Mastura pikul tanggungjawab besar pada usia muda

- Advertisement -

MENJADI pimpinan utama Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang mudah baginya, apatah lagi ketika usianya dikira masih muda.

- Advertisement -

Namun, atas dorongan dan sokongan daripada rakan-rakan di dalam jemaah, gadis manis yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Muslimat Pulau Pinang ini akhirnya memasang tekad menerima amanah itu demi perjuangan Islam.

Berusaha menguatkan hati dan terus berdoa agar Allah melorongkan dipermudahkan kepadanya, Mastura Mohd kemudian menerima amanah dan tanggungjawab itu dengan lapang dada dan percaya bahawa semua itu adalah tuntutan sunnah perjuangan nabi dalam menegakkan syiar Islam dalam apa jua yang mampu.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

 

Dilahirkan pada 27 Ogos 1989, anak kelima pasangan Mohd Kasim dan Masnah Lebai Hamid ini bukan sahaja sibuk menguruskan masa bersama parti, namun masih melanjutkan pelajarannya di peringkat pengajian doktor falsafah (PHD) di Universiti Sains Malaysia (USM).

Malah, Mastura yang mengambil bidang Pengurusan Pembangunan Islam bagi PhDnya itu juga merupakan Pembantu Penyelidik, selain mengajar ‘part time’ sebagai ‘home tuition tutor’ serta menyampaikan kuliah-kuliah.

Menyedari kesibukannya dengan tanggungjawab sebagai penggerak parti dan juga pelajar, pemegang ijazah Syariah Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir ini meletakkan segala pergerakannya ke pengetahuan keluarga.

Mastura sering mengadakan perbincangan dan memohon keizinan daripada  ahli keluarga setiap kali keluar melaksanakan gerak kerja parti.

Menetap di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, beliau lebih suka meluangkan masa bersama keluarga di rumah atau menziarah saudara mara bersama sekiranya mempunyai masa yang terluang.

Mastura mula mengenali PAS sejak sekolah rendah kerana sering mengikuti kem serta program  anjuran PAS.

Sering membantu dalam apa jua gerak kerja parti, beliau juga diamanahkan sebagai Ketua Unit Pengundi Muda Jabatan Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang.

Dalam masa sama, Mastura juga merupakan Penolong Setiausaha Dewan Muslimat PAS kawasan Kepala Batas, Ketua Unit IT Jabatan Pilihan Raya Dewan Muslimat Kawasan Kepala Batas, selain Penasihat Gen-3 DMP negeri.

Kagum dengan kepimpinan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Mastura sentiasa meletakkan harapan agar PAS sentiasa mendapat tempat di hati rakyat Malaysia demi menegakkan perjuangan Islam.

Tiada yang lebih menggembirakannya jika Islam dapat ditegakkan sewajarnya di negara yang tercinta ini.{/mprestriction}

- Advertisement -