Ancaman normalisasi hubungan Saudi-Israel

- Advertisement -

DENGAN dipacu oleh rancangan peralihan kuasa dan sebagai satu strategi bagi mengimbangi pengaruh Iran yang semakin berkembang di dunia Arab maka Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman (MBS) telah mengambil beberapa langkah yang dianggap sebagai melanggar pantang.

- Advertisement -

Ini termasuklah penahanan berbelas-belas putera dan para menteri dan juga mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki hubungan dengan Israel walaupun sekurang-sekurangnya ia hanya melibatkan sebahagian perkara sahaja.

Tetapi tindakan mengambil langkah-langkah konkrit bagi menghentikan pemulauan dunia Arab ke atas Israel tanpa mencapai penyelesaian yang adil dalam isu-isu rakyat Palestin hanya akan mendatangkan musibah terhadap kedua-dua pihak rakyat Palestin dan Arab Saudi.

Ketua tentera Israel Gadi Eizenkot baru-baru ini ditemuramah buat kali pertama oleh sebuah agensi berita Saudi dan dia mengatakan bahawa Israel bersedia untuk berkongsi maklumat perisikan dengan Arab Saudi berkaitan Iran. Juga untuk kali pertama Israel dan Arab Saudi menaja bersama satu resolusi menentang Syria di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menteri komunikasi Israel Ayoub Kara juga mempelawa Mufti Besar Arab Saudi, Abdul Aziz al-Sheikh untuk melawat Israel atas apa yang disifatkan sebagai komentar baik ke atas negara itu.

Bagi mewujudkan “keabsahan” terhadap tindakan-tindakan yang akan diambil bagi membaik pulih hubungan dengan Israel, maka pihak Arab Saudi telah memanggil presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA) Mahmoud Abbas ke Riyadh baru-baru ini bagi meyakinkannya untuk menerima pelan keamanan yang telah dicadangkan oleh penasihat khas Presiden Donald Trump, Jared Kushner. Kerjasama Saudi-Israel merupakan perkara utama dalam pelan tersebut.

Menurut akhabar New York Times cadangan tersebut mungkin mengandungi perkara-perkara seperti cadangan membaik pulih hubungan termasuk membenarkan “penggunaan ruang udara bagi pesawat-pesawat penambang Israel, visa untuk para usahawan dan hubungan telekomunikasi” dengan Arab Saudi, Mesir, Jordan dan UAE.

Sekiranya MBS meneruskan rancangan tersebut, kedudukan Arab Saudi sebagai peneraju dunia Islam mungkin akan menjadi tidak sah.

Kerjasama daripada pihak Abbas adalah penting untuk membolehkan proses normalisasi hubungan  antara Saudi-Israel dapat diteruskan. Oleh itu, langkah yang diambil pihak Saudi itu akan dilihat sebagai satu pengkhianatan ke atas pendirian dunia Arab dan dunia umat Islam secara keseluruhannya dalam isu Palestin.

Walaupun tidak banyak perkara yang telah didedahkan tentang apa yang benar-benar berlaku semasa lawatan Abbas ke Riyadh, tetapi sesetengah laporan menyebut bahawa barisan kepimpinan Saudi menekan Abbas supaya menerima apa sahaja rancangan yang akan diketengahkan Kushner. Sekiranya tidak beliau akan dipaksa untuk meletakkan jawatan.

Abbas berada dalam keadaan yang tersepit, memandangkan tekanan ke atasnya pasti akan bertambah apabila pelan Kushner didedahkan dalam masa terdekat ini. Beliau juga memerlukan bantuan kewangan Saudi dan Amerika Syarikat bagi membolehkan PA untuk terus berfungsi.

Walau bagaimanapun, pelan rancangan Kushner tersebut tidak akan memberikan keadilan kepada projek pembangunan negara Palestin walaupun secara minimum. Rancangan tersebut akan memberikan keuntungan strategik kepada pihak Israel seperti berakhirnya pemulauan Arab Saudi, tetapi ia hanya akan memberikan keuntungan taktikal kepada pihak Palestin seperti bantuan kewangan, pembebasan tahanan dan sedikit pembekuan secara senyap-senyap ke atas aktiviti pembinaan rumah-rumah baru bagi pendatang Yahudi di luar kawasan-kawasan petempatan besar yang telah dirampas dan diduduki.

Rancangan Kushner tersebut juga secara praktiknya akan merungkaikan Pelan Keamanan Arab 2002 yang ditaja Saudi sendiri yang telah menawarkan proses pemulihan hubungan dengan Israel secara penuh dengan syarat Israel mengundurkan diri dari tanah-tanah negara Arab yang dijajahnya semenjak 1967.

Tindakan memberi tekanan kepada Abbas untuk menerima rancangan Kushner itu bermaksud pimpinan Saudi kini sedang memperkecilkan inisiatifnya sendiri dengan cara menerima pemulihan hubungan dengan Israel secara terhad, sebagai balasan untuk mengadakan satu gabungan bagi menentang pengaruh Iran.

Lebih jauh daripada itu, rancangan normalisasi hubungan Saudi tersebut juga bakal mendatangkan lebih banyak komplikasi dalam usaha penyatuan politik dalaman Palestin. Demi menyekat pengaruh Iran di Gaza, sekutu rapat Arab Saudi iaitu Mesir telah menjadi orang tengah bagi proses penyatuan politik Palestin yang menyaksikan Hamas menyerahkan kuasa kepada PA. Tetapi sesetengah pihak melihat perkembangan tersebut berlaku kerana Mesir seolah-olah telah memaksa Hamas untuk berbuat demikian.

Bagi mendatangkan tekanan yang lebih jauh lagi ke atas Abbas, maka Arab Saudi dilaporkan telah memanggil pesaing rapatnya iaitu Mohammed Dahlan ke Riyadh pada masa sama Abbas berada di sana. Tujuan tindakan tersebut dikatakan bagi memastikan kedua-dua pihak tersebut dapat berbincang tentang proses “perdamaian” pergerakan Fatah. Tetapi dengan kata lain, Arab Saudi membawa Dahlan untuk turut terlibat supaya ia mempunyai pilihan sekiranya presiden PA tersebut menolak perancangan Kushner. Sesetengah penganalisis di Tebing Barat dan Gaza walau bagaimanapun mengambil perhatian bahawa sebaik beliau pulang ke Ramallah, Abbas mula bertindak untuk mengekang pergerakan-pergerakan para penyokong Dahlan. Para penganalisis berpendapat bahawa perkembangan tersebut adalah petanda bahawa Abbas sedang cuba untuk tidak mengikut telunjuk Saudi.

Beberapa hari kemudian, pihak Abbas sekali lagi menerima tamparan kesan perkembangan terbaru itu. Pihak pentadbiran AS mengumumkan bahawa lesen pejabat PLO di Washington tidak akan diperbaharui. Perkara ini tentulah bukan hanya satu kebetulan. Sebaliknya, ia berkemungkinan adalah salah satu petanda jelas bahawa pihak Abbas terus-menerus berusaha untuk menentang tekanan yang diberikan pihak Saudi dan AS. Selari dengan hujah ini, ahli jawatankuasa pusat Fatah, Mohamamad Shtayyeh yang juga salah seorang calon  menggantikan Abbas memberitahu saya bahawa “proses perdamaian tidak akan menjadi satu landasan bagi projek politik serantau yang akan menyebabkan kerugian kepada perjuangan rakyat Palestin.”

Syarat-syarat yang dikenakan pihak Saudi menjadikan presiden Palestin berada dalam kedudukan yang sukar, kerana rakyatnya pastinya rata-rata akan menolak syarat-syarat yang terkandung dalam rancangan Kushner. Situasi ini mengingatkan kita terhadap dilema yang dialami pemimpin sebelumnya, Yasser Arafat semasa Perjanjian Kem David pada tahun 2000. Arafat ketika itu berhadapan tekanan AS untuk menerima rancangan Ehud Barak untuk keluar secara tidak sepenuhnya dari Tebing Barat dan Gaza. Sebaik sahaja selepas selepas kemuncak sidang Kem David, Arafat mula diketepikan dan dua tahun kemudian beliau mati secara misteri. Walau bagaimanapun setakat ini tidak diketahui sejauh mana Abbas akan dapat bertahan untuk berhadapan dengan tekanan pihak AS dan Saudi dan kekal menjadi presiden.

Apa yang jelas adalah Arab Saudi akan meneruskan usaha-usaha normalisasi hubungan dengan Israel dengan ataupun tanpa Abbas. Cara MBS menangani proses peralihan kuasa dan persaingan dengan Iran menunjukkan bahawa beliau bersedia mengambil keputusan-keputusan luar jangka.

Tetapi tindakannya berkaitan Israel mungkin tidak akan menjadi seperti dasar-dasar berani lainnya yang telah diambilnya. Sebaliknya, dia mungkin akan akhirnya menerima kesan kesilapan tindakannya. Memastikan rancangan Kushner berjaya bermakna mengambil tindakan yang bertentangan dengan pendirian majoriti penduduk dunia Arab dan dunia Islam, yang menolak proses pemulihan hubungan dengan Israel tanpa dapat terlebih dahulu mencapai penyelesaian yang adil dan saksama terhadap permasalahan rakyat Palestin.

Arab Saudi mungkin menerima sokongan negara-negara seperti UAE, Bahrain, Mesir dan Jordan tetapi tidak daripada baki 57 negara majoriti umat Islam  yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC. Sebagai contoh Kuwait ketika ini sedang mengadakan kempen menentang proses pemulihan hubungan dengan Israel.

Sekiranya MBS meneruskan pelan tersebut, beliau mengambil risiko meletakkan kedudukan Arab Saudi sebagai tidak lagi sah sebagai peneraju dunia Islam. Tuanku ayahnya, iaitu Raja Salman yang menjadi penjaga dua kota suci akan dilihat sebagai berkompromi terhadap kedudukan tempat ketiga tersuci dalam Islam, iaitu Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. – HARAKAHDAILY 29/11/2017

Ibrahim Fraihat adalah Profesor Madya Penyelesaian Konflik Antarabangsa di Pusat Pengajian Sarjana di Institut Doha. Tulisan ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris di al-Jazeera dan diterjemahkan oleh Harakah.

- Advertisement -