Krisis Baitulmaqdis: Agama isunya, politik mediumnya

aqsa
- Advertisement -

RAMAI juga kalangan pengkaji dan pemerhati politik antarabangsa menyatakan isu al-Quds adalah semata-mata pergelutan politik. Ia tidak ada kena mengena dengan kepentingan agama. Justeru mereka menempelak golongan yang menyeru kepada kebangkitan menentang pengisytiharan Trump sebagai mempergunakan sentimen agama, atau mengaitkan agama sebagai punca krisis.

- Advertisement -

Kalangan realist melihat isu ini boleh diselesaikan dengan kebijaksanaan politik, dengan mengenepikan faktor agama. Rundingan, ketetapan undang-undang dan juga tekanan politik antara kaedah yang ditawarkan dalam menyelesaikan isu ini.

Tanpa menafikan kepentingan strategi politik dalam menangani isu ini, tetapi isu Palestin sama sekali tidak boleh dikeluarkan daripada kerangka agama. Rebutan berpanjangan terhadap al-Quds bukan semata-mata kedudukam geopolitiknya yang strategik, tetapi kerana kepercayaan 3 agama terbesar dunia terhadap tanah suci ini.

ZIONIS DAN AL-QUDS

Sejarah menunjukkan, kumpulan yang berperang bagi mendapatkan al-Quds hampir semuanya digerakkan atas nama agama. Umar al-Khattab sebagai pemimpin umat Muhammad pertama membebaskan kota al-Quds daripada cengkaman Roman Byzantine atas nama agama Islam. Kemudian dirampas oleh tentera salib dipimpin oleh gereja katolik yang menguasai pemerintahan Eropah zaman kegelapan dahulu, juga atas semangat agama. Terbaru, penaklukan Yahudi terhadap al-Quds dan penubuhan negara Israel adalah kerana ideologi agama Yahudi. Nama Israel dan Zionis sendiri adalah merujuk kepada kepercayaan agama Yahudi.

Penaklukan al-Quds telah dirancang lama oleh Yahudi melalui gerakan rahsia Freemason. Walaupun kalangan realist tidak mempercayai Freemason kerana tiada dokumen rasmi atau kenyataan terbuka pemimpin mereka mendedahkan mengenai pertubuhan ini, tetapi sumber-sumber risikan dan pengakuan bekas ahli yang terlibat sukar menafikan kewujudan gerakan ini. Mengikut maklumat yang paling logik, konspirasi jahat yahudi syaitan ini sudah bergerak sejak zaman Nabi Sulaiman lagi walaupun tidak atas nama Freemason.

Sehingga mereka berjaya berperanan di posisi penting di dunia seperti bidang ekonomi, hiburan dan sosial, barulah mereka berani menubuhkan front politik yang diberi nama sebagai zionis. Tahun 1897, Zionis mengadakan persidangan pertama di Basel, Switzerland dan mencapai beberapa resolusi yang dinamakan sebagai Protokol Zionis. Pemimpin pertama zionis, Theodor Herzl mendedahkan isi protokol adalah bagi mendapatkan sebuah negara politik bagi Yahudi ke arah menjadi pemerintah dunia.

EVANGELIS DAN AL-QUDS

Satu lagi golongan yang meletakkan isu agama sebagai faktor rebutan al-Quds adalah evangelis daripada penganut kristian. Evangelisme merupakan satu fahaman di dalam agama Kristian yang mempercayai kewajipan menubuhkan negara kristian bagi persediaan menyambut Jesus Christ yang bakal turun ke bumi kelak. Gerakan ini adalah gerakan yang radikal. Ada yang beranggapan penguasaan gereja ke atas empayar Rom dan juga kempen Perang Salib digerakkan oleh evangelis.

Evangelis moden hari ini berjaya melobi sehingga sebuah negara yang dinamakan Amerika berjaya didirikan. Evangelis merupakan golongan elitis di Amerika, dan banyak mempengaruhi politikus. Evangelis tanpa segan silu mengakui pengisytiharan Trump adalah hasil tekanan mereka yang berada di dalam parti Republikan. Trump sebelum ini menjadikan pengiktirafan Jurusalem sebagai salah satu manifesto beliau dalam kempen pilihan raya Presiden bagi melobi evangelis.

Mengikut kepercayaan evangelis, Bible menyatakan Jurusalem adalah hak mutlak kaum Yahudi. Kepercayaan ini adalah sama dengan pegangan zionis melalui The Old Testament. Justeru mereka turut berjuang bagi memberikan hak kepada golongan Yahudi.

ISLAM DAN AL-QUDS

Di dalam Islam pula, al-Quds merupakan tanah suci ketiga umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Peristiwa Israk dan Mikraj adalah isyarat jelas tentang kedudukan Masjidil Aqsa kepada umat Muhammad, ditambah dengan ayat al-Quran dan Hadis-hadis tentang kedudukan, kelebihan dan berita akhir zaman mengenainya.

Cukup kita bawakan satu ayat al-Quran dan satu hadis yang menjelaskan ketinggian kedudukan al-Aqsa di dalam Islam. Adapun ayat al-Quran firman Allah:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[Al-Isra’:1]

Adapun hadis, sabda Rasulullah SAW:

لا تزال طائفة من أمتي على الدين ظاهرين، لعدوهم قاهرين، لا يضرهم من خالفهم ، حتى يأتيهم أمر الله. وهم كذلك”، قالوا: يا رسول الله وأين هم؟ قال: “ببيت المقدس وأكناف بيت المقدس

Akan sentiasa wujud dari kalangan umatku berjuang atas nama agama. Mereka tegas terhadap musuh, dan tidak akan sekali-kali tergugat dengan pihak yang meninggalkan mereka, sehingga datangnya urusan Allah.
Sahabat bertanya siapakah mereka? Jawab baginda: “Mereka adalah penduduk Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis.”
[HR Ahmad]

Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan juga hadis baginda menjelaskan bahawa al-Quds adalah milik umat Islam yang mengesakan Allah. Bukan milik mana-mana bangsa khusus. Sesiapa yang berpegang kepada agama Islam, merekalah yang paling layak mentadbir al-Quds.

Palestin dibuka pertama kalinya oleh Nabi Ibrahim AS, atas perintah Allah supaya berhijrah meninggalkan kerajaan Babylon yang diperintah oleh Namrud bin Kan’an. Anak baginda bernama Ismail diperintahkan bermastautin di Mekah, melahirkan bangsa arab dan Nabi akhir zaman Muhammad SAW. Seorang lagi anaknya, Ishak terus menetap di Palestin dan dikurniakan anak bernama Yaakub. Yaakub digelar sebagai Israel, dikurniakan 12 orang anak yang membentuk jalur keturunan Bani (anak) Israel.

Al-Quran merekodkan juga, al-Quds dibuka oleh Talut dengan mengalahkan Jalut atas perintah Allah SWT. Talut melantik Nabi Daud sebagai raja. Anak Nabi Daud, Nabi Sulaiman mendirikan kerajaan dunia dengan al-Quds menjadi pusat pemerintahan dan tapak istana baginda. Kesemua mereka adalah Islam dan patuh kepada Allah.

Al-Quran juga merekodkan, al-Quds sekali lagi diperintahkan untuk dibuka kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Malangnya Bani Israel mengingkari perintah tersebut menyebabkan mereka dihukum sesat di padang pasir selama 40 tahun. Selepas generasi yang ingkar dimatikan, barulah Nabi Yusha’ berjaya menjalankan perintah Allah memimpin Bani Israel membuka al-Quds.

Nabi akhir zaman Muhammad SAW mengisyaratkan kepada para sahabat untuk bersolat di Masjidil Aqsa dengan kelebihan-kelebihan yang diterangkan. Waktu itu, Masjidil Aqsa d bawah taklukan Roman Byzantine. Lalu umat Islam berusaha membebaskan kota untuk menunaikan saranan solat tersebut. Akhirnya ia berjaya dibuka pada zaman Saidina Umar al-Khattab, kira-kira 6 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Menurut kaedah Usul Fiqh, “الأمر بالشيء أمر بلوازمه” bermakna perintah terhadap sesuatu meliputi perintah terhadap semua yang berkait dengannya.

ZIONIS + EVANGELIS =/= ISLAM

Kesilapan Yahudi dan Kristian adalah mereka mempercayai kitab-kitab yang sudah diseleweng. Old Testament/Hebrew Bible atau dikenali di dalam Islam dengan nama Taurat dan juga Bible/New Testament ataupun Injil yang asal mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman. Malangnya mereka menolak atas alasan Muhammad bukan Nabi keturunan Bani Israel, sehingga sanggup menyelewengkan kitab suci Taurat dan Injil.

Hari ini muncul beratus versi Taurat dan Injil berbeza. Setiap mazhab dan aliran mereka memiliki kitab versi tersendiri. Berbeza dengan Islam, sumber rujukan utama semua mazhab adalah Al-Quran yang sama.

Atas kepercayaan masing-masing, ketiga-tiga agama ini berebut bagi mendapatkan al-Quds. Ia bukan sekadar persaingan politik semata-mata. Jurusalem/al-Quds telah menjadi rebutan zaman berzaman, dan ia akan kekal menjadi rebutan sehingga hari kiamat. Bagi membolehkan umat Islam berkuasa semula di al-Quds, kesedaran dan kebangkitan atas nama agama perlu menjadi keutamaan.

Dalam perkembangan terkini, kristian (evangelis) dan yahudi (zionis) nampaknya bergabung dalam berhadapan dengan Islam. Faktor kedudukannya yang strategik dari segi geo-ekonomi dan geo-politik, menyebabkan politikus boleh bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin berpengaruh dari tiga agama ini dalam mencapai matlamat masing-masing.

Apa yang memalukan, evangelis dan zionis menggunakan platform politik bagi menjayakan matlamat agama mereka. Pemimpin muslim pula menggunakan platform agama bagi menjayakan matlamat politik dalam isu al-Quds.

POLITIKUS MUSLIM

Masing-masing mahu menjadi juara dalam isu al-Quds supaya mampu memikat sokongan majoriti muslim di negara masing-masing. Tetapi hakikatnya, mereka tidak serius dan hanya bermain-main dengan retorik. Di belakang tabir, Israel dan Amerika menjadi sekutu mereka yang kritikal dalam survival politik dan ekonomi global.

Ramai yang mempertahankan retorik pemimpin-pemimpin politik muslim negara masing-masing dalam mempertahankan al-Quds sebagai kebijakan berpolitik mereka agar tidak dilanyak oleh kuasa besar. Gadafi di Libya, Mursi di Mesir, Saddam di Iraq dan ‘Erbakan’ di Turki antara contoh pemimpin ‘bodoh’ politik yang mereka dakwa tidak pandai bersilat di pentas geo-politik.

Tetapi hakikatnya hanya mereka yang terlibat secara langsung dan yang mengenali secara dekat sahaja mengetahui sikap sebenar pemimpin-pemimpin yang ada hari ini terhadap isu-isu Islam. Mereka sebenarnya oportunis, dasar mereka pragmatis yang melihat agama sebagai leverage untuk mileage politik.

Sebagai umat yang peka, kita perlu berhati-hati dengan semua pihak, baik musuh Islam mahupun yang mendakwa pembela Islam. Tidak salah menyokong retorik mereka, tetapi janganlah sokongan itu menyebabkan diri menjadi taksub sehingga menolak pendekatan berbeza. Juga usah meletakkan harapan mutlak kepada mereka, bimbang dieksploitasi dengan mudah kelak. Mereka yang pragtamis, akan membelakangkan Islam jika ia merugikan politik!

POLITIK ISLAM

Namun ini tidak bererti kita harus menolak politik dalam menyelesaikan masalah ini. Politik adalah sebahagian daripada Islam dan tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Apabila umat Islam meninggalkan politik, maka mereka telah terjerat ke dalam perangkap musuh Islam yang memang mahukan politik ini bebas dari unsur agama. Mereka bebas berbuat apa sahaja sewenang-wenangnya. Matlamat mereka menjadikan al-Quds ibunegara Israel semakin mudah dari sudut undang-undang.

Cuma politik yang dimaksudkan bukan seperti budaya politik konvensional hari ini. Politik Machiavelli, politik sekular atau politik populisme. Politik kita mesti politik Islam. Politik berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Politik bermatlamatkan penegakan Islam.

Menerima demokrasi sebagai pendekatan politik semasa terbaik yang ada. Tetapi tidak tenggelam dalam arus demokrasi sehingga menjadi populis dan pragmatis. Jangan menggadaikan prinsip hanya kerana sokongan. Jangan memperalatkan sokongan demi kepentingan tertentu.

Kesimpulannya, isu al-Quds adalah isu agama. Tetapi untuk menyelesaikannya, politik perlu dijadikan alat.

Alang Ibn Shukrimun
23 Rabiul Awwal 1439 / 11 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 11/12/2017

- Advertisement -