Cacing keluar dari muka?

- Advertisement -

RAMAI juga yang kongsi video pendek cacing keluar dari muka seorang wanita. Semua terkejut bagaimana cacing tersebut boleh keluar. Ini salah satu lagi siri doktor terkejut dengan kaedah rawatan bomoh. Memang terkejut kerana kejadian para normal ini tidak pernah dicatat dalam mana-mana kitab perubatan.

- Advertisement -

dr suhazeliSetelah diselidiki, cacing tersebut bukan dari dalam kulit wanita berkenaan. Tetapi beliau dilumurkan terlebih dahulu dengan lipas. Dalam perut lipas berkenaan mengandungi anak cacing kerawit. Sebahagian terlekat di kulit beliau, kemudian dikutip semula oleh bomoh yang merawat.

Cacing boleh memasuki badan manusia dengan pelbagai cara. Menurut ilmu parasitologi, manusia boleh dijangkiti parasit cacing melalui;

1) Memakan makanan sama ada sayuran, buah-buahan, daging yang tidak bersih. Makanan berkenaan sudah dicemari oleh larva cacing. Serangga tertentu seperti lipas, cengkerik dan lalat juga boleh menjadi perumah kepada parasit ini.

2) Saluran pernafasan; apabila peluk cium binatang yang sudah dicemari. Kain baju atau persekitaran yang telah dicemari juga boleh mengandungi telur cacing dan disebarkan melalui udara.

3) Melalui tapak kaki atau kulit kita yang bersentuhan secara terus dengan larva atau telur cacing.[1]

Majoriti jangkitan cacing adalah melalui mulut dan cacing dewasa akan berada dalam usus sebelum dikeluarkan bersama najis. Terlalu jarang cacing keluar melalui kulit sama ada kulit perut ataupun muka. Hatta terdapat sejenis cacing yang merayap di bawah kulit pun tidak keluar melalui kulit.[2]

Tanda-tanda seseorang itu dijangkiti cacing adalah seperti berikut:

1) Gatal disekitar dubur sehingga boleh mengganggu tidur.

2) Kurang aktif, tidak bermaya dan tiada selera makan. Bagi kanak-kanak, tumbesaran boleh terbantut.

3) Sakit perut, berak cair (kadang-kadang keluar cacing)

4) Demam dan batuk biasanya di sebelah malam.

Penjagaan kesihatan dan kebersihan adalah kunci utama pencegahan bagi mengelakkan jangkitan cacing ini. Pastikan anda senantiasa bersihkan rumah, tukar cadar dan pengudaraan bilik. Nasihatkan anak-anak agar bersihkan badan sebaik sahaja keluar bermain di padang, pendekkan kuku, membasuh tangan sebaiknya sebelum dan selepas makan atau ke tandas. Penjagaan haiwan kesayangan seperti kucing juga penting. Elakkan memeluk dan mencium keterlaluan. Masak dan didihkan air minuman supaya membunuh larva atau telur caicng jika ada. Teliti dalam pemilihan kedai jika makan diluar, kebersihan tukang masak amat perlu bagi mengelakkan perkara yang tidak dikehendaki. Bukan sahaja jangkitan cacing tetapi jangkitan kuman yang lain. Memakai alas kaki ketika keluar rumah.

Sekian panduan kesihatan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli
8.12.2017
Kuala Berang

p/s – Jangan jumpa bomoh yang guna lipas sebagai rawatannya.

Pautan
[1] Jangkitan cacing. https://www.organicnutrition.co.uk/articles/parasitic-worms-symptoms-causes.htm
[2] Cutaneous Larva Migrans. https://emedicine.medscape.com/article/1108784-overview#a4

- Advertisement -