Kami bantah keras Jerusalem ibu negara Israel

MAzmiAH
- Advertisement -

KAMI membantah keras sebarang langkah pihak AS mahupun Israel untuk mengistiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.

- Advertisement -

Tindakan yang ura-ura akan diisytihar oleh Presiden AS, Donald Trump, bakal meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat yang kini terus bergolak.

Laporan terkini, Trump telah menghubungi pemimpin Palestin Mahmoud Abbas bahawa AS akan memindahkan kedutaaan AS ke Jeruselem, adalah suatu proses ke arah mengisytiharkan ketetapan tersebut.

Jurucakap Rumah Putih, Hogan Gidley, telah mengesahkan Trump akan mengisytihar pemindahan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jeruselem.

Perlu diingat Baitul Maqdis telah melalui 50 tahun proses pengyahudian. Kini buat kali pertama Yahudi memasuki Kubah Sakhrah. Polis Israel telah menangkap 4 orang pengawal Masjid al-Aqsa dan juga peguam Syeikh Raed Salah.

Umat Islam akan bangkit menentang langkah itu kerana ia adalah antara isu utama yang dipertahankan oleh seluruh rakyat Palestin dan umat Islam. Bahawa tidak ada kompromi dalam hal Baitul Maqdis sebagai hak umat Islam Palestin.

Mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu negara Israel berimplikasi bahawa Masjid al-Aqsa akan berada dibawah penguasaan Israel sepenuhnya.

Umat Islam Palestin dan di seluruh dunia  sama sekali tidak akan menerima keputusan ini.

Isu Baitul Maqdis sudah lama menjadi isu paling sensitif kepada umat Islam. Walaupun Israel mengisytihar telah menguasai Jerusalem Timur pada 1967, ia tetap akan diperjuangkan oleh rakyat Palestin untuk membebaskannya dari pencerobohan Yahudi Zionis.

Presiden Perancis  Emmanuel Macron sendiri menyatakan pendirian kepada Trump mengenai status Jerusalem perlu dibincangkan dalam perundingan antara Israel dan Palestin.

Kini Liga Arab dilaporkan telah mengadakan perbincangan khas Selasa kelmarin mengenai isu ini.

Ugutan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, bahawa kepimpinan Palestin akan memutuskan perhubungan dengan AS menunjukkan isu ini pasti akan berpanjangan.

AS jelas menjadi alat Israel untuk mencapai cita-citanya menguasai Masjid al-Aqsa.

Sehingga kini tidak ada sebarang kedutaan di Jeruselem kerana komuniti antarabangsa tidak mengiktiraf kuasa Israel ke atas kota tersebut.

Kongres AS pernah meluluskan undang-undang pada 1995 untuk memindahkan kedutaan selewatnya pada 1999 namun Presiden diberi kuasa melengahkan pemindahan itu setiap enam bulan berdasarkan keselamatan nasional.

Kami kesal beberapa negara Arab kini telah bersekongkol dengan AS dan Israel. Dalam hal ini sehingga kini tiada bantahan dari beberapa negara Arab Teluk terutama Arab Saudi dan UAE berkaitan dengan langkah AS ingin memindahkan kedutaaannya ke Jerusalem.

Majlis Keselamatan PBB dalam resolusi 478 pada tahun 1980 telah menetapkan semua misi diplomat yang ada di Jerusalem keluar dari kota suci itu. Ini bermakna ketetapan antarabangsa itu melarang sebarang pembukaan kedutaan negara di Jerusalem.

Kami dengan ini menyeru:

1.Kerajaan Malaysia segera menyatakan bantahan keras kepada kerajaan AS ke atas usaha memindah kedutaannya ke Jeruselem dan sekaligus mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu negara Israel.

2.Negara-negara anggota OIC mengutuk dan membantah keras tindakan Presiden AS, Donald Trump, akan mengisytihar Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

3.Kerajaan Malaysia mengesa OIC mengadakan persidangan tergempar untuk membincangkan tindakan provokatif AS dan Israel tersebut.

4.Semua negara Islam dan negara berdaulat yang lain bersatu menentang sebarang percubaan memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Jerusalem.

5.Seluruh ulama dan organisasi Islam di seluruh dunia membangkitkan kesedaran rakyat di negara masing-masing demi menentang rancangan AS dan Zionis Yahudi menguasai Jerusalem dan Masjid al-Aqsa.

6.PBB mengguatkuasakan Resolusi 478 dan resolusi-resolusi lain yang berkaitan untuk menyekat pencerobohan Israel ke atas Jerusalem.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden MAPIM
17 Rabiul Awal 1439 / 6 hb Disember 2017. – HARAKAHDAILY 6/12/2017

- Advertisement -