Dari Hudaibiyah menuju al-Quds

- Advertisement -
Pengiktirafan musuh kepada Islam
 
Perjanjian Hudaibiah termetrai pada tahun ke-6 hijrah menjadi titik mula Islam sebagai kerajaan rasmi yang diakui oleh musuh. Walaupun pada awalnya mendapat bantahan daripada Kibar Sahabah, namun keyakinan mereka terhadap janji Allah dan Rasul menjadi pemangkin utama kejayaan ini.
 
Dr. Munir Ghadban di dalam Manhaj Haraki menyebutkan “Pihak Quraisy membuka lembaran baru terhadap umat Islam dan mengiktiraf kewujudan umat Islam dan negaranya, memimpin dengan keamanan antara keduanya. Bahkan membuka ruang perbincangan bersama pemimpin Makkah yang memiliki kekuasaan, Inilah kemenangan yang besar tanpa ragu-ragu lagi”
 
Menggempur pangkalan Yahudi
 
Selepas kebijaksanaan Baginda mengurus proksi yang melawan Islam, perang Khaibar pula menjadi cetusan keberanian Nabi membedil pengkalan Yahudi di Syam yang menjadi dalang kepada peperangan Ahzab sebelum ini. Kejayaan ini semakin membuka mata penduduk Makkah bahawa giliran mereka akan tiba. Takdir Allah, berlaku pengkhianatan qabilah Bani Bakar terhadap Bani Khuzaah yang mendapat suaka daripada Negara Islam.
 
Allah menganugerahkan ghanimah
 
وَمَغَانِمَ كَثِيرَةً يَأْخُذُونَهَا ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا *
“Dan juga dengan banyak harta rampasan perang, yang mereka akan dapat mengambilnya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
 
 وَعَدَكُمُ اللَّهُ مَغَانِمَ كَثِيرَةً تَأْخُذُونَهَا فَعَجَّلَ لَكُمْ هَٰذِهِ وَكَفَّ أَيْدِيَ النَّاسِ عَنْكُمْ وَلِتَكُونَ آيَةً لِلْمُؤْمِنِينَ وَيَهْدِيَكُمْ صِرَاطًا مُسْتَقِيمً
Sebagai memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah, Tuhan menujukan firmannya kepada mereka):
“Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Ia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Ia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janji-Nya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus.”
[al-Fath 19 – 20]
 
Tidak berapa lama selepas termetrai perjanjian Hudaibiah, Nabi S.A.W mengetuai para sahabat untuk menyerang Yahudi Khaibar selepas memerangi proksi mereka daripada Bani Quraizah dan Gathfan. Berkat kesabaran mereka dalam kepayahan mengikuti perjanjian tersebut, akhirnya Allah memberi berita gembira. Umat Islam Berjaya menumpaskan Yahudi Khaibar dan memperolehi harta ghanimah yang banyak. Yang lebih menggembirakan,  kesemua 1,400 orang sahabat yang terlibat di dalam Hudaibiah sahaja yang layak menerima ghanimah. Walhal kesemuanya berperang hanya kerana Allah dan Rasul. Inilah kemanisan dalam mentaati Islam.
 
Serangan Baginda S.A.W terhadap Yahudi Khaibar juga menjadi pengajaran bahawa Islam tidak boleh tunduk kepada musuh, bahkan tidak sesekali berpakat dengan musuh. Islam ditegakkan dengan jati diri sendiri, bukan menumpang mahupun bertenggek kepada mana-mana kuasa. Keberanian Islam melawan hanya apabila kita tidak berhutang budi kepada sesiapa.
 
Ghanimah yang tertangguh
 
Kemenangan di Khaibar memulihkan kembali motivasi umat Islam, kemudian Allah memberi lagi satu khabar gembira buat mereka iaitu Fathu Makkah. Firman Allah taala :
 
وَأُخْرَىٰ لَمْ تَقْدِرُوا عَلَيْهَا قَدْ أَحَاطَ اللَّهُ بِهَا ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرًا
“Dan ada lagi harta rampasan lain yang kamu belum dapat menguasainya, (tetapi) Allah telah memelihara harta itu dengan kekuasaanNya (untuk kamu mendapatnya); dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
[al-Fath: 21]
 
Perjanjian yang diemetrai selama 10 tahun antara keduanya nyata tidak bertahan lama. Sekutu Musyrikin Makkah iaitu Bani Khuza`ah telah mengkhianati sekutu Islam qabilah Bani Bakar menyebabkan terbatalnya perjanjian ini. Nyata mimpi Baginda S.A.W memasuki Makkah menjadi kenyataan pada tahun 8 hijrah. 
 
Syed Qutb ketika menerangkan ayat ini menyebutkan : “Apakah yang dimaksudkannya adalah Fathu Makkah? ataupun pembukaan Khaibar? atau pembukaan dua kuasa besar dunia Parsi dan Qaisar? atau ia merupakan mana-mana pembukaan dalam lipatan sejarah umat Islam? Pendapat yang paling bertepatan dengan ayat ini adalah Fathu Makkah. Hudaibiah menjadi sebab pembukaan Makkah yang berlaku tidak sampai 2 tahun pun, lalu dikhianati oleh Musyrikin, Allah membuka jalan kota Mekah untuk umat Islam tanpa pertumpahan darah”.
 
Kemenangan yang tertangguh ini di atas keyakinan umat Islam akan janji Allah dan Rasul, juga disebabkan kesungguhan dan kesabaran mereka menjaga agama Allah.
 
Ada juga riwayat yang menyebutkan ghanimah yang tertangguh ini adalah Pembukaan Kota Rom dan Parsi pada zaman Umar Al Khattab yang telah dipelihara oleh Allah Ta`ala akan menjadi milik umat Islam.
 
Kota Al Quds dibuka
 
Allah mentakdirkan Palestin yang menjadi bumi persinggahan para Anbiya’ tidak berjaya menjadi milik umat Islam pada zaman Nabi S.A.W. Usaha melawan Rom bersambung dalam beberapa siri peperangan termasuk Mu`tah dan Tabuk. 
 
Begitu juga pada zaman Abu Bakar, ianya hanya berjaya ditawan ketika zaman Umar Al Khattab selepas menumpaskan Empayar Rom Byzantine dalam peperangan Yarmuk melalui panglimanya iaitu Abu Ubaidah Amir Al Jarrah. 
 
Serangan ke bumi Al Quds dimulakan dengan membaca ayat 21 surah Al Maidah :
 
يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ
 
Secara rasmi kunci Kota Baitul Maqdis diserahkan kepada Umar Al Khattab oleh Ketua Paderi Safraneus pada tanggal 17H bersamaan 638M secara aman lalu dimetrai perjanjian yang terkenal dan bersejarah yang dikenali dengan “ Al `Ahdatul Umariah “.
 
Pasang surut perjuangan
 
Umat Islam tidak dapat lari daripada ujian Allah, termasuklah diuji dengan kelemahan dan kekalahan dalam peperangan. Era Abbasiah pada kurun keempat menyaksikan kebangkitan semula Kaisar Rom (Crusade) dan bermulanya siri peperangan Salib. Kota Al Quds dan Palestin kembali jatuh ke tangan musuh  pada tahun 492H bersamaan 1099M.
 
Pembela semula Kota Al Quds
 
Salahuddin Al Ayyubi yang berketurunan Kurdi melalui Kerajaan Al Ayyubi pada tanggal 27 Rejab 583h berjaya mendapatkan kembali Al Quds menjadi milik umat Islam. Sejarah membuktikan bahawa umat Islam mampu bangkit untuk melawan musuh apabila meletakkan keyakinan pada agama dan berpegang dengan sepenuhnya.
 
Bukan sahaja Al Ayyubi, bahkan Saifuddin Qutuz juga turut berperanan membela kembali maruah Islam.  Kini tali perjuangan itu telah disambut oleh Gerakan Islam Moden dan tokoh-tokohnya, ada yang telah bertemu tuhannya dan masih ada yang masih menanti. 
 
Kini Al Quds seiring Kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tanggal 3 Mac 1924 kembali ke tangan musuh. Kesungguhan musuh untuk mendapatkan Al Quds bukannya usaha yang biasa-biasa, bahkan perancangan yang amat teliti. Perjanjian Sykes Picot 1916, Deklarasi Balfour 1917 dan usaha semasa untuk memastikan Kota Al Quds menjadi milik mereka. 1948 secara rasmi Negara haram Israel diisytiharkan. Kini pengisytiharan Presiden Amerika Donald Trump bahawa Al Quds menjadi ibu kota milik Israel yang telah dirancang sejak 1995 lagi.
 
Mempertahankan Al Quds bererti mempertahankan maruah Islam. Ia bukan sekadar qiblat pertama umat Islam, bahkan ia merupakan lambang penguasaan dunia.
 
Janji Nabi itu pasti
 
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
“Akan sentiasa ada sekumpulan umatku yang sentiasa menzahirkan kebenaran, tidak takut celaan orang yang mencela.”
 
Dan ditegaskan lagi bahawa golongan itu ialah penduduk Palestin dan yang berada disekelilingnya. 
 
Teruskan menyokong dan mendokong kedaulatan bumi Al Quds, namun usah terhenti setakat berdemonstrasi tanpa kita memahami tuntutan utama daripada peristiwa yang berlaku. Fahami isu yang diperjuangkan, menjadikan perjuangan itu mendasar.
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 7/12/2017
- Advertisement -