Bukan orang jahil sahaja, yang berilmu juga akan sesat

- Advertisement -

MUNGKIN umum dalam kalangan manusia, sama ada yang bijak mahupun dungu, muslim atau yang bukan muslim, berpendapat bahawa sesuatu perjalanan hidup terutama dalam aktiviti harian tidak akan tercapai, jika seseorang individu itu jahil apatah lagi tidak memiliki ilmu yang boleh menjadikannya meraih kedudukan selesa dalam hidup ini.

- Advertisement -

Memang tidak boleh disangkal oleh sesiapapun, kerana itu adalah hukum dunia, yang bijak pandai berada pada posisi yang cukup selesa terutama dalam menjawat sesuatu jawatan. Tetapi sebenarnya kelulusan atau sijil kelayakan seseorang bukanlah segala-galanya, kerana bagi Islam, jika seorang individu itu bijak dalam ilmunya, tetapi tidak beramal atau dengan lain perkataan, ilmunya tidak menjadikannya seorang yang mendekatkan diri kepada Tuhannya, maka dia tidak boleh dikatakan seorang yang bijak.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Dalam al-Quran telah diceritakan mengenai kebijaksaan seorang tokoh ilmuan di kalangan Bani Israil yang setanding ilmunya dengan Nabi Musa a.s., hingga baginda begitu percaya kepadanya untuk mengambil posisinya menyampaikan dakwah kepada Fir’aun, setelah dia (Fir’aun) tidak mahu menerima seruan Nabi Musa, maka baginda meminta daripada Bal’am Bin Ba’uraa menggantikannya untuk meneruskan misi dakwah.

Namun setelah dia menemui Fir’aun, bukan dia yang berdakwah, malah Fir’aun menyesatkannya, hal ini telah diceritakan al-Quran menerusi ayat 176 surah al-‘Araf yang maksudnya : “Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan darjatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu, tetapi dia (Bal’am) bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya  ia menjelirkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya ia juga menjelirkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

Dahsyatnya ilmuan yang tidak beramal, malah hadapi risiko sesat

Sesungguhnya Allah SWT menjelaskan menerusi ayat 23 surah al-Jaathiah yang bermaksud : “Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah dengan ilmu yang dimilikinya (bahawa ia tetap kufur ingkar walaupun bertaraf alim ), dan dimeteraikan pula atas pendengaran dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”

Jelas dalam ayat di atas, menggambarkan bahawa Allah SWT bila-bila masa sahaja boleh menjadikan seseorang itu tersesat walaupun terhadap ilmuan yang melebihkan kecenderungannya kepada dunia, jika apa yang dilakukannya bukan kerana Allah malah lebih kepada mendapatkan sesuatu dalam kehidupan ini seperti mahu menjadi terkenal.

Ini kerana Bal’am seorang ulama’ Bani Israil bukanlah calang-calang orang yang diminta oleh Nabi Musa a.s. untuk menggantikannya berdakwah bagi menyelamatkan Fir’aun sekiranya masih ada ruang baginya berubah kepada kebaikan, tetapi malang Bal’am yang memiliki ilmu yang begitu luas dalam persoalan agama kecundang apabila dia yang ditarik Fir’aun meninggalkan bidang dakwah yang diceburinya, kerana dengan habuan dunia yang ditawarkan oleh Fir’aun.

Ulama’ seperti Bal’am itulah yang disifatkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebagai ulama’ jahat yang mengelabui orang ramai dengan ilmunya, mereka bukan sahaja menyesatkan orang ramai dengan ilmu yang dimilikinya, malah disifatkan Nabi sebagai manusia yang memiliki hati serigala, sentiasa mahu membaham orang lain agar tersesat daripada kebenaran, inilah sedang berlaku di dunia Islam, para pemerintah menjadi jahat dan hilang perhitungan agama disebabkan mendapatkan nasihat songsang daripada ulama’ yang berkepentingan, bukan mahu menyelamatkan Islam daripada penyelewengan.

Kita jangan hanya menilai seseorang itu sebagai ulama’ dengan hanya dengan melihat luaran sahaja. Ulama’ bukanlah boleh diukur dengan serban sebesar bakul dan jubah umpama kelambu. Ulama’ juga tidak boleh dikenali dengan tanda hitam di dahi kerana ilmu serta iman tidak boleh kita nampak melalui mata kasar.

Justeru, kita diajar oleh Islam agar sentiasa berwaspada daripada golongan Ulama’ Su’ (jahat) yang sentiasa mencari publisiti murahan, kita juga disaran agar mengenali mereka di kalangan masyarakat awam agar tidak mudah menyesatkan mereka dengan ilmu, kerana mereka ini sebenarnya telah mengadaikan maruah agama untuk kepentingan diri sendiri. Seba itu, tidak hairanlah jika ada di kalangan mereka yang mengeluarkan fatwa songsang, menggelapkan wang zakat, mengampu pemimpin yang terang bercanggah dengan hanya berdiam diri.

Kita perlu mengenali mereka dan menghebohkan keburukan mereka yang boleh menyesatkan orang ramai agar tidak terus menjadi mangsa kejahatan ulama’-ulama’ su’ (jahat) ini. Macam mana kita boleh mengenali ciri-ciri manusia yang dikatakan sebagai ulama’ jahat itu? Ciri-ciri ulama’ jahat amat mudah untuk dikenali.

Mereka ini akan menjadi bisu dalam menyatakan kebenaran dan lebih cenderung kepada kezaliman. Mereka ini hanya mementingkan hal mereka sendiri sahaja daripada memikirkan tentang umat Islam keseluruhan, sebenarnya mereka tidak layak disebut sebagai ulama’ kerana tindakan yang memalukan Islam.

Ciri-ciri Ulama suu’ pula ialah.., mereka yang meninggalkan tugasan menentang kezaliman sebaliknya bersekongkol dengan golongan yang mahu menghancurkan masyarakat dan pemerintahan Islam, mereka sanggup menjadi pak turut kepada sistem pemerintahan Sekular yang memisahkan Islam daripada pentadbiran negara.

Mereka memberi alasan kononnya mahu berdakwah kepada golongan kafir dengan bergabung dengan kumpulan tersebut, tetapi mereka sebenarnya berdusta. Mereka itu sebenarnya hanya dijadikan sekadar alat untuk puak-puak kafir berkuasa ke atas umat Islam lainnya, inilah yang berlaku di beberapa negara umat Islam seperti Turki satu masa dahulu, Maghribi, Tunisia, Libya, Algeria, Mesir dan lain-lain.

Kalau di Mesir satu ketika dahulu, muncul seorang ulama’ bertaraf kelulusan Universiti al-Azhar, iaitu Syeikh Ali Abdul Raziq yang menulis dalam bukunya ‘Al-Islam Wa Usul al-Hukum’ yang lebih kepada penjelasan tentang kebaikan konsep pemerintahan Sekular, namun beliau dikritik hebat oleh kebanyakan Sarjana al-Azhar, Sarjana Darul Ulum Universiti Kaherah dan lain-lain yang menyifatkannya sebagai agen dan tali barut Barat dengan menggunakan ijazah al-Azhar untuk menabur fitnah terhadap Islam.

Jadi, hendaklah kita berwaspada dan berhati-hati dengan golongan manusia-manusia yang menyamar sebagai alim ulama ini. Apatah lagi jika mereka menggunakan agama untuk meraih undi di dalam berpolitik. Jangan sampai kita terpedaya semata-mata mahu mencari syurga secara mudah..

Sesungguhnya, pahala dan syurga itu tidak akan dapat diperolehi hanya dengan sekadar memangkah kertas undi dan juga mengisi borang menjadi ahli kumpulan politik. Jangan terlampau taksub sehingga merugikan diri sendiri kelak. Yang penting kita mempunyai jati diri masing-masing sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. yang kental tanpa mudah cair dengan pujuk rayu manusia-manusia durjana bertaraf  ulama’ yang sanggup menjual agama untuk kepentingan dunia.

Kita harus faham, yang dikatakan sebagai ulama’ jahat itu adalah lebih teruk dari Dajjal. Ini kerana, mereka ini mampu dan sangup menyesat dan menyelewengkan umat Islam dengan memutarbelitkan hadis serta ayat-ayat al-Quran bagi menyesuaikan pendapat mereka dengan pemerintah yang membayar gaji dan elaun mereka.

Sebagai insan Muslim di akhir zaman ini, kita perlu berwaspada dari segenap permainan golongan yang semakin terserlah kebencian mereka terhadap golongan ulama’ hakiki, apatah lagi zaman yang cukup mudah untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat awam melalui laman-laman  sosial seperti facebook, twitter, whatsapp dan lain-lain dengan memperlekeh golongan pewaris Nabi-Nabi dengan berani dan penuh yakin tindakan yang dibuat.

Ini kerana kewaspadaan terhadap perancangan jahat golongan yang anti Islam termasuklah mereka yang mengaku Islam secara warisan dan baka, ataupun dari kalangan mereka yang dahulunya menyokong perjuangan Islam, tetapi disebabkan ‘survival’ untuk terus diterima dalam arena politik, kesanggupan untuk merendah-rendah kedudukan ulama’ termasuklah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi menjadi keutamaan dalam hala tuju politik baharu golongen berkenaan. Mudah-mudahan kita terselamat dan diselamatkan Allah dari menjadi individu yang tidak sedar diri menjadi celik kerana ilmu para ulama’ Islam yang akhirnya menjadikan kita sesat dari kebenaran Islam walaupun kita berilmu.{/mprestriction}

- Advertisement -