sesuai dirinya sebagai tokoh ulama’ hakiki.

Kesimpulannya, ingin penulis paparkan satu bahan ilmiah mengenai sosok tubuh Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi yang disusun secara ilmiah oleh Hepi Andi Bastoni, terbitan Alam Raya Enterprise setebal 509 halaman, ia bagaikan satu kajian tesis mengenai individu seorang ulama’ yang patut dimiliki dan dibaca oleh segenap umat Islam dalam tanah air ini agar kita rasa berbangga memiliki tokoh ilmuan Islam terbilang.

Di mana buku berkenaan mengandungi empat bab secara tersusun, ia dimulai dengan bab satu yang memaparkan biogarafi Syeikh al-Qaradawi aspek pendidikan, prestasi serta kerjayanya, di samping pengkisahan tentang sumbangan ilmiahnya yang tidak ternilai, ini termasuk hasil-hasil karyanya yang ibarat air lautan dalam pebagai disiplin ilmu yang menyerlahkannya sebagai tokoh kepada segenap bidang ilmu agama. Ia juga memaparkan barisan para guru dan anak-anak muridnya yang terdiri daripada individu-individu yang hebat dan berpengaruh bukan sahaja di Mesir, malah di arena antarabangsa.

Ia membariskan guru-grunya semasa di peringkat sekolah rendah, thanawi, di universiti al-Azhar, guru-gurunya dalam kalangan ulama’ al-Azhar yang berwala’ kepada Gerakan Islam al-Ikhwan al-Muslimun, guru-gurunya yang mempengaruhinya dalam menjalankan tugasan dakwah dan lain-lain lagi yang tidak dapat penulis senaraikan semuanya.

Dalam bab dua memaparkan ijtihad dan fatwanya mengenai persoalan agama di samping metodologi kelimuannya yang menggabungkan antara ilmu fiqh dan hadis yang dimuatkan dalam bab tiga, sementara dalam bab empat pula fatwanya antara kritikan dan sanjungan, di mana kalau kita fahami sedalam-dalamnya metodologi beliau, tidak sedikitpun menampakkan dirinya menjurus kepada keganasan, justeru ingatan penulis kepada pembaca, jangan semudah itu menuduh tokoh ini sama dengan ISIS dan fahaman radikal lain yang mencemarkan gambaran Islam.{/mprestriction}

- Advertisement -