Tegakkan Islam atas keruntuhan jahiliah

nasrudin2
- Advertisement -

JAHILIYAH kian susut nilai. Ummat yang punya tamadun memahami bahawa budaya dan cara hidup jahiliyah merosakkan peradaban mereka.

- Advertisement -

2. Jahiliyah dirujuk kepada pihak dan zaman yang berada di luar zon hidayah Allah swt. Jahiliyah ini wujud di zaman kuno dan masih belum ada noktah akhirnya di zaman moden ini.

3. Kesan langsung dari pengaruh jahiliyyah ini ialah berleluasanya kemaksiatan sosial, kemungkaran politik, kefasadan ekonomi dan jenayah yang meruntuhkan nilai kemanusiaan.

4. Justeru itu, negara dan rakyat mesti dimerdekakan sepenuhnya dari pengaruh dan cengkaman jahiliyyah moden hari ini. Menuju sebuah peradaban yang rakyatnya sejahtera dan negaranya makmur seperti Allah swt. sebut dalam surah Saba’ ayat 15:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَ رَبٌّ غَفُوْرٌ

Negeri yang baik (sejahtera dan makmur) sementara Tuhan (Allah swt) mengampunkan.

5. Tiada pilihan melainkan kembali kepada Islam serta berusaha untuk menegakkan sistem pentadbiran dan pemerintahan Islam di bumi bertuah ini. Tegakkan Islam di atas runtuhan jahiliyyah. Bukan membina jahiliyyah baru di atas robohan jahiliyyah lama.

6. Penegasan ini sangat penting supaya kita jelas bagaimana perubahan yang mahu kita gerakkan dan pihak mana atau parti mana yang mahu kita sokong dalam pilihan raya untuk mereka menang, lalu menjadi pemimpin dan membentuk kerajaan yang memerintah.

7. Menentang jahiliyyah lama dengan begitu gigih, namun menjebakkan diri dalam usaha untuk menegakkan jahiliyyah yang baru adalah satu tindakan yang tidak mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat. Bazir masa dan merugikan. Ibarat bebas dari mulut buaya, terperangkap pula dalam mulut harimau.

8. Islam adalah penyelesaian kepada kemelut ekonomi, krisis politik dan jerebu sosial yang sedang dialami oleh negara. Malangnya rakyat belum memberi peluang kepada Islam untuk membuktikannya dalam sistem pemerintahan negara kita.

9. Sebahagiannya kelihatan masih selesa bergelumang dengan jahiliyyah moden hari ini. Bukan sahaja mereka tidak mahu memberi peluang kepada Islam, bahkan mereka tidak peduli kesan atau implikasi jahiliyyah yang sedang merosakkan negara dan anak bangsa.

10. Pilihan raya Umum ke-14 ini menjadi peluang terbaik buat rakyat bangkit melakukan perubahan dengan memberi peluang kepada Islam mengurus tadbir negara secara adil dan baik serta memberi hak kepada yang berhak, termasuk memelihara hak dan menjaga kepentingan non-Muslim.

Syeikh Ibrahim al-Laqqani menyebut dalam kitabnya “Jauhara at Tauhid” :

وَوَاجِبٌ نَصْبُ اِمَـامِ عَدْلِ
بِالشَّرْعِ فَاعْلَمْ لاَ بِحُكْمِ الْعَقْلِ

Memilih pemimpin yang adil itu satu kewajiban, kerana itu perintah Allah bukan perintah akal.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
15 Rabiul Awwal 1439 / 4 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 4/12/2017

- Advertisement -