Gagasan Sejahtera akan bawa perubahan politik negara

- Advertisement -
MARANG: PAS tidak bersendirian di mana masih lagi berpakat dengan parti-parti lain dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menghadapi PRU14, demikian diakui, Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah.
 
Katanya, PAS masih lagi berpakat dan tidak bersendirian dalam menghadapi Umno-BN di mana ianya berlaku dalam Blok Ketiga Gagasan Sejahtera sahaja, bukan dengan Pakatan Harapan.
 
Menurutnya, meskipun pakatan blok ketiga itu hanya melibatkan parti-parti kecil dan NGO, namun jika bersatu dengan baik akan membawa perubahan besar dalam politik negara.
 
“Sebenarnya kita (PAS) berpakat juga untuk menghadapi PRU14 tetapi tidak berpakat dengan DAP. Kita tidak berpakat dengan PKR, PAN dan Bersatu. Cuma kita berpakat dengan saing-saing kita sendiri melalui Blok Ketiga iaitu Gagasan Sejahtera. 
 
“Kita (PAS) ada berpakat dengan parti-parti kecil, ada dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Walaupun dengan parti kecil jika dapat duduk sekali (bersepakat) molek ramai-ramai. Kita yakin dengan izin Allah S.W.T, kita boleh membuat kejutan dalam PRU14 akan datang. 
 
“Cuma sekarang ini kita (PAS) tidak boleh berpakat dengan DAP, PKR, Bersatu dan PAN dalam Pakatan Harapan sebab, mereka itu menghalang cita-cita perjuangan kita. Menyekat cita-cita kita untuk menegakkan Islam.
 
“Kita ambil pendirian dan pendekatan baharu dengan blok ketiga Gagasan Sejahtera. Kita yakin dengan pendekatan kita ini, insya-Allah akan membawa perubahan besar dalam politik negara,” tegasnya. 
 
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana di Pekan Wakaf Tapai anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan, Marang semalam.
 
Dato’ Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan tohmahan fitnah terhadap PAS dan kepimpinan parti itu.
 
Katanya, ada kecenderungan pihak parti pembangkang dari Pakatan Harapan mahu menyalahkan PAS bagi menutup kelemahan parti sendiri.
 
“Sekarang ini ada kecenderungan untuk menyalahkan PAS dengan tidak mahu mengakui kelemahan parti-parti dalam Pakatan Harapan. 
 
“Mengundi dalam parlimen baru ini isu Bajet Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga marahkan PAS kerana berkecuali. Sedangkan Ahli Parlimen PH yang seramai 26 orang tidak hadir dia tidak persalahkan. Dua orang Ahli Parlimen PAS yang berkecuali itu dipersalahkan kerana kalah undi di Parlimen. 
 
“Mereka mahu menutup kelemahan PH dengan menyalahkan PAS. Begitu juga dengan PAN yang sering kali menyalahkan PAS, memperlekehkan PAS dan menyerang pimpinan PAS,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2017
- Advertisement -