Secebis ilmu untuk anak Rohingya

- Advertisement -

PELAWAAN menjadi salah seorang peserta sukarelawan PASRelief Malaysia pada 12 hingga 17 November lalu, seakan mimpi buat penulis. Namun inilah antara anugerah Allah  yang terindah dalam hidup ini.

- Advertisement -

Memang penulis akui untuk meninggalkan keluarga tersayang, kampung halaman dan komitmen tugas di tanah air di samping pelbagai cabaran lain bukanlah suatu  pengorbanan kecil untuk dilakukan. Namun penulis reda dan pasrah serta berazam untuk melaluinya  dengan tabah demi menjadi sebahagian daripada sukarelawan misi kali ini.

Keazaman  tinggi terbit untuk menyaksikan sendiri penderitaan etnik Muslim Rohingya di kem pelarian di bumi Bangladesh.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Jujur penulis katakan, mendengar dan menghayati cerita melalui pembacaan tidak sama dengan kita menyaksikan sendiri penderitaan yang mereka alami di bumi Bangladesh

Antara peristiwa yang sangat meruntun hati penulis dan tidak dapat menahan sebak apabila mendaki bukit demi bukit serta menuruni bukit bukau untuk sampai ke salah satu masjid dan sekolah yang telah dibina oleh PASRelief Malaysia di penempatan kem penempatan Bhalukali ,iaitu antara penempatan kem pelarian yang tertinggi di Bangladesh.

Walaupun tempat mereka belajar sangat dhaif dan jauh daripada kemudahan prasarana yang selesa namun mereka gigih menuntut ilmu dan turut mahu beribadah.

Selaku Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), pengalaman ini sangat menginsafkan penulis agar terus mensyukuri segala apa yang kita miliki di bumi Malaysia ini.

Sesampainya di sekolah yang kami lawati, kami agihkan pakaian baharu dan sumbangan kewangan bagi menampung gaji guru di sini. Di luar bangunan, ada yang mengintai dengan mata jernih penuh pengharapan agar diberi peluang bersekolah juga.

 Namun, ruang bangunan yang terhad dan  kekurangan guru membataskan cita-cita dan impian murni mereka. Jauh di sudut hati, penulis doakan agar anak-anak di kem pelarian ini dapat merasai peluang  menduduki alam persekolahan suatu hari nanti.

Antara peristiwa yang tidak dapat  dilupakan apabila menerima kuntuman jambangan mawar ketika delegasi kami sampai untuk melawat sebuah masjid yang didirikan oleh PASRelief Malaysia.

Ketibaan kami disambut dengan pemberian kuntuman mawar yang dihias indah oleh penyambut tetamu yang berbaris panjang hingga ke pintu gerbang masjid yang telah didirikan.

Agak mengharukan, sempat lagi mereka menggantung belon berwarna-warni untuk menyambut ketibaan kami. Rasa sebak dan sungguh terharu. Dalam mereka tidak miliki apa-apa, masih juga mereka ingin menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat kami.

Sekalung penghargaan terhadap Pengarah PASRelief Malaysia, Muhammad Sanusi Mohd Nor atas semangat dedikasi yang tinggi serta seluruh delegasi termasuk PASRelief Terengganu dan sukarelawan dari Turki Dan Abu Dhabi.

Moga segala pengalaman sepanjang berada di bumi Bangladesh menjadi kenangan indah dalam hidup ini.

Juga kepada kepada Zarani Othman, Zuraida Mohd Nor dan Azizah Mahmood dari Terengganu Darul Iman. Kenangan bermusafir bersama sepanjang enam hari di bumi Bangladesh tetap terpahat indah di ingatan.

-Penulis merupakan Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) dan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

MalaRoy 2

MalaRoy 3

MalaRoy 4

{/mprestriction}

- Advertisement -