Terharu diberi kepercayaan oleh TG Harun Taib

- Advertisement -

GRADUAN Universiti Al-Azhar, Mesir ini tidak menyangka ketibaannya di tanah air setelah tamat pengajian pada 2002 disambut tokoh yang amat dihormatinya, Ustaz Abdullah Hussin. Ustaz Abdullah yang ketika itu merupakan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Johor, bukan hanya menyambutnya dengan penuh senyuman bahkan menitipkan kata-kata yang cukup menaikkan semangat juangnya.

- Advertisement -

Masih terngiang-ngiang  di telinga Ustaz Khirul Muntanazar Ismail kata-kata Ustaz Abdullah sebelum beliau dan keluarga meninggakan lapangan terbang, “Selepas tiga hari jumpa saya di madrasah ye,”.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Walaupun kata-kata tersebut diungkapkan secara bersahaja, tetapi ia benar-benar meresap ke dalam jiwanya untuk tidak menoktahkan perjuangannya sekembalinya daripada menuntut ilmu.

Demi  sebuah perjuangan jugalah beliau menerima pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Lajnah Keahlian dan Ulamak Muda, Dewan Ulamak PAS Pusat pada 2005, sebuah lajnah yang ditubukan hasil cetusan daripada  Almarhum Tuan Guru  Dato’ Harun Taib yang ketika itu adalah merupakan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

“Saya cukup terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh Almarhum Tuan Guru  Dato’ Harun Taib serta kepimpinan ulama ketika itu walaupun saya masih lagi baharu.

“Alhamdulillah dengan izin Allah serta sokongan yang padu dari semua sahabat seperjuangan, lajnah yang telah dikenali sekarang ini sebagai Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis semakin terus berkembang bagi menyediakan pelapis-pelapis  ulama pada masa yang akan datang,”ujarnya kepada Harakah.

Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat ini juga tidak dapat melupakan kenangan yang cukup bermakna buat seluruh ahli PAS khususnya di negeri Johor apabila  Ustaz Abdullah yang mewakili PAS bagi Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa diumumkan memenangi kerusi Dun tersebut pada Pilihan Raya Umum ke 13. Ketika itu beliau merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tebrau.

Kemenangan tersebut baginya bukan hanya sekadar ‘percubaan’ untuk melihat sokongan masyarakat terhadap PAS tetapi cukup membuktikan PAS sebenarnya sebuah parti yang melangkaui sempadan agama dan bangsa.

Menyelusuri latar belakang Yang Dipertua PAS Kawasan Tebrau dan Ketua Cawangan Taman Kota Masai (1)ini, beliau yang dilahirkan pada  11 Febuari 1973 di Gelang Patah, Johor merupakan putera sulung daripada lima orang adik beradik kepada pasangan Allahyarham Ismail Shareat dan Kasminah Bugal.

Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Ladang Sungai Pendas, Gelang Patah, Johor Bahru, Johor, sehingga darjah lima dan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Gelang Patah Johor Bahru, Johor, sehingga darjah enam.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian menengah di  Sekolah Arab Tampok, Benut, Pontian Johor dan Maahad Johor, Johor Bahru, Johor. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di
Universiti Al-Azhar, Mesir.

Bertemu jodoh dengan Ustazah Siti Surayah Sahid, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata. Puteri sulungnya, Nurul Fatihah, 18, merupakan pelajar  Madrasah al-Attas, Ulu Tiram Johor, manakala Nukman, 16, merupaka pelajar Madrasah Tahfiz at-Tanwiriah, Parit Jawa, Muar, Johor. Anaknya yang bongsu, Sumaiyah, 12, pula belajar di Sek Ren Islam Attahfiz, Pasir Gudang, Johor.

Bertugas sebagai Guru Besar di Sekolah Rendah Islam Attahfiz, Pasir Gudang, Johor, beliau tidak menghadapi masalah dalam membahagikan masa untuk tumpuan tugasnya di sekolah dan tanggungjawabnya di dalam parti dan jemaah.

Dalam meniti liku-liku cabaran dan dugaan dalam perjuangan, beliau menjadikan kata-kata ilmuan tersohor, Sheikh Syed Qutb sebagai pemangkin semangat untuknya.

“Merenung sejenak akan kata-kata Sheikh Syed Qutb ketika mana dia diheret kedalam penjara “ Seandainya Islam mencapai kemenangan dizaman kamu, maka janganlah sekali-kali kamu berasa bangga diatas kemenangan itu, kerana bukan kamu yang memulakan kerja perjuangan itu.

“Dan seandainya Islam masih lagi belum mencapai kemenangan maka janganlah sekali-kali kamu berasa dukacita, kerana bukan kamu juga yang mengakhiri perjuangan itu…Tetapi ketahuilah kamu adalah merupakan mata-mata  rantaian di antara perjuangan itu,”ujarnya.

Justeru, sebelum mengakhiri perbualannya dengan Harakah, beliau  berharap setiap ahli PAS akan terus istiqamah dengan turut memberi sumbangan sebagai mata-mata rantaian   dalam memastikan Islam terus mencapai kegemilangan.{/mprestriction}

- Advertisement -