PAS Kota Belud gigih beri bantuan pasca banjir

- Advertisement -
KOTA BELUD: Sumbangan bantuan pasca banjir PAS Kawasan Kota Belud dibawah kelolaan Jawatankuasa Bencana PAS, Khidmat Malaysia Negeri Sabah giat disalurkan sejak hari pertama musibah banjir besar dihadapi oleh penduduk di daerah itu.
 
Sehingga hari ini, sebanyak 17 kampung telah menerima sumbangan bantuan kebajikan berbentuk barang keperluan dapur bagi meringankan beban penduduk setempat. 
 
Bantuan turut disampaikan oleh pimpinan PAS Sabah antaranya Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling; Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ustaz Ag Laiman Ikin dan Yang Dipertua PAS Kota Belud, Ustaz Mustaqim Aling.
 
“Selepas hari kedua puluh operasi bantuan banjir yang lepas, PAS Kota Belud mengambil inisiatif melanjutkan kerja bantuan ke kampung-kampung sekitar daerah berkenaan untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan memerlukan,” Ketua Bilik Gerakan Operasi Bantuan Banjir, Adzmin Awang yang juga Ketua Pemuda Kawasan berkenaan.
 
Sementara itu, Pengerusi Khidmat Malaysia Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin merakamkan penghargaan terima kasih kepada para penyumbang yang memberi kepercayaan dan yang terlibat sepanjang misi operasi bencana  itu.
 
Khususnya ujar beliau, kepada Jabatan Amal yang melakukan kerja pembersihan dari rumah ke rumah, juga para NGO atas sumbangan, selain PAS Kota Belud sendiri di mana mengerahkan tenaga turun bertemu masyarakat setempat.
 
Sumbangan kebajikan masih diteruskan sehingga kini dan PAS Kota Belud bersama Khidmat Malaysia Sabah masih memantau keadaan supaya masalah banjir dapat diminimumkan dan diselesaikan untuk kesejahteraan semua penduduk. – HARAKAHDAILY 30/11/2017
- Advertisement -