Kemaman bakal luput dari peta ekonomi negara?

- Advertisement -
KEMAMAN: Kerajaan Negeri Terengganu perlu mengambil langkah segera menyelamatkan kilang-kilang industri berasaskan minyak dan gas supaya peluang pekerjaan penduduk tempatan yang bergantung harap mencari rezeki dengannya terjamin.
 
Adun Chukai, Hanafiah Mat menyuarakan gesaan itu ketika mengadakan tinjauannya di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Kawasan Perindustrian Telok Kalong berhampiran Pelabuhan Kemaman, di sini semalam.
 
Menurutnya, keadaan KSB sekarang sudah sangat berbeza berbanding dua dekad lalu di mana kini begitu sepi tanpa aktiviti, sedangkan sebelum ini difahamkan lebih 5,000 pekerja bertugas di situ setiap hari.
 
“Banyak ‘company oil and gas’ yang beroperasi mengurangkan kakitangan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan. Nampaknya hari ini KSB bukan lagi lubuk kepada masyarakat sekitar mencari rezeki,” ujarnya meluah kekesalan.
 
Katanya, tidak mustahil nasib Sungai Lembing yang pernah menjadi kuasa ekonomi satu ketika dahulu bakal berjangkit juga ke Kemaman sekiranya tiada usaha menangani dilaksanakan pihak terbabit.
 
KSB merupakan pangkalan bekalan petroleum terbesar di Semenanjung Malaysia melibatkan operasi semua mengeluar minyak seperti Petronas Carigali, ExxonMobil, Repsol, Sapura E & P, IPC, HESS dan lain-lain, serta lebih 200 syarikat perkhidmatan sokongan di mana turut mempunyai kemudahan di situ. – HARAKAHDAILY 3/12/2017
- Advertisement -