Hadapi cabaran getir serantau, hubungan Pakistan-Iran makin erat

- Advertisement -

KETUA Tentera Pakistan Ketua Jeneral Qamar Javed Bajwa tiba di Iran pada 5 Nov, dalam satu lawatan rasmi tiga hari yang dilihat sebagai satu perkembangan penting dalam mengeratkan hubungan dua hala dan bagi kerjasama antara tentera kedua-dua negara.

- Advertisement -

Lawatan tersebut menggambarkan kesedaran yang semakin tinggi di kalangan kepimpinan Pakistan tentang kepentingan menjalinkan hubungan yang baik dan mendatangkan faedah dengan negara-negara jiran memandangkan bertambahnya ketidakpastian pada masa hadapan dan ancaman-ancaman yang wujud kesan kegiatan pengganas.

Semasa lawatan tersebut, ketua tentera tersebut menemui pemimpin kanan sivil-tentera Iran dan berbincang tentang isu-isu seperti keadaan persekitaran geo-strategik di rantau tersebut, pengurusan sempadan Pakistan-Iran, keadaan di Afghanistan, perkembangan ancaman pengganas dan hubungan dagangan dua hala.

Kepentingan lawatan tersebut tidak boleh diperkecilkan kerana ia berlaku berikutan dua perkembangan baru yang berlaku yang telah mengancam keselamatan dan menimbulkan cabaran-cabaran kepada dasar luar negara yang bukan sahaja melibatkan Pakistan dan Iran tetapi juga keseluruhan negara-negara Asia Selatan dan Asia Barat.

Sebagai contoh tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menamakan kewujudan Asia Selatan “baharu” dengan India memainkan peranan lebih penting di Afghanistan dan di rantau itu secara keseluruhannya, telah meningkatkan kerisauan strategik bagi Pakistan. Iran juga telah berusaha untuk memastikan keselamatan negaranya terjaga berikutan pendekatan Trump yang semakin bongkak. Kes terbaru yang dilihat penting bagi Iran adalah keputusan pembatalan sijil kebenaran dalam program nuklear negara itu.

Dalam keadaan persekitaran yang penuh persengketaan kedua-dua negara kelihatannya memahami keperluan untuk bekerjasama pada masa yang tepat dan membuat penyesuaian dalam hal-hal kepentingan dua hala. Pakistan berkongsi sempadan sepanjang 909km dengan Iran yang memisahkan wilayah Sistan-Baluchistan di Iran dan wilayah strategik Balochistan di Pakistan.

Wilayah Balochistan di Pakistan adalah tempat letaknya pelabuhan Gwadar. Lawatan ketua tentera tersebut mungkin akan membuka laluan bagi mekanisme pengurusan sempadan yang sememangnya diperlukan dan perkongsian perisikan yang boleh menghalang pencerobohan sempadan dan pergaduhan di sempadan yang akan menyebabkan hubungan baik terjejas.

Tambahan pula Pakistan kelihatannya memahami pertambahan kehadiran pengaruh India di Iran melalui kewujudan pelabuhan Chahbahar dan perkara ini mendatangkan kebimbangan pihak Pakistan. Oleh itu, usaha Pakistan untuk mengukuhkan hubungan dengan Iran boleh juga dilihat sebagai satu cara untuk mengimbangi pengaruh India.

Tetapi Pakistan bernasib baik kerana disebabkan India mempunyai kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat. Oleh itu, Iran mungkin pada masa akan datang mendapati bahawa India tidak boleh menjadi rakan yang boleh diharap dan barisan pimpinan Iran kelihatannya memahami perkara ini semenjak dari awal lagi. Pemikiran sebegini boleh diterima memandangkan fakta bahawa India tentunya tidak mahu mengorbankan kepentingannya yang lebih besar dengan AS dan memilih Iran.

Oleh itu sekiranya AS dan sekutu-sekutunya membuat keputusan untuk mengenakan kembali sekatan ke atas Iran maka India tentunya akan berasa sukar untuk meneruskan hubungan dengan Iran dan berhadapan dengan tindak balas dari pihak AS. Pakistan mungkin boleh mengambil peluang dari kelemahan hubungan India-Iran ini dan mengambil kesempatan untuk mengukuhkan hubungan dengan Iran.

Pakistan dan Iran juga berkongsi pandangan sama dan kedua-duanya menyokong idea berkaitan “Afghanistan yang diketuai dan keamanan yang diusahakan oleh rakyat Afghanistan sendiri” dalam isu Afghanistan. Sebaliknya Iran dan India berbeza pendapat tentang landskap geopolitik di Afghanistan. Memandangkan kehadiran jangka panjang AS di Afghanistan adalah membahayakan kedudukan strategik Iran di rantau Asia Tengah, tempat yang kaya dengan sumber tenaga tetapi tidak mempunyai laluan ke laut.

Oleh itu Iran lebih memilih supaya AS keluar secara sepenuhnya dari Afghanistan. Di pihak yang lain pula, India mungkin tidak berasa selesa dengan tindakan AS untuk keluar dari rantau tersebut, lebih-lebih lagi ia kini baru mendapat peranan yang lebih besar di Afghanistan dan di Asia Selatan hasil tindakan AS. Memandangkan India pastinya akan menurut telunjuk AS, maka Pakistan tentunya lebih menjadi pilihan bagi Iran.

Walau bagaimanapun ini tidak bermakna Pakistan tidak mempunyai cabaran sendiri dalam mengekalkan hubungannya dengan Iran. Sebaliknya terdapat cabaran-cabaran besar yang terpaksa dihadapinya memandangkan ia juga perlu mengimbangi hubungannya dengan Iran demi menjaga hubungan dengan Arab Saudi.

Kedua-dua negara tersebut terlibat dalam perang proksi di Asia Barat dan hubungan tidak baik Iran-Saudi mendatangkan satu masalah bagi Pakistan. Walaupun Pakistan mempunyai ideologi yang sama dan hubungan yang strategik dengan Arab Saudi tetapi ia juga berkongsi sempadan yang panjang dengan Iran dan mempunyai jumlah penduduk Syiah kedua besar selepas Iran. Oleh itu mengambil sikap berpihak dalam konflik Iran-Saudi akan mendatangkan risiko perpecahan dalam kalangan penduduk dalam negara.

Oleh itu bagi mendapatkan keuntungan daripada hubungan dengan Iran maka Pakistan sepatutnya memainkan peranan sebagai orang tengah antara kedua-dua musuh ketat itu dan mengamalkan sikap tidak berpihak. Walaupun sikap tidak berpihak juga akan turut meninggalkan kesan tetapi sekiranya kesan tersebut tidak setinggi harga sekiranya mengambil sikap berpihak maka adalah lebih baik bagi Pakistan untuk mengambil sikap tidak berpihak.

Dalam jangka masa panjang walau bagaimanapun, Pakistan sepatutnya mempunyai dasar luar negara yang bebas dan tidak hanya terikat dengan tindakan Arab Saudi dan Iran. Objektif ini dapat dicapai sekiranya ia mempunyai kekuatan ekonomi, dan projek Koridor Ekonomi China-Pakistan, CPEC, dengan China adalah antara peluang keemasan yang patut digunakan untuk tujuan ini.

Nisar Ahmed Khan adalah penyelidik di Institut Wawasan Strategik. Artikel ini diterbitkan dalam Eurasia Review dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan oleh Harakah.

- Advertisement -