Tiga perkara besar jadi agenda PAS Terengganu

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu akan melancarkan satu program khas sebagai persiapan parti itu menghadapi PRU14 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang pada 16 Disember depan.
 
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah memaklumkan, program itu dinamakan Countdown 100 Hari PRU14 PAS Terengganu.
 
Katanya, Countdown 100 hari PRU14 itu diadakan lanjutan dari ledakan kebangkitan rakyat dan jentera PAS dalam program Fastaqim 2.0 di Tok Jembal, Kuala Nerus baru-baru ini. 
 
“PAS Terengganu melihat bahawa kebangkitan dan momentum dalam masyarakat hari ini mesti diteruskan. Jentera PAS mesti dibarakan semangat mereka untuk bekerja bagi mendekati seluruh pengundi dan melaksanakan agenda-agenda jentera pilihan raya. 
 
“Jangkaan kita pembubarkan Parlimen akan berlaku pada bulan Mac 2018, insya-Allah,” ujarnya selepas Mesyuarat Lajnah Penerangan PAS Terengganu di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, di sini, 28 November lalu.
 
Menurutnya, sempena program itu tiga perkara besar yang menjadi agenda parti akan diperjelaskan kepada seluruh jentera PAS di semua peringkat.
 
Sehubungan itu, kata Ustaz Mohd Nor, seluruh jentera parti dan bilik gerakan akan disempurnakan sebelum PRU14 dalam masa 100 hari itu.
 
Bagi hendak menggambarkan bahawa semboyan pilihan raya telah berbunyi, seluruh bilik gerakan dan tugas-tugas mesti disempurnakan bagi menghadapi pilihan raya itu. 
 
“Insya-Allah, kita jangka dapat mengumpul jentera pilihan raya kita meski pun dalam suasana musim tengkujuh ini, sekitar 5,000 orang. 
 
“Selepas bulan Disember ini, kita akan turun mendekati para pengundi dan menyuburkan segala gerak kerja di markaz-markaz kita (PAS). Kita akan susun program berterusan hingga pembubaran parlimen,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 28/11/2017
 
- Advertisement -