Dilambung Ombak (4)

- Advertisement -

MEREKA tiba di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Borneo hampir di hujung petang. Perjalanan darat memakan masa 4 jam, perjalanan menaiki bot pula mengambil masa dua jam dan perjalanan dengan menggunakan kapal terbang hanya 30 minit dari ibu negeri..

- Advertisement -

Seorang wanita berwajah mirip Cina, tinggi lampai dan cantik penampilannya sedang menunggu.

“Saya, Prigel Agung.”

“Saya, Hamidah.”

“Saya, Katherena.”

Mereka saling memperkenalkan diri dan saling menguntumkan senyuman. Pastinya senyuman itu semuanya manis-manis belaka.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

“Katherena, awak pensyarah di sini ke?” Prigel bertanya untuk memutikkan kemesraan.

“Panggil saya Katty. Saya pegawai pentadbiran.”

“Jika ramai kakitangan kampus ini seperti awak, mahu saja saya bekerja di sini. Sebagai kerani pun, tidak mengapa!” Jenaka orang Semenanjung untuk wanita cantik Borneo.

Katherena hanya tersenyum dan Hamidah menjeling tajam ke arah Prigel.

“Hai… Hamidah! Cemburu ke?”

“Tidak ada faedah cemburukan awak! Huh…”

“Hamidah ini siapa? Isteri tuan ke?”

“Ya! Isteri kedua.”

“Cis! Tidak sudi aku.”

“Hahaha….”

Katherena terpinga-pinga.

“Yang sebenarnya, Hamidah ini siapa?”

“Aku pembantu dia. Kalau dia datang ke sini, akulah mengiringinya.”

“Sudah banyak kalilah Tuan Prigel ke negeri ini?”

“Lima kali termasuk ini.”

“Lima kalilah Hamidah menemani Tuan Prigel?”

“Bukan menemani dia. Tidak sudi aku bertemankan si Prigel ini. Aku cuma pembantu sementara saja.”

“Dia menaruh hati dengan aku. Setiap kali aku ke sini, pasti dia akan menemani aku.”

“Ini arahan majikan aku. Ikutkan aku, lebih baik aku berkerja di pejabat. Sakit hati aku kalau ikut awak ni!

Menaruh hati… Tidak! Dari serahkan hati aku kepada awak… Baik aku serahkan kepada jembalang air!”

“Kikikih… hati yang dimiliki oleh insan yang baik dan cantik diserahkan kepada jembalang air. Jembalang air itu hodoh. Menyesal awak nanti. Baik awak serahkan kepada aku, jejaka tampan dari Semenanjung!”

“Tidak sudi aku! Awak sudah beristeri dan punyai anak!”

“Apa salahnya. Aku boleh beristeri tiga lagi.”

“Huh…” Hamidah mencebik.

Katherena hanya memerhatikan dan mungkin terkejut melihat gelagat mereka berdua.

“Nampaknya kamu berdua sudah kenal lama dan mesra.”

“Kau nampak Midah, orang lain pun tahu awak mesra dengan aku.”

“Mana ada mesra. Kami bertengkar ni!”

“Memang kamu berdua bertengkar tetapi itulah tandanya hubungan kamu sudah rapat dan mesra. Kalau baru berkenalan, tidak mungkin kamu tegar bertengkar sebegini.”

“Katty, kamu betul. Kami bergurau tanda Midah sayang dan mesra dengan aku. Kikiki…”

“Huh…” Hamidah mencebik lagi.

“Mari saya tunjukkan bilik tuan dan puan. Kamu berdua tentunya kepenatan dan perlu berehat.” Katherena mempersilakan kedua tetamu itu ke dalam bangunan.

“Bukankah kami sebilik?” Prigel bertanya serius.

“Jangan mengada!” Hamidah segera menyampuk.

“Hahaha…” Terbahak ketawa si Prigel pula.

Katherena memulakan langkah ke dalam bangunan diikuti oleh keduanya sambil mengusung beg. Prigel masih tersenyum dan ketawa kecil. Hamidah pula masam mencuka wajahnya.

‘Itu Kafetaria. Makan malam jam tujuh malam dan sarapan pagi jam tujuh pagi di situ. Bilik Kuliah Melor Merah di bangunan depan saya. Kursus bermula jam 9 pagi, esok.” Katherena menunjukkan dan memberi penerangan ringkas kedudukan lokasi-lokasi berkaitan.

Pregil ditempatkan di sebuah bilik tetamu.

“Besar dan mewah bilik ini.” Prigel bersuara.

“Ini bilik tetamu utama. Mari Hamidah, saya tunjukkan bilik kamu.”

“Saya ikut.”

“Tak payah!” Hamidah membantah.

“Tidak boleh, Tuan Prigel. Hamidah akan ditempatkan di asrama perempuan. Lelaki tidak dibenarkan masuk.”

“Aiseh… Kalau berlaku apa-apa, macam mana saya hendak bantu Hamidah.”

“Jangan risau. Asrama itu ada pegawai keselamatan dan warden.”

“Padan muka!” Hamidah seperti berpuashati.

“Jumpa masa makan malam nanti ye?”

“Huh…”

Selepas solat maghrib, Prigel ke kafetaria. Hidangan bertaraf tetamu istimewa dihidangkan untuk mereka bertiga. Seperti petang tadi, Prigel dan Hamidah asyik bertengkar dan Kathrena sesekali menyampuk.

Jam 8.45 pagi, Prigel telah berada di dalam bilik kuliah.

Pakaiannya kemeja putih, bertali leher merah, berkot dan berseluar hitam. Dia memakai kasut kulit berwarna hitam berkilat.

Jam 9 pagi, Hamidah muncul dengan wajah masam mencuka. Prigel hanya tersenyum dan senyumannya itu membuatkan wajah Hamidah bertambah masam. Jam 9.30 pagi, peserta-peserta kursus muncul seorang demi seorang termasuk Katherena. Jam 10.00 pagi baru semua perserta tiba. Sejam lewat dari jadual!

Prigel memulakan kursus mengenai Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja. Pada mulanya, kelas begitu hambar. Namun beberapa jam kemudian, Prigel berjaya menceriakan kelas dengan seloroh dan gurauannya. Peserta kursus juga semakin semangat untuk berkursus.

Keesokan harinya, semua peserta kursus telah berada di dalam kelas sebelum jam 8.45 pagi.

“Saya gembira tuan-tuan dan puan-puan masuk kelas awal hari ini. Kelmarin hampir hilang semangat saya untuk mengajar kerana kelewatan satu jam memulakan kelas.”

“Selalunya kursus membosankan. Kali ini memang terbaik!” Seorang peserta kursus meluahkan perasaannya sambil mengangkat gengaman tangan kanan dengan ibujarinya tegak berdiri.
Peserta kursus kebanyakkan pensyarah kanan.

“Hari ini kita akan pecahkan kumpulan untuk latihan audit keselamatan di tempat kerja. Satu kumpulan ke bengkel kimpalan, satu kumpulan ke bengkel batu-bata dan satu kumpulan lagi ke bengkel elektrik. Kita buat audit pagi ini sekitar 2 jam, selepas itu sila kembali ke dalam kelas untuk persediaan pembentangan. Selepas makan tengah hari, kita mulakan perbentangan.”

Prigel turut melawat ketiga-tiga bengkel tersebut bersama Katherena dengan menaiki sebuah kereta Honda milik Katherena. Sekembalinya peserta ke dalam kelas, mereka sibuk membuat persediaan untuk pembentangan dan Prigel hanya menyelia persediaan itu sambil bertanya dan menjawab soalan.

Selepas makan tengah hari, pembentangan dimulakan oleh kumpulan yang mengaudit bengkel kimpalan. Setiap bahaya (Hazard) disenaraikan dan dikelaskan mengikut risiko bahayanya.

“Apa bahaya paling tinggi risikonya?” Tanya Prigel.

“Batang besi berselerak dan ini boleh menyebabkan kemalangan maut.” Jawab ketua kumpulan.

“Betul tetapi yang paling tinggi risikonya ialah pemadam api. Kamu perasan tidak, di bengkel kimpalan tiada pemadam api langsung.”

“Yelah…”

“Besi tidak tersusun itu boleh menyebabkan kemalangan maut kepada seorang sahaja tetapi jika kebakaran berlaku dan jika kebakaran itu tidak dapat dipadamkan diperingkat awal lagi… api boleh marak dan menyebabkan kemalangan maut berlaku kepada semua pelajar dan pensyarah di dalam bengkel. Kehilangan harta juga besar.”

Semua peserta kursus terdiam. Kemudian kumpulan mengaudit bengkel batu-bata pula membuat pembentangan pula.

“Apa bahaya paling tinggi risikonya?” Soalan sama ditanya Prigel.

“Batu-bata tidak tersusun boleh menyebabkan kemalangan parah.” Jawab salah seorang pensyarah  dalam kumpulan kedua.

“Betul tetapi bagi saya… papan dan kayu bertimbun dan ada yang telah mereput di belakang bengkel lagi tinggi risikonya.”

“Tiada siapa yang ke belakang bengkel tuan.”

“Betul. Tiada sesiapa akan ke belakang bengkel sebab jalan masuknya jauh. Kayu dan papan berlonggok itu tidak kelihatan jika tidak diperiksa lokasi dengan teliti. Betul?”

“Betul.”

“Kayu dan papan berlonggok itu dan telah mereput merupakan bahan bakar paling baik. Jika ada percikan api atau kepanasan dari matahari, kayu dan papan itu, mudah terbakar. Api sangat mudah marak dan tiada sesiapa yang sedar. Kemalangan maut kepada pelajar dan pensyarah yang berada di dalam bengkel boleh berlaku dan kehilangan harta tidak boleh dielakkan.”

Terdiam pula kumpulan kedua. Kemudian, kumpulan ketiga iaitu kumpulan yang membuat audit bengkel elektrik membuat persembahan.

“Apa bahaya paling tinggi risikonya?” Soalan sama ditanya Prigel lagi.

“A… a… Kami rasa bahaya paling tinggi risikonya ialah lantai bengkel terlalu licin boleh menyebabkan tergelincir dan kemalangan maut atau cedera parah boleh berlaku.” Salah seorang dari pensyarah menjawab ragu-ragu setelah ahli kumpulan lain keberatan menjawab.

“Bagi saya… pendawaian. Kebanyakkan punca kuasa domestik kaki tiga dan suis sangat mendukacitakan. Banyak sudah terkopak dan ada kesan terbakar. Sambungan ke punca kuasa juga sangat menyedihkan. Hanya wayar dicucuk terus ke lubang punca kuasa tanpa mengunakan plug tiga pin. Pendawaian bengkel juga berselirat. Wayar-wayar juga sudah usang dan lusuh. Kebakaran boleh berlaku akibat litar pintas dan kemalangan maut dan kemusnahan harta boleh berlaku!

“Saya tidak faham, kenapa bangunan pentadbiran begitu mewah, kampus ini tersohor namanya tetapi keadaan bengkel amat menyedihkan.”

Semua perserta kursus terdiam apabila Prigel mula menunjukkan rasa geram barannya.

“Tuan, inilah nasib kami. Peruntukkan untuk bengkel dikecilkan saban tahun. Kami sudah bertahun-tahun memohon pemadam api, pendawaian semula bengkel dan banyak lagi alatan tetapi terlalu sukar untuk pihak pengurusan meluluskan peruntukkan. Kami guna apa yang ada untuk meneruskan pengajian.”

“Ada bahaya yang tidak perlukan peruntukkan besar. Contoh, kayu dan papan berlonggok di belakang bengkel batu-bata. Bahaya itu boleh dihapuskan dengan membuangnya ke tempat pelupusan atau bakar sahaja di tempat sesuai. Buat program gotong-royong bersama pelajar dan begitu juga dengan besi yang tidak tersusun dibengkel kimpalan.”

“Maaf tuan, kami pun tidak terfikir kayu dan papan itu merupakan bahaya berisiko tinggi.”

“Kamu sebagai pensyarah kanan kena buat sesuatu supaya kampus ini lebih selamat digunakan oleh pelajar-pelajar dan kamu sendiri. Kamu pasti tidak mahu isteri kamu menjadi janda dan anak-anak kamu menjadi yatim. Buatlah sesuatu!” Bengis nada Prigel. Sudah hilang seloroh dan jenakanya.

“Itu baru tiga bengkel tuan. Jika kita audit bengkel lain… lagi menyedihkan. Ada alatan bertampal jenama terkenal, made in U.S.A tetapi apabila ditanggalkan tampalan itu, jelas tertulis made in China.”

“Kita ada dua mesin pneumatik (angin) kecil dan kami mohon kepada kementerian untuk mendapatkan pemampat udara kecil tetapi mereka hantar pemampat udara yang besar sehingga terpaksa pecahkan dinding bilik kelas sebelah untuk menempatkannya. Pemampat itu tidak dihidupkan semenjak diterima tiga tahun dahulu kerana tiada kakitangan yang mempunyai sijil dan lesen untuk menjaga pemampat besar tersebut.” Rungutan seorang pensyarah kanan dengan nada keras.

Kali ini Prigel pula terdiam.

“Kami pensyarah kanan dari kampus seluruh negara dan dipindahkan ke kampus paling hulu dan paling teruk ini, hanya kerana membantah pihak pengurusan dalam banyak perkara. Jika membantah, inilah nasib kami. Nasib seperti penumpang di dalam perahu kecil di tengah laut ganas bergelora! Pasrah dilambung ombak terumbang-ambing tanpa arah…”

Prigel Agung terus terdiam…{/mprestriction}

- Advertisement -