Awas racun politik liberal-sekular

- Advertisement -

PILIHAN raya umum(PRU) adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Demokrasi bermakna sistem pemerintahan yang didukung oleh suara rakyat. Sejak dari merdeka, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, yang mana kerajaan khasnya badan eksekutif ditentukan melalui pemilihan wakil-wakil legislatif oleh rakyat.

- Advertisement -

Bermakna rakyat melalui sistem ini memberikan suara mereka kepada wakil-wakil mereka sama ada di parlimen mahupun dewan-dewan negeri. Segala sistem dan dasar yang mahu dilaksanakan bakal dan akan dilaksanakan berdasarkan mandat rakyat. Jika rakyat cenderung kepada satu-satu ideologi atau fahaman, maka parti yang mewakili ideologi atau fahaman itulah yang akan diangkat dan mewakili suara mereka.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Namun mandat atau perwakilan suara itu bukanlah mutlak atau muktamad. Ia akan dikembalikan kepada rakyat setiap penghujung penggal. Di Malaysia setiap penggal tidak melebihi 5 tahun. Sekiranya rakyat berpuas hati mereka boleh mengekalkan pilihan mereka sebelumnya atau boleh sahaja mengubah dan menukarnya mengikut pertimbangan dan pilihan mereka masing-masing.

Dalam sistem demokrasi berparlimen kita, rakyat bebas membuat pilihan dan pilihan rakyat khasnya suara majoriti harus dihormati dan diiktiraf sebagai suara tertinggi sekurang-kurangnya untuk penggal yang berkenaan. Apa sahaja dasar dan pendekatan yang dilaksana dan diambil oleh kerajaan yang diberi mandat sesungguhnya mewakili suara dan kehendak ramai.

Tugas kita pada setiap kali pilihan raya umum adalah untuk mengangkat mereka yang mampu membawa keadilan, kesejahteraan dan kebaikan buat semua. Jika kita mahu melihat kerajaan yang dibentuk adalah sebuah kerajaan yang bertaqwa, yang mempunyai keupayaan mempertahan dan memartabatkan Islam sebagai suatu sistem kehidupan bernegara dan bermasyarakat dan mencorak kemajuan dan pembangunan berdasarkannya, maka sudah pasti kita memilih parti yang mampu memperjuangkan Islam.

Jika kita jenis yang menyukai kebebasan tanpa had dan tidak mementingkan usaha mendaulatkan Islam, maka bagi kita cukuplah Islam sebagai agama “ritual”. Ia hanya dibesarkan di rumah-rumah ibadah atau secara persendirian tanpa melibatkan kerajaan dan negara. Yang penting adalah negara menjadi maju dan membangun. Maka layaklah bagi kita untuk memilih parti-parti yang liberal dan memperjuangkan sekularisme, iaitu memisahkan agama daripada pemerintahan.

Kebebasan terletak di tangan rakyat dan kerajaan yang akan berkuasa melalui sistem ini adalah kerajaan pilihan rakyat. Kerana itulah kita perlu menganggap tugas kita dalam proses demokrasi bersempena PRU ke-14 nanti sebagai satu tugas yang penting yang bakal melakarkan nasib dan masa depan rakyat dan negara.

Benar segala ketempangan dan kepincangan yang ada dalam kerajaan yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan negara pada hari ini perlu disiasat, didakwa, dikikis dan diperbetulkan. Sistem pemerintahan yang lebih telus, bersih dan beramanah perlu dibina dengan menolak segala kemungkaran yang lampau.

Namun selain dari memusnahkan jahiliyah yang lampau dan menegakkan keadilan yang baru, adalah turut penting untuk memastikan bahawa Islam yang merupakan agama yang dianuti majoriti rakyat dalam negara ini juga dibela dan diperjuangkan.

Selama berdekad sebelum ini kita meminggirkan Islam atau sekadar memberi ruang sempit buatnya. Maka wajar dan sampailah masanya kita umat Islam kembali meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya iaitu sebagai teras dalam sistem pemerintahan negara.

Kita bukan membina sistem Taliban, iaitu merujuk kepada kerajaan Afghanistan 1996-2001, yang berkuasa melalui rampasan kuasa dan bukannya kaedah demokrasi. Istilah “Taliban” ini popular sebagai istilah untuk menakut-nakutkan masyrakat khasnya masyarakat bukan Islam berkenaan perjuangan Islam walaupun dalam kerangka demokrasi.

Perlembagaan Malaysia sendiri sebenarnya memberi ruang kepada Islam untuk diketengahkan kepada masyarakat Malaysia. Islam dijamin sebagai agama persekutuan dan selain itu perlembagaan juga menjamin hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara bebas.

Sampai masanya kita membawa keadilan Islam untuk dirasai oleh masyarakat termasuk bukan Islam di Malaysia demi menyelamatkan negara yang telah teruk diperlakukan oleh sistem pemerintahan yang mungkar sebelum ini. Kita membawa Islam melalui kaedah demokrasi berparlimen. Kita menawarkan ia untuk dipilih rakyat yang ternyata pastinya akan menjanjikan masa depan yang cerah buat rakyat dan negara.

Ia hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua rakyat khasnya yang beragama Islam bersama insaf dan berganding bahu, berpakat dan bersatu hati menegakkannya.

Kita tidak mahu dalam keghairahan menolak ketempangan dan kepincangan yang ada, maka kita memberikan kuasa kepada sebuah kerajaan yang lebih meminggirkan Islam. Yang memberikan tafsiran yang liberal dan sekular kepada Islam sehingga mengikis jati diri Islam dan merubah segala status quo yang ada kononnya atas nama kebebasan dan keadilan.

Umat Islam jangan sekali-kali leka dan tertipu.

Lantas bangkitlah dan kembalikan maruah dan mempertahankan harga diri kita. Pertegaskan dengan penuh insaf dan komitmen bahawa kita tidak rela dikuasai oleh mereka yang mungkar dan membelakangkan kebajikan rakyat. Mereka yang lama mahupun yang sedia ada apatah lagi yang baru, siapa sahaja yang sedemikian perlulah ditolak.

Kita mahu keturunan dan anak bangsa kita kembali bermaruah, disegani dan dihormati dan kita sedar bahawa untuk itu tiada cara lain selain kita kembali mendaulat dan memartabatkan Islam. Mari kita bersama menafikan segala propoganda “Islamfobia” yang jahat yang mahu memomokkan Islam di mata rakyat, sedang sebenar dan sesungguhnya dalam keadaan kemelut kita pada hari ini Islam lah satu-satunya formula penyelesaian.

Bertekadlah bersama membangun bersama Islam melalui proses demokrasi dalam PRU ke-14 nanti.{/mprestriction}

- Advertisement -