PAN yang bercelaru: Hanipa Vs Mujahid

- Advertisement -

PEGUAM Syahredzan Johan menyebut di dalam dua tulisan beliau yang bertajuk “Diskriminasi: Perlu Gubal Hukum” dan “Undang-Undang Anti-Diskriminasi” di dalam akhbar Sinar Harian pada 27 November 2017 dan 11 Disember 2017 mengenai perlunya satu undang-undang khusus digubal bagi mengatasi masalah diskriminasi tidak adil.

- Advertisement -

Syahredzan menceritakan mengenai bagaimana beliau terlibat dalam penggubalan “undang-undang anti diskriminasi dalam bentuk dua cadangan rang undang-undang yang dikenali sebagai RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional dan RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional” oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (NUCC).

Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar NUCC, yang bertanggungjawab merangka RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional dan RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional, ini pula ialah Ahli Parlimen Parit Buntar yang kini merupakan Naib Presiden PAN, iaitu Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Kedua-dua RUU ini mendapat tempat yang sangat istimewa di hati Datuk Dr Mujahid yang bermati-matian mempertahankannya dari serangan pelbagai pihak waktu ia didedahkan kepada pengetahuan masyarakat umum pada tahun 2014 dahulu, malah isu meliputi RUU inilah yang menjadi salah satu punca kenapa beliau menyaman saya RM5 juta.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar NUCC, beliau, bersama-sama beberapa tokoh lain yang terlibat di dalamnya, khususnya Datuk Lim Chee Wee dan Datuk Saifuddin Abdullah, sering berusaha menghidupkan kembali kedua-dua RUU ini bila timbul pelbagai isu baru membabitkan diskriminasi di kalangan rakyat Malaysia.

Usaha ini termasuklah kenyataan Datuk Dr Mujahid di dalam portal berita Free Malaysia Today pada 28 September 2017 bahawa “peruntukan dalam undang-undang anti diskriminasi (yang dicadangkan oleh NUCC) adalah khusus dan tidak akan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan berkaitan hak istimewa Melayu dan Bumiputera”.

Menurut Datuk Saifuddin, di dalam tulisan beliau di akhbar Sinar Harian pada 6 November 2017, Datuk Dr Mujahid telah menulis kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2017 untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian membabitkan cadangan yang sama, tetapi dengan sedikit penambahbaikan, kepada kedua-dua RUU ini.

Malah, Konvensyen Nasional PAN Kali Ke-2 pada 22 Oktober 2017 juga telah meluluskan usul yang dibawa oleh Datuk Dr Mujahid bagi mendesak kerajaan mengemukakan RUU ini yang disokong antara lainnya oleh perwakilan PAN Tanjung Malim, Aminuddin Zulkipli, yang dilapor menyifatkanya sebagai “anti diskriminasi”.

Alih-alih hari ini, 12 Disember 2017, Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH merangkap Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, di dalam tulisan beliau bertajuk “Tak Perlu Akta Anti Diskriminasi Yang Tak Adil” yang tersiar di dalam portal berita Malaysia Kini, boleh tidak bersetuju pula dengan cadangan mewujudkan Akta Anti Diskriminasi ini.

Persoalan besar yang timbul di sini ialah bagaimana Datuk Dr Mujahid boleh menulis kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2017 untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian membabitkan cadangan mewujudkan Akta Anti Diskriminasi ini jika cadangan ini tidak dipersetujui oleh Pengerusi Biro Undang-Undang PAN?

Persoalan besar yang timbul di sini juga ialah bagaimana Konvensyen Nasional PAN Kali Ke-2 pada 22 Oktober 2017 boleh meluluskan usul yang dibawa oleh Datuk Dr Mujahid bagi mendesak kerajaan mengemukakan RUU untuk mewujudkan Akta Anti Diskriminasi ini jika cadangan ini tidak dipersetujui oleh Pengerusi Biro Undang-Undang PAN?

Isu seterusnya ialah siapa antara Naib Presiden PAN (Datuk Dr Mujahid) dan Pengerusi Biro Undang-Undang PAN (Mohamed Hanipa) yang lebih berkuasa serta ke mana pergi Penasihat Umum dan Presiden PAN, Ustaz Ahmad Awang dan Tuan Haji Mohamad Sabu, hingga dua pemimpin PAN boleh bertelagah secara terbuka?

Jika di dalam isu kecil begini pun PAN sudah bercelaru, bagaimana pula dengan isu-isu lain yang lebih besar? – HARAKAHDAILY 12/12/2017

- Advertisement -