Jihad membebaskan Baitul Maqdis bukan keganasan

- Advertisement -

AGAK mengejutkan membaca laporan yang disiarkan dalam beberapa portal mengenai Persidangan Menteri-menteri Pertahanan 41 buah negara-negara Islam di Riyadh, Saudi Arabia pada hari Ahad, 26 November 2017.

- Advertisement -

Salah satu pembentangan memaparkan gambar seorang pejuang Islam di Palestin mengangkat senjata menentang tentera Zionis Israel. Ia seolah-olah memberikan isyarat bahawa pejuang yang sedang berjihad untuk menghalau Zionis Israel dari bumi Palestin adalah pengganas.

Apakah motif sebenar persidangan ini? Adakah tujuannya benar-benar mahu memerangi keganasan atau memerangi keganasan mengikut kehendak Zionis Israel?

Antara lain resolusi daripada persidangan ini ialah memerangi keganasan sehingga ke akar umbi dan menyuburkan Islam sederhana bagi menentang pemikiran Islam yang digambarkan ganas. Memang ianya sudah dijangka, akan tetapi persoalannya, apakah erti sebenar keganasan, siapakah pengganas yang sebenar dan apakah konsep Islam sederhana itu?

Adakah ianya mengikut wajah Amerika Syarikat dan Israel dengan melabel semua kumpulan-kumpulan yang menentangnya adalah pengganas yang perlu dicantas sehabis-habisnya? Sangat jelek apabila membaca kenyataan jurucakap tentera Zionis Israel yang memberikan komen akan persidangan ini dengan menyebut; “Negara-negara Arab tanpa segan silu lagi menyatakan hakikat sebenar keganasan di Timur Tengah.” (Maksudnya ia didalangi oleh kumpulan-kumpulan yang menentangnya)

Sebagai rekod; pihak pertama yang mengisytiharkan perang menentang keganasan adalah Amerika Syarikat selepas berlakunya serangan pada tanggal 11 September 2001. Gourge W. Bush, bekas Presiden Amerika Syarikat mengisytiharkan ‘War of Terror’ lalu diserang Afghanistan dan Iraq kononnya untuk menghapuskan kumpulan pengganas Al-Qaeeda dan mereka yang bersekongkol dengannya.

Maka berbondong-bondong media Barat menyerang Islam sebagai agama yang ganas kerana kumpulan ini berjuang di atas nama Islam. Di atas nama menentang Al-Qaeeda, maka Islam dilabel sebagai agama yang ganas dan semua kumpulan-kumpulan berwajah Islam tidak selamat dari dilabel sebagai pengganas.

Termasuk kumpulan-kumpulan Islam yang berjuang untuk membebaskan tanah air mereka yang dijajah khususnya di Palestin. Malah, termasuk juga gerakan-gerakan Islam yang mengambil pendekatan muwajahah silmiyyah dalam kerangka demokrasi pilihan raya seperti PAS turut dituduh sebagai kumpulan pelampau oleh sekalian musuhnya kerana mengikut arus Barat dalam perang menentang keganasan.

Perang menentang keganasan ini akhirnya bertukar menjadi perang menentang Islam, hasil daripada serangan media massa Barat yang bertali arus mengaitkan Islam dengan keganasan.

Umat Islam tidak akan lupa dengan karikatur yang dilukis menghina Nabi Muhammad S.A.W sebagai seorang pengganas dengan digambarkan Baginda memakai serban yang diselit bom di dalamnya. Umat Islam juga tidak akan lupa kenyataan Pope Benedict XVI yang menyebut bahawa Nabi Muhammad S.A.W menyebar agama Islam dengan pedang.

Perang menentang keganasan dijadikan alasan oleh Zionis Israel untuk menyapu kumpulan-kumpulan yang menentang kewujudannya sebagai sebuah negara. Sedang ia merampas tanah air umat Islam Palestin dengan peliharaan Barat khususnya Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Kononnya bagi membalas kezaliman yang dilakukan oleh Barat terhadap Yahudi khususnya pembunuhan beramai-beramai oleh Nazi dalam Perang Dunia Kedua.

Kewujudan Zionis Israel terus ditentang bermula dari kewujudannya pada tahun 1948 sehinggalah sekarang. Berlakunya beberapa peperangan pada 1960-an dan 1970-an antara negara-negara Arab dan Zionis Israel. Tetapi malangnya ia gagal untuk mengembalikan bumi Palestin ke tangan umat Islam kerana negara-negara Arab berjuang di atas nama kebangsaan, adapun Zionis Israel berjuang di atas nama agama.

Sebagai reaksi di atas kegagalan ini, pada 1980-an ditubuh kumpulan-kumpulan Islam untuk membebaskan bumi Palestin di atas nama jihad seperti Jihad Islami dan HAMAS di Palestin dan Hizbullah di Lubnan. Semua kumpulan ini kecil dan lemah dari sudut lahiriyyah berbanding dengan Zionis Israel yang merupakan tentera terkuat di Timur Tengah. Akan tetapi mereka gagal untuk dikalahkan dalam beberapa peperangan di Gaza dan Selatan Lubnan.

Justeru perang menentang keganasan adalah jalan terbaik bagi Zionis Israel untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan ini. Israel menggunakan tangan-tangan umat Islam sendiri dari kalangan pemimpin sekalian negara Islam khususnya Arab.

Halangan utama kepada Zionis Israel adalah negara-negara Islam yang tidak mahu mengikut telunjuknya. Mereka terus berusaha bagi memastikan cita-cita mereka tercapai dengan melobi dan menekan dari sudut politik, ekonomi dan ketenteraan. Tindakan itu supaya negara-negara Islam menekan dan menghapuskan kumpulan-kumpulan ini.

Perubahan politik secara drastik di Timur Tengah mutakhir ini dilihat menguntungkan Zionis Israel khususnya politik Arab Saudi. Saudi dilihat selangkah demi selangkah berubah kiblat politiknya ke arah Zionis Israel walaupun menjadi ‘Penjaga Kepada Kiblat Umat Islam’ di Makkah.

Justeru kita sangat bimbang dengan persidangan menentang keganasan yang diadakan di Riyadh baru-baru ini. Ia dijadikan satu platform bagi mencabut, merampas dan menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam yang berjuang untuk membebaskan Baitul Maqdis dari tangan rejim Zionis Israel.

Gambar pejuang Palestin yang dipaparkan bukan dilakukan secara spontan. Ia adalah satu isyarat kepada seluruh wakil-wakil negara Islam yang hadir untuk menentang kumpulan-kumpulan ini. Sangat menyedihkan persidangan yang sepatutnya menjadi wadah kepada umat Islam dari sudut ketenteraan bagi menentang pengganas sebenar yang merampas tanah suci Baitul Maqdis, tetapi menjadi medan untuk menyembelih sesama umat Islam.

Jihad untuk membebaskan Baitul Maqdis dari tangan Zionis Israel adalah garisan merah yang tidak boleh dilepasi oleh sesiapapun. Jika pemerintah-pemerintah umat Islam kaku dan gagal untuk memeliharanya, maka tugas ini akan diambil oleh mereka yang sentiasa ada dengan ketentuan Allah S.W.T.

Sabda Nabi S.A.W dalam satu hadis yang bermaksud: “Akan tetap ada di kalangan umatku satu kumpulan yang menegakkan kebenaran, musuh mereka tidak boleh menghina mereka sehinggalah datangnya urusan Allah. Lalu sahabat bertanya; “Di manakah mereka wahai Rasulullah S.A.W?” Baginda menjawab;“Mereka di Baitul Maqdis dan di pinggir Baitul Maqdis.” (Musnad Imam Ahmad)

11 Rabiul Awwal 1439 | 29 November 2017 – HARAKAHDAILY 29/11/2017

- Advertisement -