Hegemoni Saudi, reaksi Iran dan gerakan Islam yang dimangsakan

- Advertisement -

JIKA kita mengamati beberapa isu yang berlaku di Asia Barat, pasti kita akan bertemu dengan peranan Saudi. Mereka begitu rancak mencatur politik dalaman negara arab lain. Kita juga akan menjumpai reaksi Iran dalam menyekang hegemoni Saudi. Tetapi yang menyedihkan, pasti gerakan Islam yang akan dipersalahkan.

- Advertisement -

SYRIA

Di Syria, banyak sumber-sumber yang mendedahkan penglibatan Saudi mendanai gerakan anti-Asad seperti Jabhat Nusra dan juga IS. Hilary Clinton pernah menyatakan secara terbuka di kongres tentang penglibatan Amerika dalam mendanai IS. Tetapi apabila emel beliau dibongkar sewaktu pilihanraya presiden Amerika, mereka sebenarnya menggunakan bukan sahaja Saudi, bahkan juga Qatar. Bukan itu sahaja, banyak lagi sumber yang menunjukkan perkara serupa.

Syria merupakan rakan strategik Iran, Lubnan dan Hamas. Sejak revolusi 1979, Iran yang sebelum ini menjadi proksi Amerika di Asia Barat di bawah Reza Pahlavi, kini berpaling menjadi penentang kuat barat. Selepas menutup kedutaan Israel dan mengusir diplomatnya, Iran membangunkan teknologi perang dan ketenteraan. Ia kemudian menyalurkan bantuan kepada Hamas dan Jihad Islami bagi menentang Israel melalui Syria dan Lubnan.

Tetapi Saudi bijak mengeksploitasi keadaan. Kononnya sokongan dana yang diberikan adalah bertujuan untuk memerangi syiah yang menjadi ancaman kepada dunia sunni. Syiah dikambinghitamkan.

LUBNAN

Beberapa hari selepas Perdana Menteri Lubnan di tahan di Saudi, tiba-tiba beliau muncul dengan meletak jawatan. Ramai percaya Saudi telah berjaya mengugut beliau, sebagai tekanan terhadap Hizbullah yang kini semakin berpengaruh di negara terbabit.

Lubnan (Hizbullah) merupakan negara seteru utama Israel yang paling dekat. Siri perang demi perang antara Hizbullah dan Israel, menatijahkan kekalahan demi kekalahan buat Israel. Pengunduran Amerika daripada Syria, adalah kemenangan buat Rusia-Iran. Bonus buat Hizbullah, ancaman buat Israel.

Namun, alasan yang sama, sentimen syiah dimainkan. Hariri meletakkan jawatan dengan pertuduhan Iran mencampuri urusan pentadbiran Lubnan. Saudi kemudian berikrar akan membela Hariri, dengan mengancam Iran dengan ugutan serangan ketenteraan.

MESIR

Bom masjid di Semenanjung Sinai. Ratusan terkorban. Sebenarnya ia adalah satu bentuk tekanan kepada kerajaan Sisi yang tidak bersetuju untuk bersama Saudi memerangi Iran. Walaupun Sisi antara yang menandatangani kerjasama tentera bersekutu memerangi keganasan, mereka menolak untuk turut serta dalam misi serangan ke atas Iran.

Juga ada faktor yang berkait dengan ‘perjanjian abad ini’ (Deal of The Century) antara Mesir-Israel-Jordan yang mana Saudi sebagai orang tengah. Mengikut perjanjian itu, Sinai akan dijadikan wilayah Palestin, bagi memindahkan penduduk Gaza ke sana, supaya kependudukan muslim di kawasan yang dituntut Israel berkurangan dan akan membantu kepada penyelesaian dua negara (two state solution) yang mereka idam-idamkan.

Namun, isu yang bermain di media adalah angkara Ikhwan Muslimin. Syed Qutb dijadikan kambing hitam konon mengajar fikrah ekstrim mengebom masjid. Ulama azhar (sebahagian) diperkudakan bagi menghalalkan tuduhan terhadap IM.

YAMAN

Pembunuhan bekas Presiden Pertama Republik Yaman (Utara dan Selatan), Ali Abdullah Saleh ada kaitan dengan Saudi. Beliau yang sebelum ini digulingkan pada Arab Spring 2012 oleh rakyat, termasuk Houthi, selepas itu berkomplot pula dengan musuhnya sendiri iaitu Houthi bagi mengguling Presiden seterusnya Rabuh Mansur Hadi. Tetapi di belakang tabir, beliau berkomplot pula dengan Saudi untuk mengekang Houthi dari membina kekuatan mutlak di Yaman, menyebabkan beliau akhirnya dibunuh.

Saudi memainkan peranan begitu lama di Yaman dalam memastikan perang saudara yang tidak berkesudahan. Terbaru, merekalah yang menyalakan sumbu kebangkitan Arab Spring dengan mendanai Houthi dan juga al-Qaeda bagi menyemarak api revolusi. Selepas Houthi berjaya menguasai Sanaa, Saudi mengisytiharkan serangan ke atas Yaman pula bagi menangani teroris yang mereka cipta sendiri, Houthi. Houthi mengalih kiblat daripada Saudi kepada Iran.

Selain sentimen sunni syiah ditimbulkan sebagai faktor pembunuhan, timbul juga tuduhan bahawa Ikhwan Muslimin dalang kepada pembunuhan dengan mendanai gerakan Ansarullah Houthi. Ironinya, Ali Saleh yang berkomplot dengan Saudi juga Syiah! Houthi yang sebelum ini berkomplot pernah berkomplot dengan Saudi, juga Syiah!

QATAR

Saudi memutuskan hubungan dengan Qatar. Semua urusan dibekukan. Semua jalan disekat baik darat, udara dan juga laut. Sehinggakan syarikat penerbangan Qatar menunaikan Umrah juga dihalang. Bekalan makanan Qatar yang bergantung 60% kepada eksport Saudi terputus.

Mengikut fakta sebenar, ia tidak lebih kepada persaingan pengaruh antara Saudi dan Qatar di dalam dunia arab. Saudi cuba mencantas Qatar yang semakin agresif mengukuhkan tapak di kalangan negara arab, dan semakin mendapat tempat di barat. Al-Jazeera menjadi modal besar Qatar memainkan propaganda ke atas Saudi dan mengukuhkan soft-power Qatar.

Tetapi, isu yang dijadikan camouflage adalah kerana Qatar menyokong teroris. Teroris yang dimaksudkan adalah Ikhwanul Muslimin dan Hamas. Ulama dan graduan Saudi dipergunakan bagi mengharamkan Hamas dan IM secara syarie. Sekali lagi, gerakan Islam dikambinghitamkan.

BIG PICTURE

Gambaran kasarnya, berlaku perebutan kuasa yang begitu dahsyat antara politikus-politikus arab. Masing-masing dengan kepentingan tersendiri. Masing-masing didanai kuasa besar yang sengaja mahu melihat arab bertelagah. Dan Abang Long bagi semua konco-konco Amerika adalah, Saudi. Secara lebih spesifik, peranan itu dikelolakan oleh Muhammad bin Salman.

Tetapi propaganda yang dimainkan untuk mengelabui persepsi awam berorientasikan dua sentimen; kempen anti-gerakan Islam dan anti-Syiah. Yang berhati tisu (sensitif) dan berakal pendek (simplistik) mudah dieksploitasi dengan gambar-gambar, video-video dan juga tulisan konspirasi. Yang bernafsu haloba pula mudah diumpan dengan 3 ta (harta, takhta dan wanita) sehinggakan sanggup menjadi kuda musuh Islam, ditunggang bagi tujuan memporak perandakan umat.

PAS DAN AGENDA ZIONIS

Bahang perang antara tentera arab pimpinan Saudi dan Iran semakin kuat dirasai. Umat Islam kini menjadi buntu. Tidak tahu mana harus disokong. Nak sokong Iran, mereka syiah yang telah dikafirkan. Nak sokong Saudi, Israel pula dibelakang. Nak berkecuali pun, iman belum kuat untuk makan akar kayu sahaja.

Sewaktu perang teluk pertama antara Iran dan Iraq, barat sokong Iraq. Sebahagian dunia Islam ikut fatwa Amerika sokong Iraq juga, atas dasar lawan syiah. Tetapi PAS menyokong Iran sehingga dituduh syiah. PAS tidak peduli kerana PAS faham mainan politik antarabangsa. PAS sokong Iran kerana menentang agenda Amerika-Zionis.

Akhirnya perang teluk kedua, Iraq serang Kuwait pula. Sunni serang sunni. Barat sokong Kuwait. Dunia Islam terlopong, jadi buntu nak sokong mana satu. Dua-dua sunni. PAS terbuka sokong Iraq, kerana PAS konsisten menentang agenda Amerika-Zionis.

Pendirian PAS bukan atas agenda kuasa semata-mata. Kerana PAS tidak mendapat apa-apa keuntungan dari segi politik. Baka imej PAS tercalar apabila dituduh pro-syiah di peringkat Malaysia. Tetapi PAS teguh dengan fikrah perjuangan yang dipegang. PAS berpaksikan kepada Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. [Al-Ma’idah:51]

Agak-agak hari ini, beranikah kita menyokong Iran jika tentera bersekutu Saudi yang didalangi zionis menyerang? – HARAKAHDAILY 6/12/2017

- Advertisement -